HEBAT sungguh bidalan Melayu. Ringkas tuturnya, namun mendalam maksudnya. Mulut masin sering dikaitkan dengan kata-kata yang sentiasa menjadi kenyataan oleh orang alim atau seseorang yang dianggap baik dan suci. Benarkah begitu?. Adakah kita orang kebiasaan tidak boleh ada sifat mulut masin?
Kadangkala mulut masin dikaitkan juga dengan sesuatu nasihat atau arahan dipatuhi dan diterima orang lain. Oleh itu, jika orang tidak mendengar tutur kata kita, sudah tentu kita mudah kecewa terutamanya bagi mereka yang dekat dengan diri kita. Lantaran itu, kita pun mahu bermulut masin juga.
Suatu masa dahulu ada seorang alim di sebuah kampung yang cukup terkenal dengan sifat mulut masin. Apa yang dikatanya semuanya menjadi. Semua nasihatnya didengari. Segala perbuatannya dicontohi.
Pendek kata, orang alim tersebut sentiasa menjadi rujukan bukan sahaja di dalam kampungnya, malah orang luar juga ramai yang datang untuk meminta pertolongan daripada beliau.
Pada suatu hari, ada seorang hamba telah meminta orang alim tersebut agar membaca khutbah pada hari Jumaat dengan tajuk; Kebaikan membebaskan seorang hamba.
Hamba tersebut sangat percaya bahawa dengan berkat mulut masin orang alim tersebut maka sudah tentu tuannya akan membebaskannya nanti. Permintaan tersebut dipersetujui orang alim berkenaan.
Apabila tiba hari Jumaat, didapati orang alim tidak menyampaikan tajuk yang telah diminta hamba sebelum ini. Keadaan ini cukup menggusarkan beliau. Pada minggu seterusnya, orang alim tersebut masih tidak menyampaikan tajuk berkenaan sedangkan sudah berjanji untuk membicarakan tajuk berkenaan sebelum ini.
Pada minggu ketiga dan keempat orang alim berkenaan masih bercakap tajuk lain dalam menyampaikan khutbah. Akhirnya, hamba berkenaan sudah hilang sabar dan nekad untuk berjumpa dengan orang alim tersebut. Hamba tersebut terus berkata pada orang alim.
“Walaupun tuan orang alim, namun masih bersifat munafik kerana sanggup melanggar janji dengan saya”.
Balas orang alim, “Sabar saudara, sila dengar penjelasan saya dahulu. Sebenarnya saya sedang mengumpulkan wang untuk membebaskan seorang hamba. Apabila cukup wang tersebut dan saya sudah bebaskan seorang hamba, barulah saya boleh bercakap tentang kebaikan membebaskan seorang hamba.
Ini bermakna saya tidak akan bercakap sebelum saya melakukan dahulu perkara berkenaan”.
Mendengar penjelasan tersebut, hamba tersebut terus meminta maaf dan terus memohon keampunan daripada ALLAH SWT kerana telah tersalah sangka kepada orang alim itu. Selepas enam bulan barulah orang alim itu bercakap tentang tajuk yang diminta hamba tersebut.
Kita pun boleh menjadi orang yang bermulut masin. Namun asasnya harus dipatuhi terlebih dahulu iaitu buat dahulu baru bercakap. Istilah moden menggantikan mulut masin pada hari ini ialah walk the talk.
Prinsipnya adalah sama iaitu kita hanya membicarakan sesuatu kejayaan dan kehebatan setelah kita berjaya melakukannya. Ramai motivator hari ini yang banyak berkongsi kejayaan beliau setelah mengharungi perit-jerih kehidupan sebelumnya.
Apa yang jelas, jika kita hendak bercakap mengenai kejayaan dalam bidang perniagaan kita mesti terlibat dahulu dalam bidang perniagaan.
Bila sudah berjaya dan tahu perit-jerihnya barulah kita boleh bercakap mengenai prinsip kejayaan dalam bidang perniagaan.
Soal yang lebih penting untuk bermulut masin ialah, sifat kerendahan diri bahawa kejayaan kita hanya diperoleh apabila diizinkan dan mendapat keredaan daripada ALLAH. Buktinya sudah cukup jelas. Ramai dalam kalangan kita yang telah mengamalkan prinsip walk the talk tetapi tidak memperoleh ketenangan.
Buat dahulu sebelum bercakap, masih belum cukup menjadikan kita hebat dan tenang. Kita harus mengambil iktibar kisah Nabi Musa A.S yang telah diarahkan ALLAH agar bertemu dengan Firaun.
Walaupun beliau adalah nabi dan penuh dengan mukjizat, namun masih memohon pertolongan daripada ALLAH sepertimana firman-Nya yang bermaksud; “Nabi Musa berdoa dan berkata, wahai Tuhan ku, lapangkanlah bagi ku, dada ku dan mudahkanlah bagi ku, tugas ku dan lepaskanlah simpulan dari lidah ku, supaya mereka faham kata-kata ku dan jadikanlah bagi ku seorang penyokong dari keluarga ku, iaitu Harun saudara ku.” - Surah Toha, 20:25-30.
Ini bermakna, mulut masin adalah kata-kata yang berprinsipkan buat dahulu baru bercakap dan dibaluti dengan permintaan daripada ALLAH secara istiqamah.
Oleh itu, sentiasa dekatkanlah diri kita dengan ALLAH agar kita sentiasa dilindungi dan dirahmati. Namun, ada kalanya kita hendak hasil yang cepat dan tidak sabar menunggu. Bertabahlah, jangan ikut syarat kita tapi ikut aturan ALLAH.
http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/dr-huzili-hussin/budaya-mulut-masin-perlu-disemai-1.713889
0 Komentar untuk " Budaya mulut masin perlu disemai "