Rang Undang-Undang (RUU) Akta 164 diluluskan di Parlimen, ibarat melihat sebuah kereta dari sudut berlainan, maka bukan pelik apabila komen dan pandangan diutarakan juga berbeza-beza. Gesaan untuk meminda Akta 164 khususnya s.51 menjangkau puluhan tahun. Seperti biasa, pelbagai maklum balas diterima.
Apabila babitkan penggubalan suatu undang-undang, diyakini sudah meneliti dan mengambil kira aspek yang mempunyai kaitan langsung seperti peruntukan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang lain yang berkuat kuasa, prinsip dan tafsiran dalam keputusan mahkamah atasan atau prinsip maslahah.
Pada pihak penggubal, RUU berkenaan tentu cadangan terbaik yang boleh dipertimbangkan setakat ini untuk menyelesaikan isu antara agama yang berbangkit dalam kes pertukaran agama selepas berlanjutan sejak sekian lama.
Dengan meminda s.51 Akta 164 akan memberi peluang dan ruang kepada mualaf untuk memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan di mahkamah sivil, walaupun bekas suami atau isteri bukan Islam enggan berbuat demikian. Di bawah seksyen 51(1) Akta 164 sedia ada, jika satu daripada pihak kepada perkahwinan sivil memeluk Islam, hanya pihak yang tidak masuk Islam boleh memfailkan petisyen bubar perkahwinan sivil mereka di mahkamah sivil. Jika dia tidak failkan petisyen itu, berdasarkan keputusan mahkamah atasan yang ada setakat ini, status perkahwinan masih sah dan berterusan.
🔥Hak jaga anak, agihan harta🔥
Kesannya, tanggungjawab sivil pihak memeluk Islam seperti menanggung nafkah isteri sivilnya masih berterusan. Wajarkah mualaf dibebankan atau 'dihukum' sebegitu selepas dia sukarela memilih agama baru? Pindaan berkenaan juga diharapkan dapat menyelesaikan relief sampingan lain yang berkaitan seperti hak jagaan anak dan pembahagian harta (harta sepencarian dalam tempoh perkahwinan sivil).
Apakah pindaan Akta 164 dapat menyelesaikan masalah berkaitan secara tuntas dan muktamad? Kebarangkalian masalah lain akan timbul tetap ada. Sebahagiannya berkait faktor kemanusiaan. Pelaksanaan apapun undang-undang turut bergantung kepada tafsiran mahkamah. Demikian juga penerimaan serta kejujuran pihak yang bertikai. Dalam hal hak jagaan anak (yang lahir dalam tempoh perkahwinan sivil) misalnya, pertimbangan utama mahkamah sivil dalam menentukan tentunya sama seperti yang diamalkan di mahkamah syariah iaitu aspek kebajikan anak terbabit.
Namun, ada yang membangkitkan persoalan, apakah tidak mungkin mahkamah akan memberikan hak jagaan anak yang diislamkan oleh bapanya yang memeluk Islam kepada ibu yang masih bukan Islam atas dasar mengutamakan kebajikan? Sedangkan dalam Islam, agama anak termasuk dalam aspek kebajikan.
Sejauh mana pula nanti anutan Islamnya tidak cuba dipengaruhi? Kes lalu menunjukkan bahawa hal agama yang menjadikan konflik undang-undang panas. Persoalan di atas nampaknya hanya akan terjawab apabila ada kes berkaitan dibawa ke mahkamah dan akan menguji peruntukan baharu berkenaan jika diluluskan.
Disebabkan kompleks isu yang mungkin menjadi pertikaian lanjutan antara pihak, maka ada mencadangkan penyelesaian perlu dibuat menerusi penubuhan suatu tribunal khusus yang dapat menimbangkan secara lebih adil bukan menerusi penentuan rigid undang-undang semata-mata.
Oleh Prof. Madya Dr. Zaini Nasohah
Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia
0 Komentar untuk " Antara undang-undang dan kemanusiaan "