Hubungan Pas-PR bercabang - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Hubungan Pas-PR bercabang

AKHIR-akhir ini, kenyataan beberapa pemimpin Pas terhadap Umno dan pemimpinnya semakin lunak didengar. Bahasa yang digunakan lebih sopan dan menarik. Konteks dan suasana kenyataan dibuat juga sangat simbolik. Dalam mengalu-alukan bantuan dan sokongan Kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri menangani krisis ekoran banjir besar akhir tahun lalu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menunjukkan sikap terbuka dan boleh bekerjasama dengan pemimpin Pusat. Mereka tidak berpendirian antagonistik dan bersikap diplomatik.

Mereka juga menganggotai jawatankuasa khas bersama pemimpin Umno-BN untuk membantu mangsa banjir di negeri itu, termasuk pembinaan rumah dan kediaman baharu kepada mereka yang terlibat.

Sebelum ini, mereka juga tidak ada masalah duduk bersama pemimpin Umno peringkat negeri dan Pusat dalam jawatankuasa teknikal bagi mengkaji pelaksanaan hukum hudud di Kelantan. Kesudian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melawat beberapa pemimpin

Pas di hospital termasuk bekas Mursyidul Am, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat dan timbalannya Datuk Harun Din ketika mereka dirawat, serta kehadiran beliau dan beberapa menteri Pusat di kediaman Nik Aziz yang baru meninggal dunia, diterima baik oleh pemimpin parti itu. Anak bekas Menteri Besar Kelantan itu yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh, menganggap lawatan Najib memberi makna cukup besar kepada keluarganya.

Sejak kenyataan terbuka dibuat oleh Datuk Hussamuddin Yaacub bulan lalu, yang menganjurkan Pas dan Umno bersatu demi kepentingan rakyat Kelantan dan umat Islam negara ini, beberapa pihak telah memberi respons positif, terutama tokoh-tokoh Kelantan sendiri, termasuk ahli akademik, aktivis sosial dan pemimpin masyarakat serta rakyat dan pemimpin kedua-dua parti.

Mereka mengingatkan perpaduan dan kerjasama yang pernah terjalin antara kedua-dua parti dalam isu perjuangan Palestin dan penentangan terhadap kekejaman rejim Zionis Israel. Pada 1986 dan 2001-2002, pernah diusahakan muzakarah antara Pas dan Umno untuk membincangkan isu perpaduan Melayu. Bagaimanapun, usaha ini tidak menjadi kerana pelbagai faktor. Walaupun berseteru dari segi politik, pemimpin Umno dan Pas menunjukkan kemesraan bila ada peluang bertemu, misalnya Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Fadhil Noor, Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan Nik Aziz, dan Najib dengan Ahmad.

Walaupun tidak ada kenyataan rasmi daripada kedua-dua parti berhubung cadangan itu, umumnya hubungan antara Pas dan Umno masa kini adalah baik. Pemimpin kedua-dua parti kini berjumpa lebih kerap dan boleh duduk berbincang bersama, tidak seperti dulu. Mohd Amar berkata, Pas dan Umno boleh bekerjasama secara pentadbiran antara kerajaan dengan kerajaan, justeru membuktikan perbezaan ideologi tidak menghalang kedua-dua pihak dalam urusan membantu mangsa banjir, misalnya. Jika kedua-dua pihak ikhlas, perbezaan parti adalah perkara kecil, tegasnya. Ada pihak melihat cadangan Umno Kelantan tidak meletakkan calon untuk merebut kerusi Dun Chempaka, yang kosong ekoran kematian Nik Aziz minggu lalu, kerana tidak mahu berlaku pertelingkahan politik ketika berkempen, sebagai langkah munasabah.

Namun, ada juga pihak yang tidak senang dengan perkembangan ini. Mereka tidak mahu melihat Pas dan Umno menjadi rapat, apatah lagi bekerjasama baik di peringkat pentadbiran mahupun politik. Paling sakit hati ialah DAP dan PKR, sekutu Pas dalam Pakatan Rakyat.

Mereka mengingatkan pimpinan Pas akan janji untuk sama-sama menumbangkan Umno-BN dan merampas Putrajaya. Mereka mahu Pas buang hasrat melaksanakan hukum hudud dan undang-undang syariah di negara ini, serta berpegang kepada kandungan Buku Jingga dan rangka kerja dasar bersama yang telah dipersetujui. Mereka menentang golongan ulama Pas untuk mematikan pengaruh mereka, serta menyokong puak liberal dan pro-Anwar dalam parti itu sehingga wujud komplot yang dianggotai AJK Pas Pusat bagi menjatuhkan presiden sendiri. Mereka juga seronok melihat ahli Pas keluar jemaah, membelakangi usaha pemimpin parti sendiri dengan menubuhkan kumpulan pendesak, seperti PasMa dan Gabungan Impian Kelantan.

Hari ini, hubungan Pas dengan kedua-dua parti sekutu amat berkecamuk. Mereka bertelagah dalam hampir semua perkara. Selain bercanggah pendirian dalam soal hudud dan pilihan raya kerajaan tempatan, mereka juga tidak sekata dalam soal pelaksanaan beberapa peraturan di Kelantan seperti penutupan premis pada waktu solat Jumaat dan penjualan arak di premis 24 jam di kawasan majoriti Melayu, serta pemilihan calon menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang. Kegagalan mesyuarat pimpinan tertinggi PR pada 10 Februari lalu menyaksikan penyokong Pas tidak lagi berkerumun di kawasan mahkamah ketika perbicaraan Anwar atau menyertai demonstrasi jalanan yang dianjurkan PKR.

* Datuk Dr Mashitah Ibrahim Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM)

0 Komentar untuk " Hubungan Pas-PR bercabang "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ