Sup kambing punca ustaz dikejar anjing - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Sup kambing punca ustaz dikejar anjing

Dikejar anjing ketika dalam perjalanan pulang dari kedai makan Muslim bangsa Tartar di Kiev, Ukraine kerana membawa bungkusan sup kambing untuk juadah berbuka adalah antara kenangan yang tidak dapat dilupakan bekas imam Masjid Negara, Ustaz Azhar Tuarno, 43.

Beliau yang kini Pegawai Agama Jabatan Perdana Menteri (JPM) adalah antara kumpulan pertama 10 pegawai agama yang diarahkan ke Ukraine bagi menguruskan jenazah penumpang Islam dalam penerbangan MH17 yang terkorban ditembak pemberontak Julai tahun lalu.

Walaupun hanya berada kira-kira 10 hari di bumi Kiev dan tidak dapat membantu menguruskan jenazah kerana kemalangan berlaku di zon perang, beliau menyifatkan pengalaman itu terlalu berharga dan tidak ternilai.

Mengimbas kembali peristiwa itu, beliau hanya diberikan masa kira-kira dua jam untuk bersiap termasuk menyediakan kain kafan.

"Saya cuma dihubungi untuk mengetahui sama ada mempunyai pasport atau sebaliknya dan diminta bersiap sedia. Ingatkan perlu 'standby' dua tiga hari lagi, rupanya hanya dua jam saja notis. Selepas solat Jumaat saya diminta berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 5 petang dan diminta membawa kain kafan bersama.

Rakan membantu

"Saya bernasib baik kain kafan di Masjid Negara banyak dan rakan sepejabat membantu membungkus dengan rapi peralatan pengurusan jenazah. Saya pula terpaksa ke pejabat menyelesaikan urusan pejabat dan isteri pula ketika itu sedang berkursus. Berkali-kali menghubungi beliau tetapi gagal. Saya hanya ada setengah jam untuk membuat persediaan di rumah. Baju hanya dicampak dalam beg dan terus bergegas ke KLIA," katanya.

Rombongannya tiba di Kiev jam 4 pagi waktu tempatan dan cuaca sudah terang kerana ketika itu musim panas yang siangnya lebih panjang berbanding malam.

"Urusan imigresen, mengambil masa enam jam kerana pihak berkuasa mahu menterjemah nama kami ke dalam tulisan Ukraine berikutan kami tidak mempunyai visa. Setiba di hotel, kami terus menjadikan lobi tingkat tiga sebagai surau kerana anggota rombongan kira-kira 100 orang.

"Ketika itu bulan Ramadan, juadah pertama kami berbuka lebih 20 jam puasa adalah pelbagai jenis roti. Rasa mahu menangis ketika itu. Apabila masuk dewan makan untuk bersahur kami turut dihidangkan dengan roti sandwich dan dadih ," katanya.

Azhar berkata selepas beberapa hari berbuka dan bersahur dengan roti, mereka mengambil keputusan mencari kedai Muslim dengan dibantu seorang doktor ahli kumpulan yang tahu berbahasa Russia. Di kedai Muslim bangsa Tartar, masing-masing membungkus sup kambing untuk juadah berbuka dan membawa pulang ke hotel menaiki kereta api bawah tanah.

Bau sup kambing

"Dalam perjalanan, kami dikejar anjing yang ketika itu sedang menggonggong roti. Mungkin ia terbau sup kambing itu. Apa lagi, kami pun lari lintang pukang dan seorang daripada kami menyergah anjing itu dan ia lari.

"Sampai di hotel masuk waktu berbuka jam 9 malam, setiap kami membuka sup kambing, sekali lagi rasa mahu menangis kerana bukannya sup kambing tetapi kambing rebus," katanya sambil ketawa.

Bagaimanapun, katanya, berada di negara yang siangnya terlalu panjang ketika Ramadan benar-benar membuka matanya terhadap pesanan Rasulullah supaya menghidupkan malam Ramadan kerana ia benar benar berlaku.

Ini kerana, katanya, bukan hanya solat terawih berjemaah yang lazimnya habis jam 12.30 tengah malam, mereka juga berpeluang membuat amalan sunat lain sementara menunggu waktu Subuh yang masuk jam 2 pagi.

Berada di Kiev juga memberi peluang kepada kumpulannya untuk bertemu dengan Timbalan Mufti Ukraine di Masjid Besar Kiev bagi urusan persediaan jika jenazah tiba di bandar itu.

Selepas beberapa hari berada di Kiev, enam daripada mereka terpaksa ke Amsterdam, Belanda kerana jenazah dibawa keluar dari kawasan zon perang oleh pihak Belanda. Bagaimanapun, Azhar masih berada di Kiev kerana masih ramai lagi anggota pasukan keselamatan negara berada di negara itu.

Berkongsi pengalaman

"Walaupun tidak dapat bersama-sama menguruskan jenazah rakyat Malaysia, tetapi banyak pengalaman yang diperoleh termasuk berkongsi maklumat serta pengalaman dengan pihak pengurusan Masjid Besar Kiev yang turut berpegang kepada mazhab Shafie, selain mengendalikan ibadat lain termasuk solat berjemaah dan terawih, " katanya.

Bercerita mengenai pengalamannya bertugas sebagai imam dan Penolong Pengarah Perhubungan Awam dan Pusat Sumber di Masjid Negara, katanya sepanjang 10 tahun berkhidmat sebagai imam, beliau tidak pernah beraya bersama keluarganya di Banting pada pagi raya kerana bertugas mengimamkan solat raya.

"Ketika mula berkhidmat sebagai imam, Imam Besar Masjid Negara (Datuk Kamaruddin Zakaria) bertanyakan sama ada saya boleh jika tidak balik beraya. Jika boleh, saya boleh berkhidmat di masjid itu. Ibu dan ayah faham tugas serta tanggungjawab ini. Selalunya sebelum hari raya saya dan isteri (Fuziansy Tambi) akan pulang ke kampung saya menemui orang tua," katanya yang juga pernah berkhidmat sebagai Pensyarah Pendidikan Islam Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Bertugas di Masjid Negara, beliau yang turut memiliki Sijil Pengurusan Pelancongan dari Bahrain turut berpeluang mengiringi pemimpin besar dunia mengadakan lawatan di masjid itu termasuk Penasihat Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat, Susan Rice.

Diuji kehilangan ibu tersayang

Tahun 2012 benar-benar mengujinya kerana kehilangan ibu tersayang, Zainab Sanip ketika beliau menunaikan haji.

Katanya, sebelum ke Makkah, beliau tidur di hospital menemani arwah ibu selama dua bulan bergilir-gilir dengan adik beradik lain.

"Tahun yang sama saya mendapat jemputan menunaikan haji bersama kumpulan imam lain. Saya sudah daftar haji mahu pergi bersama isteri. Beberapa kali membuat rayuan akhirnya isteri dapat juga mengerjakan haji tahun sama dengan pakej tetapi pemergian serta penginapan yang berbeza. Isteri saya pergi bersama sepupu perempuan.

"Kami hanya berjumpa di masjid kerana saya tinggal di kawasan pejabat Tabung Haji di Janadariah dan isteri menginap di hotel kawasan Ajyad. Sehari sebelum wukuf kami berjanji untuk bertemu bagi membeli sedikit persiapan untuk ke Arafah. Pada masa itu, kami mendapat berita kematian ibu," katanya yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Malaya.

0 Komentar untuk " Sup kambing punca ustaz dikejar anjing "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ