DALAM keluaran sebuah majalah Islam baru-baru ini, seorang sahabat Cina Muslim mengkritik salah satu artikel saya di ruangan ini yang bertajuk Izinkan Hazman bermain tanglung.
Menurut pemahaman beliau tentang artikel tersebut, Hazman ialah anak pasangan Melayu yang berjiran dengan Cina bukan Islam. Dalam artikel tersebut, saya menasihatkan pasangan Melayu itu agar membiarkan anak mereka bermain tanglung dengan anak jiran mereka.
Persoalan sahabat Cina Muslim tersebut, apakah tujuan membiarkan Hazman bermain tanglung? Jika Hazman menggunakan pelita sebagai alternatif kepada tanglung, adakah ia salah?
Mungkin beliau membaca dengan laju atau tidak teliti sehingga salah faham isi kandungan sebenar artikel tersebut. Artikel yang disiarkan pada 29 September 2015 itu boleh dilayari pada laman web Sinar Harian.
Dalam artikel tersebut, Hazman merupakan kanak-kanak berumur 10 tahun, Cina Muslim generasi ketiga, anak kepada Fara Wong dan cucu kepada Azran Wong, bukannya anak kepada pasangan Melayu.
Sememangnya tiada masalah jika Hazman ingin bermain pelita, atau lampu picit LED sekalipun, kerana fungsinya tetap sama, iaitu sebagai lampu untuk menerangi malam yang gelap.
Cumanya, tanglung merupakan sejenis bekas yang digunakan untuk melindungi lilin daripada tiupan angin, sama ada ketika berjalan pada waktu malam atau digantung di halaman rumah. Ia berfungsi sebagai lampu sebelum adanya kuasa elektrik.
Memang benar, ada banyak legenda yang dikaitkan dengan tanglung. Ini tidak menghairankan kerana ia berusia lebih 2,000 tahun. Sememangnya akan wujud bermacam-macam legenda dan mitos.
Jika dilihat daripada sudut asal-usul sesuatu kebudayaan, terdapat perbezaan ketara antara kisah dongeng dan legenda, atau sejarah. Walau apa pun legenda dan sejarahnya, yang pasti, pesta tanglung bukan perayaan agama.
Mesyuarat Panel Pakar Syariah Jakim (PPS) Kali Ke-89 yang telah bersidang pada 29 September hingga 1 Oktober 2015 di Hotel Royale, Seremban, telah bersetuju membuat keputusan bahawa hukum apa-apa aktiviti yang melibatkan tanglung adalah harus, dengan syarat, tiada unsur pemujaan dan ritual agama dan apa-apa kaitan kepercayaan yang bercanggah dengan syarak.
Masyarakat Cina Muslim yang bermain tanglung semestinya tidak akan membelakangkan syariat. Tanglung yang digunakan akan dipastikan tidak mempunyai tulisan yang memuja dewa-dewi yang disembah orang Cina bukan Islam.
Pada masa yang sama, tanglung juga boleh dijadikan bahan dakwah. Contohnya, dengan menulis kaligrafi Cina yang menyenaraikan lima Rukun Islam atau enam Rukun Iman pada tanglung tersebut.
Maka, janganlah menganggap masyarakat Cina Muslim yang bermain tanglung telah menggadaikan akidah sebagai orang Islam hanya kerana mereka ingin mengambil hati mereka yang belum Islam.
Sahabat saya itu juga mengatakan bahawa Laksamana Cheng Ho yang datang berdagang dan berdakwah ke alam Melayu tidak 'mencinakan' orang Melayu sebelum menyampaikan Islam kepada mereka.
Sememangnya itu tidak dinafikan. Islam tidak melarang mana-mana adat dan budaya selagi ia tidak mengandungi unsur-unsur yang diharamkan dalam Islam.
Maka, yang Melayu tidak perlu 'dicinakan' dan yang Cina tidak perlu dimelayukan. Masing-masing boleh mengamalkan adat dan budaya masing-masing yang tidak bercanggah dengan syarak, secara harmoni.
Walaupun kekal dengan kecinaan mereka, tidak salah untuk masyarakat Cina Muslim meraikan budaya Melayu yang cantik serta penuh dengan budi bahasa.
Tidak salah untuk mereka memakai songkok, baju Melayu dan samping ketika menyambut perayaan Aidilfitri atau pakaian tradisi Cina yang menutup aurat ketika menyambut Tahun Baharu Cina bersama sanak-saudara yang belum Islam.
Agak janggal rasanya untuk golongan Cina Muslim memakai baju Melayu pada Tahun Baharu Cina. Bukankah ada peribahasa Melayu yang berbunyi; 'masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak'?
Yang penting, kita perlu memahami dan menghayati konsep wasatiyyah yang seiring dengan gagasan 1Malaysia untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang sederhana, seimbang dan adil.
Bagi masyarakat Cina Muslim, tidak perlu menjadi ekstrem kepada Cina atau Melayu. Jadilah seorang Muslim yang bertakwa. Kehidupan yang terbaik di dunia ini adalah dengan menjadi hamba ALLAH yang mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.
http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/johari-yap/antara-tanglung-dan-pelita-1.711502
0 Komentar untuk " Antara tanglung dan pelita "