Manusia diciptakan untuk beribadah kepada Allah SWT. Kewarasan akal sewajarnya memandu manusia mengurus kehidupan bersama kurniaan lain yang diberikan. Bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau'izati di IKIMfm untuk mengetahui bagaimana mensyukuri nikmat yang diberi kepada manusia.
Manusia diciptakan untuk beribadah kepada Allah SWT. Kewarasan akal sewajarnya memandu manusia menguruskan kehidupan bersama kurniaan lain yang diberikan.
Nikmat yang sewajarnya disyukuri ialah diberi keistimewaan oleh Allah SWT menjalani kehidupan di dunia, malah disediakan segala kelengkapan sama ada di langit mahupun di bumi.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal yang belayar di laut dengan membawa benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari pelbagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya, dan keluasan rahmat-Nya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran." (Surah al-Baqarah, ayat 164)
Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau'izati di IKIMfm menjelaskan, Rasulullah SAW memberi ingatan kepada manusia sejak mereka berada dalam kandungan ibu sudah ditulis oleh Allah SWT mengenai rezeki, ajal, jodoh, perjalanan hidup di dunia serta qada dan qadar mereka.
Sudah tentunya ada yang mempersoalkan tujuan diciptakan oleh Allah SWT di dunia ini dan nikmat Islam menjadi jawapan kepada setiap persoalan yang timbul. Manusia turut dikurniakan akal dan pancaindera yang menjadi sumber kebijaksanaan untuk menguruskan kehidupan.
Malah, setiap manusia dilahirkan beriman kepada Allah SWT sehinggalah mereka dicorakkan oleh ibu bapa masing-masing sama ada menjadi penganut agama Yahudi, Kristian dan sebagainya.
Waras mengurus diri
Asal penciptaan manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Akal dikurniakan untuk kewarasan menguruskan kehidupan dan begitulah larangan meminum arak atau mengambil sesuatu yang memabukkan.
Akal juga menjadi sumber untuk beroleh nikmat hidayah dan agama yang akan mendorong mereka mentaati Allah SWT. Kewarasan akal menjadi sumber kecerdikan manusia mencari nikmat iman dan Islam yang menemukan mereka dengan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.
Adalah menjadi kerugian besar kepada umat manusia apabila gagal menjadi hamba Allah SWT. Apabila perintah Allah SWT diabaikan, bererti manusia melanggar syariat agama dan peraturan telah disusun, menyebabkan pelbagai ujian dan tekanan diturunkan kepada mereka.
Sewajarnya manusia yang hidup di dunia perlu bermatlamat untuk menghuni syurga pada hari akhirat kelak, oleh itu, elakkan diri daripada mensia-siakan masa yang diberikan. Kehidupan manusia bukan sahaja di dunia, tetapi juga di alam barzakh.
Kehidupan manusia diteruskan di Padang Mahsyar dan keadaan di sana nanti ditentukan oleh cara hidup dan amalan ketika hidup di dunia. Seterusnya, manusia akan menempuh kehidupan di akhirat yang kekal, sama ada menjadi penghuni syurga atau neraka.
Jangan kufur nikmat
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan sebelummu (wahai Muhammad) rasul kepada kaum masing-masing, lalu mereka membawa kepada kaumnya keterangan yang jelas nyata; kemudian Kami menyeksa orang yang berlaku salah (mengingkarinya); dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang yang beriman." (Surah ar-Rum, ayat 47)
Manusia harus memilih untuk menjadi orang Mukmin, bukan mereka yang mengkufuri nikmat kurniaan Allah SWT kerana hanya agama Islam diredai sebagai cara hidup di dunia dan diterima di sisi Allah SWT.
Apabila beriman kepada Allah SWT, manusia perlu mengetahui ganjaran yang akan diperoleh kelak. Jangan terperangkap dengan tipu daya dunia yang berakhir dengan balasan seksaan di neraka.
Jangan lupa peringatan Allah SWT supaya menjalani kehidupan dalam qanaah, berpada-pada kerana manusia yang mengejar harta hanya akan memusnahkan diri sendiri. Ambil iktibar bencana yang menimpa Qarun.
Sentiasa minta ampun
Qarun memerlukan lebih 400 ekor kuda untuk membawa anak kunci kepada gedung harta kekayaan yang dimilikinya. Bagaimanapun, Qarun ditenggelamkan Allah SWT ke dalam muka bumi sedalam 70 hasta setiap kali terbitnya matahari kerana keangkuhan dan sikap tamaknya.
Gunakan kekayaan untuk mendapat keberkatan hidup. Adalah sesuatu yang merugikan apabila beroleh kekayaan melimpah ruah tetapi jauh daripada keberkatan Allah SWT. Keberkatan membolehkan yang sedikit dirasakan banyak, yang sempit dirasakan luas.
Dalam hidup ini, manusia harus mengejar keampunan daripada dosa dilakukan setiap masa.
Carilah ilmu sebanyak mungkin daripada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW kerana semakin banyak ilmu yang diperoleh, semakin dekat kedudukan seseorang di sisi Allah SWT.
Tanamkan keikhlasan beragama dan jangan mensyirikkan Allah SWT walaupun sesukar mana. Berusahalah mendapatkan reda Allah SWT untuk melengkapkan dan melayakkan diri beroleh ganjaran syurga.
Penulis adalah Pengurus Hubungan Strategik IKIMfm
https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2017/09/322673/nikmat-islam-lengkapi-kehidupan
0 Komentar untuk " Nikmat Islam lengkapi kehidupan "