Hanya pendidikan satu aliran mampu harmonikan kaum - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Hanya pendidikan satu aliran mampu harmonikan kaum

Usaha mengintegrasikan masyarakat majmuk di negara ini bukan proses mudah. Setiap bangsa telah ditakdirkan untuk menjalani hidup yang berpisah- pisah sejak zaman kolonial melalui konsep 'pecah dan perintah.'

Apabila negara mencapai kemerdekaan, pemimpin politik awal yang mewakili tiga bangsa utama di Semenanjung, tidak pula memilih suatu elemen penyatuan, umpamanya melalui sistem pendidikan kebangsaan yang tunggal, seperti yang dilakukan oleh Thailand dan Indonesia.

Maka setiap bangsa mempunyai sistem pendidikan masing-masing. Mereka gunakan bahasa yang berbeza-beza. Mereka membaca bahan media yang berlainan. Pendekkata, hampir tiada titik pertemuan yang membolehkan kita membuat tanggapan positif mengenai masa depan integrasi nasional.

Hadapi masalah

Baru-baru ini, sejumlah remaja dan pemuda Cina secara terus terang memberitahu The Malaysian Insider, 'mereka menghadapi beberapa masalah dalam negara kerana ketidakupayaan itu dan ia membataskan komunikasi mereka dan mengehadkan destinasi yang boleh dikunjungi.'

Mereka juga tidak berasa ada kaitan dengan bahasa Melayu yang dipelajari di sekolah secara menghafal. Sesetengahnya juga berkata mereka tidak berasakan bahasa Melayu itu penting kerana ia tidak digunakan di negara lain.

Pengakuan ini menunjukkan pengetahuan sempit mereka mengenai penggunaan bahasa Melayu yang menjadi akar kepada bahasa Indonesia. Bahasa ini mempunyai kira-kira 300 juta penutur di seluruh dunia, khususnya di Asia Tenggara.

Akibatnya, pelajar seperti Katarina Law Jen-Yu (pengakuan dalam The Malaysian Insider) tidak boleh membina satu ayat lengkap dalam bahasa Melayu. Ia perlu menokok tambahnya dengan bahasa Inggeris. Pengakuan lain dibuat oleh Har Chee Hou, bekas pelajar Foon Yew Chinese Independent School di Johor.

Beliau menggunakan bahasa Melayu yang teruk, termasuk 'bahasa rojak' ketika berkomunikasi dengan orang Melayu ketika membantu calon pilih raya ketika Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13). Kebiasaan yang sama juga berlaku dalam kes Chan Kah Fai, bekas pelajar Pin Hwa High School, yang mencampurkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris, ketika menjalankan tugas di pejabat perkhidmatan pelanggan di sebuah syarikat telekomunikasi.

Beberapa kes di atas hanyalah puncak aisberg kecil di mana realiti yang lebih besar dan menggerunkan berada di bawah permukaan kehidupan kita sebagai anggota masyarakat majmuk. Oleh sebab, belia masa kini akan menentukan hala tuju negara, termasuk isu perpaduan, sesuatu mesti dilakukan mulai sekarang bagi menangani gejala ini. Yang terbaik ialah mewujudkan hanya satu sistem pendidikan kebangsaan.

Tetapi, kita sudah terlewat. Politik berasaskan kaum di negara ini akan bergolak jika kepentingan sesuatu kaum dicabar kembali. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut prihatin akan isu ini. Katanya, lebih banyak aktiviti dan program perlu diadakan di antara pelajar sekolah rendah kebangsaan (SRK) dan sekolah rendah jenis kebangsaan (SRJK) bagi menggalakkan pergaulan dan interaksi kaum di Malaysia.

Beliau juga berkata langkah demikian perlu bagi mencapai lebih banyak titik pertemuan bersama, sekali gus meningkatkan penyatuan kaum di negara ini.

Polarisasi kaum

Sambil mengakui bahawa polarisasi kaum adalah antara masalah terbesar dihadapi negara hari ini, beliau berkata usaha kerajaan melalui Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang antara lain bertujuan menyatukan rakyat Malaysia dilihat tidak dapat mencapai objektif berkenaan.

Usaha memecahkan polarisasi kaum, bagi mengadun integrasi, tidak cukup hanya melalui kegiatan berkala antara SRK dengan SRJK, atau program PKLN. Pendidikan yang terpisah-pisah memerlukan negara merancang program integrasi nasional yang menyeluruh, konsisten dan berjangka panjang.

Program ini harus babitkan semua golongan, terutama kanakkanak dan remaja yang masih bersekolah. Jika bibit penyatuan kaum disemai sejak kanak-kanak, maka hasil integrasi dapat dituai ketika mereka remaja dan dewasa. Integrasi antara kaum yang mantap akan menjadi asas kepada kestabilan negara, yang boleh memacu pelbagai kemajuan dan perkembangan sektor kehidupan bangsa kita.

0 Komentar untuk " Hanya pendidikan satu aliran mampu harmonikan kaum "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ