FELDA Global Ventures Bhd (FGV) mula menunjukkan tanda pemulihan dari segi operasi dan prestasi kewangan selepas Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad mengambil alih kepemimpinan syarikat pada 1 April 2016. Bagaimanapun, syarikat perladangan bersepadu itu tetap berhadapan laluan pemulihan sukar, yang kebanyakannya disebabkan oleh sumbangan pendapatan lebih rendah daripada syarikat sekutunya, caj susut nilai lebih besar dan kos operasi lebih tinggi. Di sebalik pelbagai cabaran itu, suku tahun pertama 2017 menyaksikan FGV masih berupaya mencatatkan keuntungan bersih RM2.5 juta, berbanding kerugian bersih RM82 juta yang direkodkan pada suku sama tahun lalu.
Keupayaan catat keuntungan lebih tinggi
Penganalisis Hong Leong Investment Bank, Chye Wen Fei, berkata keupayaan FGV untuk kembali mencatatkan keuntungan disokong sebahagiannya oleh harga produk sawit dan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi dalam tempoh setahun ini. Pada masa sama, katanya, prestasi positif itu turut dibantu kecekapan pengurusan dari segi mengurangkan perbelanjaan pentadbiran, selain prestasi lebih kukuh yang direkodkan oleh perniagaan logistik dan sektor lain. Bagaimanapun, beliau berkata, prestasi itu diimbangi pula kerugian yang dialami oleh unit perniagaan gula syarikat berikutan kenaikan kos gula mentah dan kelemahan nilai ringgit.
Prestasi harga saham dijangka kekal lemah
"Walaupun tindakan pantas pengurusan untuk menambah baik operasi FGV termasuk mengurangkan tenaga kerja, melaksanakan proses penanaman semula yang agresif dan mengetatkan pengawasan operasi perladangan boleh dipuji, kami merasakan prestasi harga sahamnya dalam jangka terdekat akan kekal lemah berikutan tinjauan perolehan kurang memberangsangkan unit perniagaan gulanya. "Selain unit perniagaan gula, kami percaya penilaian semula harga saham FGV yang lebih baik boleh dibuat apabila pendapatan terasnya semakin meningkat," katanya. Sementara itu, Penganalisis TA Securities, Angeline Chin, berkata jika tidak mengambil kira Perjanjian Pajakan Tanah (LLA), tukaran asing dan beberapa perkara bukan teras lain, prestasi semasa yang dicatatkan oleh FGV secara keseluruhannya adalah lebih baik berbanding setahun lalu.
Dalam perniagaan perladangan, beliau berkata, FGV mendapat sokongan daripada pengeluaran buah tandan segar (FFB) yang meningkat hampir tiga peratus berbanding setahun lalu. Katanya, harga jualan MSM juga adalah kira-kira 33 peratus lebih tinggi berbanding setahun lalu, manakala operasi hilirannya turut mencatatkan margin lebih baik. "Bagaimanapun, prestasi kewangan FGV dijejaskan oleh susut nilai dalam akaun belum terima, peruntukan kerugian litigasi dan kadar tukaran asing lebih rendah," katanya. Berdasarkan semakan BH, harga saham FGV ketika Zakaria mula memimpin syarikat itu adalah sekitar RM1.50 berbanding paras terendah sekitar RM1.20 pada September 2015.
Saham FGV dilihat mencatatkan peningkatan selepas itu dan pada satu ketika mencecah RM2.41 sekitar pada September tahun lalu. Prestasi suku tahun kewangan yang bercampur-campur menyaksikan harga saham FGV turun naik selepas itu untuk berlegar antara RM1.60 hingga RM1.90 sehinggalah kemelut terbaharu yang berlaku di dalam syarikat itu. Saham FGV disenaraikan di Bursa Malaysia pada 28 Jun 2012, dengan menyaksikan harganya ditutup pada RM5.44 pada hari pertama dagangannya. Semalam, harga saham FGV ditutup pada RM1.62, susut 11 sen daripada penutup sebelumnya.
Oleh Shahrizan Salian
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/290490
0 Komentar untuk " FGV dalam laluan pemulihan "