PKS perlu lebih banyak produk inovasi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

PKS perlu lebih banyak produk inovasi

INOVASI ialah kaedah mencari jalan untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan lebih baik sama ada melalui pengubahsuaian atau penambahbaikan.

Ia hasil cetusan idea-idea kreatif dan inovatif terhadap aspek kerja yang dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti organisasi.

Namun terdapat segelintir pihak berpandangan inovasi itu ke arah produk kejuruteraan semata-mata. Tetapi sebenarnya inovasi merangkumi semua segmen bermula daripada produk makanan hingga pendidikan.

Tidak ramai tahu dan sedar produk inovasi ternyata membantu menjana pendapatan negara.

Justeru, kita ikuti wawancara bersama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), MUHAMMAD AZIPH MUSTAPHA.

Berapakah jumlah inovator yang dikenal pasti atau yang berdaftar dengan YIM di seluruh Malaysia?

Hampir 1,400 orang inovator akar umbi berdaftar dengan YIM setakat ini.

Apakah bentuk bantuan yang diberikan?

Kami menyalurkan bantuan dari pelbagai segi yang lebih kepada bantuan pembangunan produk dan juga pembangunan bina insan di kalangan inovator.

Kami turut membantu untuk mendaftarkan harta intelek (IP) bagi inovasi terpilih yang telah disenarai pendek oleh panel pakar. Setakat ini, kami mempatenkan 12 IP dan 300 lagi dalam proses 'prior art search' bagi menentukan  keaslian produk berkenaan. Kami tidak menyalurkan sebarang geran pada mana-mana inovator.  Selain itu, kami menyediakan platform padanan perniagaan bagi inovator yang ingin mengembangkan produk inovasi mereka. Rakan-rakan strategik kami adalah termasuk akademia, agensi-agensi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) seperti  Sirim dan Technology Park Malaysia (TPM), agensi kerajaan lain seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Jabatan Tenaga Manusia serta pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bagaimanakah tahap kesedaran mengenai inovasi di kalangan rakyat Malaysia?

Kami di YIM berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan kesedaran inovasi di kalangan rakyat Malaysia. Menerusi program Jejak Inovasi yang dijalankan sejak 2011, kami mendapati rakyat Malaysia sungguh kreatif dan inovatif namun masih ramai  yang menyangka bahawa Inovasi adalah suatu aktiviti yang hanya boleh dijalankan oleh para saintis, jurutera dan sebagainya. Kami berharap tanggapan ini  berubah di kalangan masyarakat kita. Inovasi dapat dijalankan oleh semua.

Berapakah jumlah produk inovasi yang dipatenkan telah menembusi pasaran antarabangsa?

Beberapa orang inovator YIM telah maju ke pasaran antarabangsa iaitu seorang inovator kiln (oven pembakar seramik) dari Melaka yang telah menembusi pasaran Asia dan Eropah, Rozana Musa. Kedua, inovator saksofon buluh dari Tambunan, Sabah, Philipus Jani. Dia telah membuat persembahan di Jepun dan Eropah serta menerima tempahan saksofon dari negara-negara itu dengan harga mencecah Euro 1,000.

Selain itu, inovator produk tuhau dari Kampung Kumawanan, Tambunan, Sabah, Wasinah Kuntagil yang mengkomersilkan inovasi makanan tradisi kaum Dusun hingga di eksport ke Filipina. Inovator  kompang X-Ray, Pak Suman dari Melaka menjual kompangnya ke Australia.

Adakah YIM akan melahirkan ramai lagi usahawan inovasi?

Ya, keusahawanan adalah fokus kami untuk mewujudkan peluang inovator akar umbi menjalankan perniagaan atau membuka jalan agar produk yang dihasilkan dapat dipasarkan dengan lebih meluas.

Ada setengah inovator atau orang yang tidak mahu menjadi usahawan. Mereka tidak sesuai menjadi peniaga.

Jadi kita padankan mereka dengan individu yang mempunyai  kepakaran untuk memasarkan produk dan mengkomersilkannya supaya produk mereka hasilkan berinovasi  itu dapat di kecapi oleh lebih ramai orang.

Apakah kekangan yang dihadapi YIM?

YIM di bawah Mosti mendapat sokongan  kerajaan. YIM tidak mendapat sebarang peruntukan operasi sejak penubuhan kami. Itulah modus operandi kami perlu mencari dana kewangan daripada pihak swasta dan orang ramai dengan menjalankan aktiviti dan projek.

Ini menyebabkan kami terpaksa keluar mencari penajaan dan penderma untuk menampung kos operasi. Itu bukan dianggap kekangan kepada kami tetapi dilihat sebagai peluang untuk merapatkan diri dengan pihak industri dan sebagainya.
Sudah pasti jika banyak wang dan dana, kami dapat membantu orang. Kekangan sedikit sahaja tetapi tidak menghalang dari kami melakukan tugas membantu rakyat Malaysia lebih inovatif.

Apakah tujuan Program Berimpak Tinggi 6?

SME Corp melantik YIM sebagai agensi pelaksana Program Berimpak Tinggi 6 ini. Ia adalah salah satu program yang terdapat di dalam Pelan Induk PKS yang diterajui oleh SME Corp dan telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 12 Julai 2014.

Pelan Induk PKS akan menjadi ‘game changer’ untuk mempercepatkan pertumbuhan PKS bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Pelan Induk ini adalah untuk semua PKS di Malaysia, tanpa mengira sektor, jantina, kawasan geografi dan latar belakang etnik. Kejayaan pelaksanaan Pelan Induk akan membawa kepada peningkatan sumbangan PKS kepada ekonomi menjelang tahun 2020.

Bagi mencapai matlamat ini, inisiatif di bawah Pelan Induk khususnya akan menangani kekangan di bawah enam penggerak prestasi, iaitu inovasi dan penggunaan teknologi, modal insan, akses kepada pembiayaan , akses pasaran, undang-undang dan peraturan alam sekitar dan juga infrastruktur. Semua bidang ini perlu ditangani secara serentak bagi memastikan PKS mencapai potensi pertumbuhan penuh mereka.

Apakah sasaran YIM pada 2015?

Pada 2015, YIM bercadang menambah nilai inovator khususnya kepada inovator akar umbi. YIM bercadang ke seluruh negara mencari dan mencungkil apa yang kami sudah buat melalui program Jejak Inovasi dan Program Berimpak Tinggi 6 iaitu projek inklusif bersama dengan SME Corp. Rancangan dengan Mosti memang kita akan lebih banyak mencari inovasi khususnya peluang untuk komersil.

YIM juga merancang mengguna pakai seberapa banyak sinergi agensi-agensi dan jabatan di bawah Mosti.

0 Komentar untuk " PKS perlu lebih banyak produk inovasi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ