Bersederhana puja @ membenci tokoh - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bersederhana puja @ membenci tokoh

RAMAI yang masih bersedih atas pemergian mantan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat atau lebih mesra dengan panggilan Tok Guru Nik Aziz. Saya sendiri menerima berita pemergian Allahyarham tatkala baru hendak berlepas ke Tanah Suci Makkah.

Mujurlah penerbangan Qatar Airways yang saya naiki mempunyai perkhidmatan jalur lebar internet yang membolehkan saya mengikuti perkembangan tersebut sepanjang tujuh jam setengah perjalanan ke Jeddah melalui Doha dengan membayar sebanyak USD20.

Tiada siapa yang boleh nafikan Tok Guru merupakan ahli politik tanah air yang cukup disegani kawan mahupun lawan. Watak beliau sebagai Tok Guru yang tidak pernah berhenti mengajar agama walaupun ketika menggalas jawatan sebagai Menteri Besar amat mengesankan.

Memanglah sebagai orang politik, beliau juga adalah manusia biasa yang tidak terlepas dengan pelbagai kritikan khususnya dalam aspek pentadbiran kerajaan. Namun kesederhanaan watak dan cara hidup beliau sepanjang menjadi Menteri Besar adalah antara sumber kekuatan Pas terus bertahan memerintah Kelantan.

Pernah penulis mengunjungi beliau tahun lepas di pejabat Yayasan Tok Guru selepas Allahyarham tidak lagi memegang jawatan sebagai Menteri Besar. Lebih satu jam perbualan kami menyentuh pelbagai perkara termasuk hal-hal politik semasa tanah air.

Satu perkara yang membuatkan penulis rasa terkilan ialah cadangan Tok Guru untuk Yadim menganjurkan forum yang menemukan beliau dan Tun Dr Mahathir dalam satu pentas tidak kesampaian. Ini kerana kesihatan beliau selepas pertemuan tersebut mulai merosot.

Penulis tidaklah berhasrat memfokuskan pelbagai jasa beliau yang hakikatnya telah banyak yang menulis mengenainya. Cuma penulis sedikit terkilan wujudnya pihak yang ekstrem atau melampau dalam memberi reaksi terhadap pemergian Allahyarham.

Di satu pihak masih ada yang mengambil kesempatan mencurahkan rasa marah dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan mengeji dan mengutuk Allahyarham secara tidak wajar tatkala beliau sudah pergi meninggalkan kita semua.

Memang tidak dinafikan ada kata-kata beliau ketika masih hidup yang agak keras dan pedih untuk ditelan oleh para pendukung parti yang berbeza dengan fahaman politik beliau. Namun para pendukung seharusnya mencontohi sikap para pemimpin Umno seperti Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri yang bersedia memaafkan bahkan turun menghadiri upacara sembahyang jenazah dan pengebumian Allahyarham. Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin Umno lain termasuk Datuk Seri Mustapa Mohamed walaupun pernah dikutuk dan dicemuh. Hampir tiada pemimpin-pemimpin Umno yang mengeluarkan kata-kata negatif mahupun mengeji Allahyarham yang sekali gus menggambarkan jiwa besar kepimpinan yang wajar diteladani.

Inilah sebenarnya jiwa besar selaku umat Islam yang patut dicontohi kerana bersedia memaafkan bahkan hanya menyebut perkara-perkara positif mengenai orang lain, terutamanya mereka yang telah mati.

Di satu ekstrem yang lain, ada juga segelintir pengikut yang taksub cuba mentakdiskan atau mengangkat Allahyarham ke tahap yang terlalu tinggi hingga melakukan perlakuan yang bersifat khurafat dan boleh menjejaskan aqidah. Sebagai contoh ada yang mengambil tanah di kawasan perkuburan Allahyarham untuk dibawa balik kerana menganggapnya keramat. Malah tidak kurang yang menyebarkan gambar awan yang dikatakan berkepul-kepul menandakan kesedihan akan pemergian Allahyarham Tok Guru Nik Aziz.

Mungkin mereka perlu diingatkan dengan kisah yang hampir sama berlaku pada zaman Rasulullah SAW sendiri tatkala anakanda baginda Ibrahim meninggal dunia. Kebetulan ketika peristiwa kematian tersebut berlaku fenomena gerhana matahari. Lalu sebahagian daripada orang ramai cuba mengaitkan fenomena tersebut dengan kematian Ibrahim.

Peristiwa ini dinukilkan dalam Hadis Sahih Riwayat Bukhari: “Berlaku gerhana matahari pada hari Ibrahim (anak Nabi SAW) meninggal dunia, kemudian orang ramai berkata: “Berlakunya gerhana kerana kematian Ibrahim”. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda dari tanda-tanda (kekuasaan) ALLAH, kedua-duanya tidak gerhana kerana kematian seseorang dan tidak juga kerana kelahiran seseorang, maka apabila kamu melihat gerhana kedua-duanya, hendaklah kamu berdoa kepada ALLAH dan solatlah (gerhana) sehingga hilang (gerhana tersebut)”.

Di sini jelas sekali betapa Nabi SAW melarang keras perbuatan mengaitkan sesuatu kejadian alam dengan kematian ataupun kelahiran seseorang.

Demikianlah sebahagian coretan yang sempat penulis lakarkan ketika masih di Tanah Suci ini. Bukan apa, penulis sedikit gusar dengan sikap ekstrem masyarakat kita dalam memuja mahupun membenci seseorang sehingga melakukan perbuatan yang tidak berpandukan suluhan agama yang benar.

Apa yang penting bersederhanalah dalam semua perkara termasuk mencintai mahupun membenci seseorang tokoh. Jangan sampai kita melampaui batas yang boleh menjerumus kita ke arah kesesatan.

* Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

0 Komentar untuk " Bersederhana puja @ membenci tokoh "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ