Agama bukan untuk dipersendakan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Agama bukan untuk dipersendakan

SATANIC Verses oleh Salman Rushdie. Lukisan kartun Rasulullah di akhbar Jyllands-Posten. Penampilan gambar olok-olok Nabi di majalah Charlie Hebdo. Pembakaran al-Quran oleh Christian Dove World Outreach Centre dan filem Innocence of Muslim.

Individu dan institusi di atas bukan sahaja tidak percaya kepada Nabi Muhammad SAW, malah berang dan lebih jauh dari itu mencemuh segala ajaran suci agama.

Sungguh bagi mereka yang ragu untuk beriman, agama dan kebenaran merupakan olok-olokan sahaja. Rukun agama dipandang ringan, Tuhan dicemuh, Nabi diseloroh, pengikutnya diperolok.

Golongan skeptis bukan sekadar mengejek Baginda, bahkan mencurah fitnah terhadap kebenaran agama. ALLAH merakamkan dalam al-Quran, “mereka menjadikan ayat-ayat-Ku dan para rasul-Ku sebagai sasaran olok-olok” (18:106), dan dalam surah lain, “apabila mereka melihat sesuatu tanda kebesaran ALLAH, mereka menjadikannya bahan penghinaan.” (37:14)

Golongan skeptis dan sinis menggelar kebenaran agama dengan gelaran mengejek. Laman sesawang Christian Dove World Outreach Centre menuduh “Islam adalah ajaran Iblis yang ganas lagi menindas.”

Akhbar Denmark Jyllands-Posten memperkartunkan Nabi sebagai teroris, dengan gambar yang memperolokkan Baginda memakai serban berbentuk bom dengan fius yang sedang marak.

Satanic Verses memanggil Nabi sebagai ahli sulap, tukang sihir dan rasul palsu; dan turut menghina para isterinya dengan memakaikan nama mereka kepada wanita jalang. Para Sahabat dicerca sebagai “bangsat dari Farsi”.

Filem Innocence of Muslims menggambarkan Nabi sebagai “tolol, kaki perempuan, homoseks dan pendera kanak-kanak” sementara orang-orang Islam dipaparkan “pembunuh kejam, pelahap harta yang bertekad membunuh wanita dan kanak-kanak.”

Sikap dan pemikiran mereka sama dalam sejarah yang dirakam ALLAH: “Dan sungguh sebelum kamu pun telah diperolok-olokkan beberapa rasul - namun orang-orang yang mencemuhkan mereka akhirnya kalah kepada olok-olokan mereka sendiri” (6:10; juga 21:41).

Dalam ayat yang lain: “(Azab) yang lebih buruk akibatnya menimpa orang-orang yang mengerjakan kejahatan, yang mendustakan ayat-ayat ALLAH dan selalu memperolok-oloknya” (30:10).

Ayat-ayat tersebut memberi amaran balas balik: acap kali kejahatan itu menjadi punca kemusnahan dirinya sendiri. Lambat-laun, mereka yang memperolok menyisihkan agama mendapati kejahatan yang mereka lakukan berbalik tanpa dapat disekat pada dirinya sendiri.

Pertama, oleh kerana ejekan terhadap agama ALLAH mencerminkan kelekaan mementingkan nafsu dan kepentingan sempit kebendaan, kehidupan mereka sesudah mati mengalami bencana jangka panjang.

Keduanya, di peringkat sosial, sekiranya pemikiran sedemikian secara berterusan menjadi sikap ramai orang dalam masyarakat yang serba permisif, ia akan menghancurkan susunan akhlak bermasyarakat, kebahagiaan duniawi, kesaksamaan ekonomi, keseimbangan sosial, bahkan kesihatan fizikal.

Sikap mementingkan kehidupan yang fana, memandang enteng terhadap kebenaran agama, tanpa disedari akan menjadi punca kelalaian sekularis terhadap amaran ALLAH dan nasib terakhir dalam kehidupan (al-akhirah). Kebenaran itu akhirnya lebih abadi dari sekalian ejekan. “Sungguh Kami memeliharamu dari (kejahatan) orang-orang yang memperolokkan (kamu)” (15:95).

Islam menggalakkan agar dialog inter-ideologi dikendali dengan bijak dan terampil, tanpa sebarang cercaan yang makin memburukkan keadaan. “Janganlah kamu memaki sembahan yang mereka puja selain ALLAH, kerana nanti mereka akan memaki ALLAH dengan melampaui batas dan aniaya dengan jahil” (6:108), orang Islam diharamkan memaki sembahan kudus orang bukan Islam, lantas melukakan perasaan, membangkitkan kemarahan dan mencetus permusuhan.

0 Komentar untuk " Agama bukan untuk dipersendakan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ