Farizah terima mandat besar - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Farizah terima mandat besar

PERANAN pemimpin wanita semakin menyaingi lelaki. Perbezaan jantina bukan penghalang untuk wanita  masa kini duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan kaum lelaki. Peranan wanita juga semakin menyerlah dalam pentadbiran negara. Isu jantina kini tidak lagi dijadikan persoalan besar untuk memilih pemimpin.

Mengisi ruangan student aktivis minggu ini, Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sesi 2014/2015 memperkenalkan diri sebagai Farizah Abdul Rahman.

Saudari Farizah, 21, berasal dari Seri Kembangan, Selangor adalah anak ketiga daripada empat beradik pasangan Abdul Rahman Sokran dan Maziah Yusoff. Dia adalah penuntut tahun dua, Ijazah Sarjana Muda Perniagaan, yang bertanding sebagai calon umum pilihan raya kampus sesi 2014/2015 dengan undian 7,078, mewakili undi majoriti.

Dia satu-satunya calon siswi yang dilantik menerusi undian, berbeza lantikan terdahulu yang menang secara lantikan.

"Adalah satu pengiktirafan, juga kelebihan yang diberi pihak universiti kerana sudi memberikan hak kepada saya sebagai YDP setelah memenangi undi majoriti tanpa mengira isu jantina.

"Ia secara tidak langsung, menjadi cabaran untuk saya buktikan wanita juga mampu menggalas tanggungjawab sebagai YDP tanpa membangkitkan isu jantina. Sebagai wakil tunggal mahasiswi, suara dari mahasiswa juga turut didengari dan dipertimbangkan demi kesejahteraan bersama," katanya memulakan bicara.

Menurut Farizah, kepimpinannya dalam pelbagai tugasan seperti setiausaha kepada Festival Konvokesyen ke-9 UniMAP, Pengarah Program Autism Charity Walk bersama DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis, dan Naib Presiden Perhubungan Awam Enactus UniMAP dijadikan pemangkin rakan-rakan mengangkat namanya sebagai pucuk pimpinan sesi pengajian kali ini.

"Rentetan itu, saya terus menyahut kepercayaan siswa siswi untuk bertanding tambahan pula, sambutan begitu di luar jangkaan,"katanya.

Membuka kisah perjalanan sebagai penuntut aktif, semuanya bermula dengan tugasan sebagai Majlis Tertinggi Enactus UniMAP pada bulan kedua berstatus mahasiswa.

"Kemudian diberi kepercayaan sebagai Setiausaha Festival Konvokesyen UniMAP, sekaligus Pengarah Program Autism Charity Walk bersama DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis dan seterusnya dinaikkan jawatan dalam Enactus UniMAP sebagai Naib Presiden Jabatan Perhubungan Awam.

"Bermula dari sini lah jaringan saya bertambah dan mula dikenali kalangan rakan-rakan, dan siswa-siswi lain sehingga mendorong saya bertanding sebagai MPP,"jelasnya.

Diakui juga, sifat kepimpinan kakaknya sebagai mantan Setiausaha Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Kesebelas Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi inspirasi dirinya bergiat aktif dalam kepimpinan.

"Dari situ, sedikit sebanyak saya dapat lihat ciri-ciri kepimpinan yang perlu ada dalam diri seorang mahasiswa selain terlibat secara langsung dalam akademik,"katanya.
Disiplin urus masa

Mengakui tugasan kepimpinan menuntut tanggung jawab berat, Farizah menjelaskan dia cukup menghargai masa.

"Pengurusan masa sangat penting, jadual dan capaian objektif pada setiap hari perlu dilakukan tanpa gagal. Setiap saat digunakan secara optimum tanpa sebarang pembaziran. Jadual kini sesuatu yang sentiasa ada di sisi, dan dipatuhi dengan penuh disiplin," katanya.

Dia juga tidak cepat melenting dengan setiap cabaran mendatang dan lebih terbuka terima teguran.

"Saya sangat terbuka terima teguran, kritikan mahupun usul daripada siswa  siswi. Apabila cadangan atau usul diterima, maklumat lengkap diambil. Setelah itu, perkara tersebut diteliti.

"Sekiranya tindakan segera boleh diambil, ia akan disegerakan. Sebaliknya, jika memerlukan kerjasama dan bantuan pihak pentadbiran universiti sendiri, perbincangan terlebih dahulu dijalankan," katanya.

Katanya, setelah diselesaikan, perkara tersebut akan dimaklumkan terus kepada pihak pengadu untuk makluman.

Dalam isu kepimpinan pula, semakin ramai siswa siswi yang cakna isu semasa dan mula bergiat aktif. Secara peribadi, dia cukup menyokong dan berbesar hati melihat penglibatan aktif pelajar dalam kepimpinan, persatuan dan sebagainya.

"Anak-anak muda adalah pemimpin masa depan.  Pembentukannya perlulah bermula dari awal. Bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Walau bagaimanapun, sepanjang tempoh ini, perlu diingat juga komitmen utama sebagai pelajar dalam akademik adalah keutamaan. Oleh itu, keseimbangan perlu diterapkan agar matlamat  dicapai," katanya.

Katanya, siswa siswi dituntut bergiat aktif di kolej mahupun kampus. Ia adalah usaha menyokong melahirkan graduan berdaya saing. Kemahiran insaniah sangat penting dan dapat diterapkan melalui kegiatan aktif dalam apa juga bidang yang diceburi.

"Bergiat aktif boleh dilakukan melalui penglibatan sebagai pemimpin pelajar, atlet sukan, pertandingan debat, penganjur program dan pelbagai lagi. yang mana dapat membantu menambah pengetahuan, membentuk kemahiran komunikasi yang baik, membentuk daya kepimpinan yang telus sebagai nilai tambah seseorang graduan pada masa hadapan," katanya.

Bersatu capai aspirasi universiti

Mengulas pelantikan sebagai YDP MPP, Farizah melahirkan rasa tanggungjawab untuk menjaga kebajikan penuntut di UniMAP, selaras mencapai aspirasi universiti, menyumbang sesuatu demi pembangunan universiti dan negara.

"Demikian juga ia mengajar sifat amanah, konseptual dan daya kepimpinan. Daya seorang pemimpin adalah sesuatu yang cukup berharga, dapat dirasai,  di perkasa melalui diri sendiri, lebih-lebih lagi dalam konteks yang cukup besar seperti ini,"katanya.

Dalam konteks pelajar dan politik kampus pula, adalah lebih penting mahasiswa bersatu hati mencapai aspirasi universiti. Suatu persefahaman, kerjasama yang erat lebih bermakna bagi mahasiswa dalam memacu kepemimpinan dan menyumbang kepada pembangunan universiti.

"Ia juga menonjolkan bakat sebagai pemimpin dari sudut mengendalikan tugasan dan amanah melalui kepercayaan daripada siswa siswi untuk golongan MPP yang akan menjadi wakil bagi memimpin mereka, membawa ke satu tahap dan langkah lebih baik khususnya," katanya.

0 Komentar untuk " Farizah terima mandat besar "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ