Menjadi kaya dengan bersedekah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Menjadi kaya dengan bersedekah


MENJADI kaya bukanlah mudah bagi semua orang, terutama bagi yang dilahirkan dalam serba kekurangan. Namun, tiada yang mustahil selagi mana kita terus berusaha dan berdoa serta bertawakal.

Secara umumnya, mereka yang ingin menjadi kaya perlu bekerja kuat bagi mendapatkan wang yang banyak. Dalam Islam, makna dan konsep kaya itu luas dan perlu difahami dengan betul. Ia penting kerana ramai yang salah anggap bahawa Islam tidak menganjurkan umatnya mencari kekayaan memandangkan kekayaan tidak akan dibawa mati dan melalaikan.

Sebaliknya, Islam sangat menggalakkan umatnya berusaha bersungguh-sungguh mencari kekayaan dengan cara yang halal dan menggunakan kekayaan itu untuk menyebarkan syiar Islam, membangun ummah dan membantu mereka memerlukan; bukan untuk dinikmati diri sendiri dan keluarga semata-mata, apatah lagi digunakan untuk perkara yang tidak dianjurkan dan diredai ALLAH SWT.

Pemahaman yang betul terhadap konsep kaya dalam Islam akan membuatkan kita faham bahawa Islam mementingkan keberkatan yang akan membawa kepada kekayaan jiwa dan hidup yang serba sederhana dan tawaduk walaupun berstatus jutawan.

 Dalam Islam, antara formula untuk menjadi kaya adalah dengan memperbanyakkan sedekah.

Apa itu sedekah? Sedekah merupakan satu perbuatan memberikan sedikit harta yang kita miliki kepada mereka yang memerlukan. Hakikatnya, tiada apa yang kita miliki. Semuanya, termasuk nyawa kita sekalipun, hanyalah pinjaman dan amanah yang diberikan kepada kita selama mana kita ditentukan hidup di dunia ini. Semuanya akan diambil bila tiba masanya dan bila kita kembali kepada Pemunya sebenar, Pencipta sekalian alam, ALLAH SWT. Kelak, kita akan ditanya tentang kehidupan di dunia ini, termasuk ujian harta yang telah dikurniakan atau dipinjamkan kepada kita, bagaimana kita menggunakannya.

ALLAH SWT telah menjanjikan balasan berlipat kali ganda bagi mereka yang rajin bersedekah, sama ada dalam bentuk wang ringgit mahupun tenaga, masa dan ilmu. Segala bentuk kebaikan itu adalah sedekah, termasuklah senyuman.

Sedekah mengundang rahmat ALLAH dan menjadi sebab ALLAH membuka pintu rezeki. Nabi SAW bersabda kepada Zubair bin al-Awwam, "Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh ALLAH kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya ALLAH membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya ALLAH menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni daripada Anas RA)

Fadilat bersedekah amatlah besar, seperti diterangkan dalam al-Quran dan hadis. Ayat al-Quran berikut menggambarkan bahawa setiap harta yang dikeluarkan pada jalan ALLAH akan dibalas dengan kiraan lebih kurang 700 kali ganda. Selain itu, pemberi sedekah dijanjikan dengan kehidupan yang mudah.

ALLAH SWT berfirman, "Per-umpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan ALLAH adalah seperti sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. ALLAH melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan ALLAH maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui.” (Surah al-Baqarah : 261)

Firman ALLAH SWT lagi, "Dan barang siapa yang bertakwa kepada ALLAH, pasti akan ditunjuki kepada mereka jalan keluar. Dan diberi rezeki kepada mereka daripada jalan yang tidak disangka-sangka. Dan barang siapa yang bertawakal kepada ALLAH, maka ALLAH akan mencukupi baginya.” (Surah at-Talaq :  2-3)

Dalam hal ini, saya teringat seorang sahabat yang sangat rendah diri dan tidak sukakan populariti. Beliau yang merupakan bekas kapten kapal dan kini menjalankan perniagaan perkhidmatan perkapalan tiada akaun Instagram mahupun Facebook. Saya lihat beliau banyak bersedekah; ada yang disampaikan melalui saya kepada beberapa pertubuhan kebajikan serta orang perseorangan, dan beliau sangat istiqamah bersedekah.

Beliau sudah memulakan amalan bersedekah sejak mula bekerja lagi walaupun gaji ketika itu amat sedikit. Ramai beranggapan perlu jadi kaya terlebih dahulu sebelum boleh bersedekah tetapi sahabat ini bersedekah walaupun ketika susah. Kini, beliau mengecap kejayaan dan terus membantu lebih ramai orang yang memerlukan.

Sememangnya kekayaan harta dan jiwa dapat diperoleh melalui amalan bersedekah yang dilakukan dengan ikhlas dan bukan untuk menunjuk-nunjuk. Semoga kita dapat mendidik diri dan keluarga untuk istiqamah dalam bersedekah dan ia menjadi asbab diampunkan dosa-dosa kita dan dilimpahkan rahmat dalam seluruh kehidupan kita.

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/johari-yap/menjadi-kaya-dengan-bersedekah-1.722565
0 Komentar untuk " Menjadi kaya dengan bersedekah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ