Oleh Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim
BOLEH ustaz kongsi tanda yang menunjukkan amalan ibadat seseorang itu diterima oleh Allah SWT.
Rahmat Allah SWT diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya tanpa mengira darjat dan pangkat. Bahkan, ada juga dalam kalangan manusia yang ingkar turut mendapat rahmat Allah SWT sebagai dugaan dan peringatan kepada mereka.
Oleh itu, umat Islam diminta untuk mempertingkatkan amal ibadat supaya semua yang dilakukan dikira sebagai tanda syukur atas nikmat dianugerahkan Allah SWT kepada mereka.
Sehubungan itu, antara tanda amal ibadat seseorang itu diterima Allah SWT ialah dia dapat merasakan betapa besarnya rahmat dan kasih sayang-Nya kepada umat manusia di dunia ini sehingga tidak ada satu makhluk pun mampu menghitungnya.
Dia dapat merasakan nikmat kedamaian dalam jiwanya setelah amal ibadat sempurna, hati menjadi tenteram, damai, reda dan sabar atas segala dugaan yang menimpa kepada diri serta keluarganya.
Segala aktiviti harian yang dilakukan akan diserahkan kepada ketentuan dan takdir Allah SWT, bersungguh-sungguh meninggalkan kemaksiatan dan bersegera bertaubat jika sedar perbuatan yang dilakukan itu bercanggah dengan syariat Islam.
Hati seseorang yang ibadatnya diterima Allah SWT akan menjadi aman dan tenteram dengan mengingat Allah SWT.
Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang maksud: "Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah SWT. Ingatlah hanya dengan mengingat Allah SWT hati menjadi tenteram." (Surah ar-Ra'd, ayat 28)
Bagaimanakah cara dan adab terbaik untuk berdoa kerana terdapat pandangan yang mengatakan bahawa doa kita mungkin ditolak Allah SWT.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina." (Surah al-Mukmin, ayat 60)
Ulama telah menyimpulkan beberapa adab berdoa supaya dimakbulkan oleh Allah SWT seperti berdoa dalam keadaan suci daripada hadas kecil dan besar, memakai pakaian bersih dan berdoa di tempat yang bersih.
Mengadap kiblat dan berdoalah dengan khusyuk, tawaduk serta merendahkan diri kepada Allah SWT. Mulakan doa dengan memuji Allah SWT diikuti membaca selawat kepada Nabi Muhammad SAW.
Angkat kedua tangan hingga kelihatan kedua ketiak di samping perut dan anak jari mengadap ke atas. Untuk memohon sesuatu hajat, ulang menyebutnya sehingga sekurang-kurangnya tiga kali. Setelah selesai berdoa sapukan tangan ke muka.
Berdoa hendaklah dengan penuh yakin bahawa Allah SWT akan memperkenankan doa itu. Jangan sekali-kali dalam keadaan hati lara dan lalai atau tidak cukup kuat keyakinan serta kemahuannya. Tuhan tidak akan memperkenankan doa seperti itu.
Setiap orang Islam hendaklah memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT ketika senang supaya Allah SWT memperkenankan doanya ketika susah.
Berdoalah dengan suara perlahan serta merendahkan diri di samping mengakui segala kesalahan dan dosa pernah dilakukan. Sebaik-baik doa ialah dengan kata-kata yang mudah, ringkas dan mempunyai pengertian luas.
Jangan sekali-kali berdoa untuk meminta sesuatu keburukan, kejahatan, perpecahan dalam masyarakat atau keluarga. Begitu juga jangan meminta sesuatu yang mustahil. Jangan sekali-kali merajuk apabila doa belum dikabulkan oleh Allah SWT.
Sebaliknya hendaklah bersabar dan terus berdoa serta berserah diri kepada-Nya. Akhiri doa dengan ucapan 'Amin', selawat kepada Nabi Muhammad SAW serta puji-pujian kepada Allah SWT.
Adakah membaca 'Bismillah' sebahagian daripada sunah Nabi SAW.
Membaca 'Bismillah' sebahagian sunah Nabi SAW dalam setiap permulaan sesuatu pekerjaan berdasarkan sabda Baginda: "Tiada seorang hamba pun mengucapkan 'Bismillahirrahmanirrahim' kecuali Allah SWT perintah kepada malaikat yang bertugas mencatat amal manusia untuk mencatat dalam buku induknya empat ratus kebaikan."
Terdapat banyak dalil menggalakkan umat Islam membaca 'Bismillah' antaranya ketika ingin membaca al-Quran, mengambil wuduk, melakukan penyembelihan, memulakan persetubuhan dengan suami atau isteri, berjalan, duduk, baring, makan dan minum.
https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2017/09/323530/hati-tenang-tanda-amal-ibadat-diterima
0 Komentar untuk " Hati tenang tanda amal ibadat diterima "