Pelajar rempuh pagar UM ‘samseng’, kata menteri pendidikan II - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pelajar rempuh pagar UM ‘samseng’, kata menteri pendidikan II

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh menasihatkan mahasiswa menolak budaya samseng pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 10 November, 2014.

Datuk Seri Idris Jusoh menasihatkan mahasiswa agar mendapatkan kebenaran pihak universiti sebelum mengadakan apa jua aktiviti sebagaimana yang sudah ditetapkan.

Menteri Pendidikan II itu berkata, mahasiswa perlu menolak budaya samseng dan provokatif yang sememangnya tidak perlu ada dalam sahsiah seorang pelajar.

"Masuk universiti rempuh pintu pagar budaya samseng, budaya provokatif yang tidak harus ada pada pelajar. Saya tidak tahu mengapa pelajar ini jadi hero?

"Saya dulu pun pemimpin pelajar juga. Saya tahu. Kita hendak buat program di universiti, minta kebenaran apa salahnya?
"Jangan rempuh pintu pagar. Ini samseng. Bukan budaya pelajar. Tidak ada budaya kasih sayang langsung. Saya tidak faham macam mana orang ini boleh jadi hero?" katanya pada sidang media program Inovasi Usahawan Muda SME Bank di Kuala Lumpur hari ini.

Idris berkata, apa jua program di kampus perlu mendapat kebenaran naib canselor universiti dan bukannya seperti program yang dianjurkan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) yang mengundang Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kalau kita tengok di UM dulu, tak minta surat pun. Ini budaya kurang sihat. Menurut naib canselor, (mereka) tak minta surat kebenaran. Kalau nak buat apa-apa program di universiti, mintalah kebenaran.

"Apa yang berlaku di universiti, keputusan dibuat naib canselor kerana mereka mempunyai kuasa masing-masing,” katanya.

Beliau turut menyelar surat pekeliling yang mendakwa UM dikawal polis pada 27 Oktober lalu semasa acara "Pidato Anwar Ibrahim: 40 tahun dari UM ke Penjara" berlangsung.

"Buat pula berita palsu mengatakan polis sudah mengambil alih kampus. Tak perlu. Universiti adalah gedung ilmu. Jika nak buat perbincangan intelektual tak mengapa. Tiada masalah,” katanya.

Pelajar UM dan penyokong Anwar hujung bulan lalu bertekad memastikan ketua umum PKR itu berjaya memasuki universiti dan berucap kepada kira-kira 2,000 hadirin.

Ratusan pelajar sebelum itu berjaya memaksa pengawal keselamatan membuka pintu masuk utama dari laluan sebelah Kuala Lumpur/Bangsar bagi membolehkan mereka berarak ke dalam kampus sementara menunggu ketibaan Anwar.

Pihak universiti juga membenarkan kakitangannya pulang awal pada jam 4 petang, mengatakan terdapat masalah berkaitan bekalan elektrik.

Selepas kakitangan universiti meninggalkan kawasan kampus, pihak keselamatan UM menutup pintu arah Kuala Lumpur dan mengarahkan semua kenderaan menggunakan pintu arah Petaling Jaya.

Presiden PMUM Fahmi Zainol pula berdepan 9 pertuduhan atas kesalahan menganjur dan menyertai pidato berkenaan.

Minggu lalu, Fahmi menghadiri sesi pendengaran pihak universiti namun keputusan pendengaran itu ditetapkan kemudian.

Dia berkata 8 lagi pelajar lain yang terlibat dalam ceramah itu turut menerima surat sama daripada lembaga disiplin, namun tidak seberat tuduhan yang dikenakan kepadanya.

Semalam, Fahmi ditahan polis dua kali dalam hari yang sama selepas cuba memasuki Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada jam 10 malam.

Dia ditahan bersama 7 lagi mahasiswa dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu tanpa dimaklumkan atas kesalahan apa.

Fahmi dan mahasiswa lain berada di Sabah selama dua hari bagi program "Jelajah Reformasi" di mana pemimpin pelajar itu sepatutnya berucap di UMS pada jam 8 malam.

Terdahulu kira-kira jam 12 tengahari semalam, kumpulan mahasiswa yang sama ditahan polis ketika cuba berucap memberi penerangan kepada rakyat Sabah di Jalan Gaya sebelum meneruskan acara berpidato di UMS pada malamnya.

Malah difahamkan, Fahmi bersama rakannya turut diarahkan menjalani ujian air kencing sebelum dilepaskan kira-kira jam 5 petang. – 10 November, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pelajar-rempuh-pagar-um-samseng-kata-menteri-pendidikan-ii#sthash.2Z3JPCke.dpuf
0 Komentar untuk " Pelajar rempuh pagar UM ‘samseng’, kata menteri pendidikan II "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ