SERING kali ramai menyalahkan Islam apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak baik. Mereka mendakwa Islam menindas dan menghalang pembangunan.
Ada juga yang mengaitkan Islam dengan terorisme dan keganasan. Malah ada mengatakan sekiranya kita mengamalkan Islam maka kita tidak akan maju dan menikmati kejayaan.
Hal ini menurut mereka terbukti apabila tiada satu pun negara Islam boleh dikategorikan sebagai negara maju.
Tanggapan sebegini sebenarnya hasil daripada mereka yang gagal melihat keindahan Islam kerana orang Islam yang tidak mengamalkan agama Islam sebagai sebuah tata kehidupan.
Model atau ikon yang mereka peroleh bukanlah daripada kalangan orang Islam. Sebahagian besar umat Islam serata dunia hanya mengamalkan Islam dari kompartmen tertentu sahaja dan meninggalkan yang lainnya.
Sebagai sebuah tatacara yang mengawal kehidupan seharian, Islam menggariskan panduan yang lengkap, sistematik dan tersusun supaya kehidupan manusia tidak tersasar dari matlamat mencari keredaan ALLAH serta ibadah kepada Pencipta.
Islam amat menekankan pembangunan modal insan yang berasaskan kepada ciri-ciri pembinaan sahsiah dan keperibadian Muslim.
Ini adalah kerana manusia adalah sebaik-baik ciptaan ALLAH dan merupakan khalifah yang diberi kelebihan dan kekuatan ilmu.
Keunggulan keperibadian manusia hendaklah disulami dengan akhlak yang mulia, ilmu pengetahuan yang berpaksikan kepada keesaan ALLAH dan ketakwaan kepada-Nya. Inilah sebabnya Islam mengambil berat peranan moral atau akhlak dalam pembentukan sahsiah diri.
Hatta dalam soal perbezaan pendapat pun Islam telah menggariskan adab-adab yang perlu diikuti.
Namun apa yang menyedihkan sekarang ini, kita melihat umat Islam tidak menjadi contoh kepada orang lain. Umat Islam tidak memiliki akhlak yang mulia ataupun menjadi idola kepada orang lain. Lebih dahsyat lagi umat Islam ketinggalan di pelbagai bidang kerana mereka meninggalkan agama dalam kehidupan mereka.
Apa sahaja yang dinasabkan kepada Islam dikatakan mundur, ketinggalan zaman dan tidak sesuai.
Natijahnya kesemua perkara dilihat dari lensa Barat sahaja dan mengetepikan panduan dan syariat yang telah digariskan oleh Islam. Bagi menjadi bangsa yang kuat, umat Islam perlu melengkapkan diri mereka dengan keperibadian yang unggul.
Islam bukan hanya menum-pukan kepada isu politik, tetapi termasuk juga ekonomi dan memantapkan pembangunan negara, bukan sekadar melaksanakan hukum-hakam jenayah tetapi juga mendidik diri berakhlak dan berbudi luhur.
Malah pelbagai isu lainnya juga seharusnya dilihat dari lensa syariat Islam bagi membangun negara Islam kelas pertama.
Melaksanakan Islam dalam aspek terpilih sahaja sebenarnya menjerumuskan kita ke dalam pemikiran sekular yang memisahkan agama daripada kehidupan seharian.
Sepatutnya dalam setiap suatu tindakan kita, neraca yang kita gunakan dalam menilai tindakan tersebut adalah sama ada tindakan itu menepati syariat ALLAH SWT atau tidak. Jika ia menepati syariat ALLAH ia boleh dilaksanakan tetapi tidak sebaliknya.
Melalui piawaian yang tersebut di atas kita dapat melaksanakan Islam secara sepenuhnya walaupun mungkin kita tidak menjenamakan ia sebagai tindakan Islamik. Apa sahaja yang diambil dari Barat ataupun nilai universal adalah baik, merupakan suatu mitos yang tidak sepatutnya kita terpedaya.
Terdapat pelbagai norma tempatan yang disulami antara adat dan nilai agama yang jauh lebih baik daripada norma asing dalam budaya kita. Namun ia tidak dilihat baik kerana sebahagian daripada orang kita sendiri yang enggan membudayakannya, terpengaruh dengan budaya asing serta teruja dengan kemajuan material di Barat.
Hakikatnya Barat sendiri sedang tercari-cari formula kerohanian bagi membangunkan negara mereka. Ini terbukti apabila orang Barat sudah mula melihat Islam sebagai penyelesaian masalah mereka dan ramai yang memeluk Islam setelah memahami Islam yang sebenar.
Ironinya Barat mahu men-datangi Islam tetapi kita orang Timur pula mahu meninggalkan nilai-nilai Islam. Sempena bulan tarbiah - Ramadan ini marilah kita sama-sama menanam azam melaksanakan Islam dalam segenap tindakan kita. Sesuatu perkara atau tindakan itu hendaklah dinilai dari lensa agama Islam terlebih dahulu.
Namun ini tidak bermakna kita menolak nilai-nilai murni yang diamalkan di Barat selagi ia tidak bercanggah dengan ajaran agama Islam.
Islam adalah sebuah tata kehidupan yang lengkap. Manualnya digariskan dalam al-Quran dan al-Sunnah. Garis panduannya pula disebut para ulama muktabar. Insya-ALLAH dengan melaksanakan Islam sepenuhnya kita akan menikmati kebahagiaan sebenarnya.
0 Komentar untuk " Jangan memilih melaksana Islam "