Kekalkan bagi pasangan berkahwin - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kekalkan bagi pasangan berkahwin


PINDAAN kepada Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 baru-baru ini masih mengekalkan akta tersebut tidak terpakai kepada pasangan yang tidak berkahwin. Sebagaimana diketahui, akta ini memberi perlindungan kepada pasangan berkahwin daripada keganasan rumah tangga.

Akta ini merupakan suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi perlindungan undang-undang dalam situasi keganasan rumah tangga dan perkara-perkara yang bersampingan dengannya.

Namun, ada cubaan daripada beberapa ahli parlimen mahukan perlindungan tersebut diberikan kepada pasangan tidak berkahwin yang bersekedudukan. Syor ini perlulah diberikan kajian mendalam kerana ia akan menggalakkan maksiat, khususnya kalangan orang Islam.

Buat masa ini, akta ini terpakai kepada suami atau isteri serta anggota keluarga yang lain. Definisi 'isteri atau suami' dalam akta tersebut meliputi isteri atau suami de facto, iaitu, seseorang yang telah melalui suatu bentuk istiadat diiktiraf sebagai istiadat perkahwinan mengikut agama atau adat pihak-pihak berkenaan, walaupun istiadat itu tidak didaftarkan atau tidak dapat didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis berhubungan upacara dan pendaftaran perkahwinan;

Manakala 'anggota lain keluarga' ertinya: (a) (i) anak lelaki atau anak perempuan dewasa; atau (ii) ibu atau bapa, pesalah itu; atau (b) (i) abang, kakak atau adik; atau (ii) mana-mana saudara lain, pesalah itu yang pada pendapat mahkamah patutlah, dalam hal keadaan keluarga itu, dikira sebagai seorang anggota keluarga itu.

Pada pandangan saya, dasar yang perlu dipertahankan ialah pihak kerajaan tidak mempromosi budaya bersekedudukan tanpa pernikahan sah bagi orang Islam. Kultur Barat seperti ini tidak harus dijadikan norma masyarakat kita dengan mengiktirafnya melalui perlindungan undang-undang seperti ini.

Namun begitu, ia tidaklah bermakna pasangan bersekedudukan tanpa pernikahan tidak mendapat perlindungan undang-undang dari dicederakan atau diugut dan sebagainya. Ini adalah disebabkan undang-undang lain seperti Kanun Keseksaan masih lagi terpakai ke atas mereka. Umpamanya jika satu pihak lelaki atau perempuan bagi pasangan bersekedudukan ini mencedera atau mengugut mencederakan pasangan yang seorang lagi, pihak polis masih boleh mengambil tindakan sewajarnya di bawah Kanun Keseksaan.

Oleh itu, adalah tidak benar pasangan bersekedudukan ini boleh melakukan apa sahaja tanpa dikawal undang-undang sepertimana dibangkitkan sesetengah golongan.

Saya sangat musykil kenapa ada yang menyuarakan agar diketepikan pandangan beragama dalam isu sebegini. Bukankah Islam mencakupi seluruh tata atur kehidupan umat Islam? Kenapa perlu dipisahkan agama dalam aspek undang-undang diri orang Islam sendiri? Malah keputu-san Mahkamah Persekutuan dalam kes Lina Joy melawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sendiri menyatakan Islam dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan bukan sekadar dogma-dogma atau ritual-ritual sahaja tetapi merupakan suatu cara kehidupan merangkumi pendidikan, sosial, perundangan, kehakiman dan banyak lagi.

Meluaskan skop Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 kepada pasangan tidak berkahwin seolah-olah memberi galakan kepada orang awam agar tidak berkahwin kerana akta tersebut boleh digunakan bagi kepentingan mereka. Ia juga akan mengundang kecelaruan dalam mentafsirkan pasangan bersekedudukan ini, khususnya dalam keadaan pasangan tersebut mempunyai bilangan pasangan yang ramai. Sudahlah baru-baru ini mahkamah rayuan memberi keputusan membenarkan anak tak sah taraf dibinkan kepada bapa biologinya, sekarang mahu memberi perlindungan dan pengiktirafan kepada mereka bersekedudukan pula.

Malah ia juga sangat mudah dimanipulasikan kerana tiada bukti tinggal bersama. Mungkin tiba-tiba sahaja nanti seorang itu mendakwa orang lain telah melakukan keganasan rumah tangga walaupun mereka tidak tinggal bersama.

Undang-undang sedia ada sudah memadai memberi perlindungan kepada pasangan yang tidak berkahwin. Kanun Keseksaan khususnya dan undang-undang lain masih boleh digunakan jika berlaku sesuatu yang bercanggah dengan undang-undang.

Saya menyokong usaha Kerajaan Persekutuan meminda akta ini bagi memberi perlindungan kecemasan daripada keganasan rumah tangga dan mengekalkan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 ini dihadkan kepada pasangan berkahwin sahaja.

Seharusnya semua pihak di Malaysia, Islam ataupun tidak berusaha memberi efek kepada sumpah Yang di-Pertuan Agong dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan yang mana baginda bersumpah menggunakan nama ALLAH akan memelihara Islam pada setiap masa. Malah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan pula seolah-olah ‘mensyahadahkan’ Malaysia sebagai negara Islam.

Oleh yang demikian semua tindakan kita perlulah sejajar obligasi berperlembagaan seperti mana sumpah Yang di-Pertuan Agong tersebut. Membuka ruang dan mengiktiraf pasangan bersekedudukan hanya akan menggalakkan maksiat dan tidak sejajar ajaran Islam.

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/zainul-rijal-abu-bakar/kekalkan-bagi-pasangan-berkahwin-1.713226
0 Komentar untuk " Kekalkan bagi pasangan berkahwin "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ