Pastikah Dun Chempaka tidak dicabar - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pastikah Dun Chempaka tidak dicabar

SOKONGAN beberapa pemimpin Pas dan semua sayap Umno terhadap pandangan Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed @ Tok Pa supaya kerusi Dun Chempaka yang kosong dengan pemergian Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat Khamis lalu tidak dicabar adalah sesuatu yang menarik.

Apatah lagi apabila ada yang anggap hasrat itu adalah tanda penghormatan daripada musuh politik terhadap Allahyarham, yang diakui ramai seorang yang warak, zuhud dan lantang dalam perjuangan menegakkan ajaran Islam.

Kalau pun itu bukan hasrat sebenar, ia masih luar biasa kerana payah bagi lawan memberi laluan dalam perebutan kerusi pilihan raya di Malaysia atau di mana sahaja.

Yang biasa berlaku sebelum ini dalam PRK atau PRU ialah perang habis-habisan, hingga ada pihak kadang-kadang menolak soal dosa pahala ke tepi, menuding jari dan memalitkan lumpur sebanyak mungkin semata-mata untuk menang kerusi.

Cadangan Tok Pak yang disokong ramai ini mengingatkan saya kepada ucapan seorang tokoh politik pada suatu ketika dahulu. Beliau berkata, alangkah indahnya jika dalam kempen pilihan raya, satu pihak cerita kebaikan calon lawan dan mendorong rakyat beri undi kepada pihak lawan.

Sebagai contoh, katanya, Umno galakkan rakyat mengundi calon Pas dan Pas pula menceritakan kebaikan calon Umno dan dorong rakyat undi calon Umno.

Ini boleh dianggap sesuatu yang murni, tetapi malangnya perkara begini hanya boleh berlaku dalam mimpi. Kata orang, mudah cakap tapi tak mudah dilaksanakan.

Kita dengar semangat mengutamakan orang lain daripada diri sendiri untuk dipilih sebagai pemimpin atau diberi layanan berlaku pada zaman Nabi SAW dan Khalifah ar-Rasyidin, tetapi di dunia hari ini, di mana wang, kuasa dan harta menjadi tumpuan. kejadian begini, kalau pun berlaku, dianggap satu keajaiban.

Ia luar biasa, seperti apa yang disebut oleh ulama, penulis dan pemidato Indonesia, Prof  Dr Hamka, ketika saya menemu bual beliau di Kuala Terengganu (kira-kira enam bulan sebelum beliau meninggal dunia, iaitu Jumaat, 24 Julai, 1981) : “Kalau orang tampar pipi tuan sebelah kanan, berilah pipi sebelah kiri untuk ditampar”.

Yang biasa adalah orang suka menampar tapi tidak mahu ditampar. Yang ramai ialah mereka yang mampu nampak kuman di seberang lautan, tetapi tidak nampak gajah di depan mata. Itulah hakikat di muka bumi ini.

Sebab itu apabila Tok Pa sarankan jangan cabar Dun Chempaka itu, saya awal-awal angkat topi, walaupun saya belum terbaca setakat ini apakah saranan itu jelas sebagai tanda hormat kepada penyandangnya, Allahyarham Nik Abdul Aziz.

Yang saya baca adalah kerusi Dun Chempaka itu tidak perlu ditandingi oleh BN kerana yang penting sekarang, fokus kepada bantuan untuk mereka yang hilang kediaman dan harta benda dalam banjir Disember lalu.

Kalau ada PRK, Tok Pa disebut sebagai berkata, mungkin ada pergeseran antara pimpinan parti sedangkan perpaduan harus diutamakan, bukan perbalahan.

Beliau juga mahu merujuk kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, sebelum keputusan dibuat. Memang sepatutnya begitu. Itu prosedur parti.

Dalam masa sama, kedengaran beberapa suara yang bertanya, sekiranya mahu menghormati Allahyarham, mengapa sejak awal beliau jadi calon di kawasan itu, iaitu mulai 1967, pihak lawan tidak memberinya laluan supaya menang tanpa tanding, bahkan mencabarnya bermati-matian.

Pada anggapan saya, persoalan demikian kurang sesuai, kerana walaupun menghormatinya, beliau masih hidup masa itu. Tetapi sekarang barangkali penghormatan itu lebih bermakna kerana beliau sudah tiada.

Cuma belum sempat saya fikir panjang mengenainya, sudah ada pula pihak yang mempersoalkan pihak lawan, yang didakwa memberi laluan hanya kerana takut kalah.

Perkara begini payah didebatkan, kerana ia soal hati. Siapa tahu apa yang ada dalam hati? Pada saya yang penting semangat begini perlu untuk jadi titik permulaan dalam usaha ke arah perpaduan dua pihak. Bila lagi kalau bukan sekarang?

Sungguh cantik si bunga cempaka; jangan dipetik biar berkembang; tidak mampu berkata apa-apa; di hati terlanjur sayang...

Pantun ini tiada kaitan dengan Dun Chempaka, cuma sekadar ingin berkongsi dengan pembaca budiman.

0 Komentar untuk " Pastikah Dun Chempaka tidak dicabar "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ