KETAGIHAN dadah masih lagi menjadi 'duri dalam daging' dan menghantui Malaysia. Masalah penyalahgunaan dan ketagihan dadah adalah isu global. Penggunaan dadah jenis amphetamine atau stimulant menunjukkan penambahan terlalu tinggi, berdasarkan perangkaan 2010-2016 Agensi Anti-Dadah Kebangsaan.
Boleh disimpulkan di sini, masalah dadah sudah bertukar corak. Dadah jenis amphetamine yang mudah dibuat semakin popular dalam kalangan anak muda. Zaman revolusi industri keempat berpaksikan pada teknologi internet, mencetus satu bentuk ketagihan lain; ketagihan bukan dadah atau ketagihan jenis tingkah laku.
Ketagihan teknologi dan internet adalah isu terkini dan popular diperkatakan penyelidik, sarjana dan aktivis berpengalaman dalam bidang ketagihan. Bentuk ketagihan ini dikatakan sama seperti ketagihan dadah dari sudut neurobiologinya. Ketagihan tingkah laku ini juga memberi implikasi sosial dan psikologi sama seperti ketagihan dadah dan alkohol.
Ketagihan tingkah laku kerana internet selalunya disedari apabila keadaan sudah meruncing. Belum lagi masalah ketagihan dadah dapat diselesaikan dengan tuntas, timbul pula bentuk ketagihan lain yang lebih sukar untuk dikesan. Oleh itu, pencegahan ketagihan perlu diambil berat dan ini adalah usaha yang bukan kecil. Berkait rapat dengan penyalahgunaan internet, adalah ketagihan permainan video dan ketagihan pornografi. Walaupun belum didaftarkan sebagai penyakit psikiatri, aktivis sosial dan penyelidik hangat mewacanakan dua isu ini.
Institut penyelidikan oleh Pusat Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS) dan Pusat Penyelidikan dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) di Universiti Sains Islam Malaysia dan Pusat Untuk Penyelidikan Ketagihan (CentRenA) di Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu (UNISZA), wajar terus disokong untuk menjalankan penyelidikan penting.
Tenaga dan upaya rakyat perlu digembleng untuk membantu agensi kerajaan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam usaha advokasi dan pendidikan mencegah ketagihan terutamanya anak muda.
🔥Kerjasama rapat dengan agensi kerajaan🔥
Pembabitan orang ramai akan menghasilkan aktiviti dan kempen pencegahan lebih relevan, boleh dilakukan menerusi pertubuhan bukan kerajaan yang ada.
Pada 11 Julai lalu, International Federation of Green Crescents (IFGC) mengadakan mesyuarat tahunan yang pertama di Istanbul. Green Crescent Malaysia adalah salah satu negara anggota lembaga eksekutif pertubuhan bersekutu antarabangsa ini. Mesyuarat tahunan ini disusuli dengan program pemerkasaan kapasiti selama tiga hari, babit 34 negara. Program ini adalah satu usaha IFGC membanteras masalah ketagihan secara global dan holisik. Perkongsian antara negara dan latihan yang diberikan IFGC sangat bernilai pada Green Crescent Malaysia.
Green Crescent Malaysia (Persatuan Bulan Sabit Hijau Malaysia) adalah NGO ditubuhkan pada 11 Mei 2016 bertujuan membanteras ketagihan dadah, alkohol, tembakau, dadah dan teknologi, berdasarkan bukti saintifik terkini.
Green Crescent Malaysia dianggotai ahli akademik, pakar perubatan, jurutera, suri rumah dan pelajar, mengutamakan kerjasama rapat dengan agensi kerajaan untuk melaksanakan program advokasi dan kempen pencegahan apa juga jenis ketagihan. Green Crescent Malaysia juga mengalu-alukan rakan NGO lain untuk menjalankan program bersepadu lebih besar impaknya.
Penulis ialah Pensyarah kanan Perubatan Universiti Sains Malaysia dan Presiden Green crescent Malaysia
Oleh Dr Zul Azlin Razali
https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2017/08/307433/cari-jalan-atasi-ketagihan-dadah-internet
0 Komentar untuk " Cari jalan atasi ketagihan dadah, internet "