SETIAP hari kita akan menerima sesuatu pengajaran daripada pelbagai dimensi. Sama ada kita suka atau tidak dan sama ada kita sedar atau tidak, kita sebenarnya mengutip pengajaran daripada pelbagai sudut ilmu setiap hari termasuklah menerima teguran daripada seseorang individu atau kelompok masyarakat.
Teguran adalah salah satu cabang nasihat dan pandangan. Namun cara dan kaedahnya sedikit berbeza. Walaupun begitu, bukan senang untuk menegur seseorang dan bukan senang juga untuk menerima teguran daripada seseorang.
Apa yang paling ditakuti kita berada pada kedudukan tidak boleh ditegur kerana ketinggian pangkat, ilmu dan darjat. Akibatnya kita sudah tidak lagi memberi fokus kepada inti pati teguran tersebut. Walhal teguran tersebutlah yang boleh membantu kita untuk mematangkan diri dan memperkayakan ilmu.
Apabila ditanya kepada seseorang yang marah-marah kerana ditegur, ada menjawab: “Kalau bos besar yang tegur aku tak apalah juga, ini setakat penyelia sahaja tak payah berlagaklah.” Malah ada juga berkata: “Kalau hendak tegur aku cakaplah elok-elok sikit.” Ada juga yang beri maklum balas: “Kalau nak tegur pun, tengoklah masa sikit. Ini pagi-pagi dah nak membebel, cuak sungguh aku rasa.”
Sebetulnya, amatlah rugi jika kita tidak boleh menerima sesuatu teguran. Kita tidak akan belajar sesuatu yang baharu. Teringat saya kisah Katak Laut dengan Katak Darat pada suatu ketika dahulu selepas air pasang besar.
Akibatnya, Katak Laut telah terdampar di daratan dan tersasar jauh dari laut. Suatu hari sewaktu sedang dalam perjalanan untuk menjejaki pantai ia telah terserempak dengan Katak Darat yang baru saja terlepas dari perigi akibat air pasang besar tadi. Maka Katak Darat amat terkejut dengan rupa bentuk Katak Laut yang jauh berbeza dengannya.
Katak Darat: “Kamu ni siapa? dan datang dari mana? Nampak macam aku tapi tak serupa dengan aku.”
Katak Laut: “Aku datang dari laut dan kau pula datang dari mana?”
Katak Darat: “Aku datang dari perigi. Boleh tak cerita pada aku, luas tak laut tersebut kerana aku selama ini tak pernah tengok laut.”
Katak Laut: “Amat luas, sejauh mata memandang.”
Katak Darat: “Luas laut tu, sama besar tak dengan perigi aku ini?”
Katak Laut: “Amat jauh bezanya, laut sangat luas.”
Katak Darat tidak berpuas hati dan bertanya lagi: “Laut tu adakah seluas padang sekolah di hadapan kita?”
Katak Laut: “Amat jauh bezanya, laut sangat luas.”
Katak Darat makin panas dan tidak berpuas hati maka ia menanyakan satu soalan lagi; “Ini pertanyaan terakhir aku, adakah laut itu seluas tujuh puluh kali ganda padang sekolah ini?”
Katak Laut: “Amat jauh bezanya, laut sangat luas.”
Mendengar jawapan tersebut, Katak Darat membalas: “Cukuplah berbohong dengan aku, tak munasabah laut itu lebih luas daripada tujuh puluh kali ganda padang sekolah ini.” Katak laut hanya tersenyum lebar dan merasakan amat sia-sia bercakap dengan Katak Darat yang begitu sombong dan dangkal, dan terus memohon izin untuk meneruskan perjalanan mencari laut.
Sebetulnya, sikap payah menerima teguran ini datangnya daripada sifat angkuh dan sombong. Profesor Hamka pernah menggelar golongan ini sebagai ‘bodoh sombong’. Jauh sama sekali adanya sikap merendah diri.
Golongan ini hanya menerima teguran jika ada kepentingan kepada mereka sahaja. Kebanyakannya hanya menjaga bos besar sahaja, orang lain yang menegur dianggap picisan.
Sindrom sebegini boleh memberikan kesan buruk kepada kita dalam jangka masa panjang. Pakar psikologi telah mengenal pasti bahawa sifat tidak boleh ditegur ini ada kaitan dengan masalah cognitive distortions atau minda yang herot.
Gejala ‘minda herot’ bermakna, mereka hanya beranggapan pandangan dan pegangan prinsip mereka sahaja betul dan pendapat orang lain adalah salah walaupun telah dikemukakan bukti yang jelas.
Tambahan pula yang menegur dan mengemukakan bukti itu adalah bukannya daripada kelompok mereka dan juga berada pada kelas lebih rendah daripada mereka.
Pemahaman bahawa kita tidaklah sempurna dan memerlukan bantuan orang lain untuk meneruskan kehidupan adalah amat penting untuk difahami dan dipraktikkan. Jika tidak, kita akan berterusan dengan sikap ‘bodoh sombong’ tersebut.
Namun bukan senang untuk mengubah seseorang dan diri kita yang telah dihinggapi sindrom ini, melainkan diri sendiri hendak berubah. ALLAH SWT telah berfirman “…sesungguhnya ALLAH tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri...” (Surah Ar-Rad 13:11). Berubahlah sebelum terlambat.
0 Komentar untuk " Rugi jika tak boleh terima teguran "