Budaya samseng di menara gading - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Budaya samseng di menara gading



TAKDIR menentukan bahawa Zulfarhan Osman Zulkarnain tidak dapat bersama orang-orang tersayang – terutama ayah dan ibu – ketika takbir Syawal bergema pagi raya nanti.

Remaja berusia 21 tahun itu telah dijemput Yang  Maha Pengasih minggu pertama Ramadan. Meskipun baju raya telah disiapkan, ayah arwah reda dengan pemergian anak tersayang itu.

“Sebagai orang Islam, saya terima ketentuan Ilahi,” katanya dalam sedu, dan menambah: “Cuma sebagai ayah, saya harap mereka yang bertanggungjawab akan menerima hukuman setimpal...”

Tidak sahaja ayah dan ibu, orang ramai juga mahu mereka yang menyebabkan kematian Pegawai Kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu dikenakan tindakan tegas.

Seperti yang dilaporkan media, penuntut tahun dua bidang kejuruteraan elektrik itu meninggal dunia setelah didera oleh rakan-rakan seuniversiti.

Pemeriksaan perubatan mengesahkan dia telah didera dengan amat sadis, memang di luar batas kemanusiaan. Seperti yang dilaporkan media, beberapa bahagian tubuhnya melecur teruk akibat dicederakan dengan seterika wap.

Dapat dibayangkan betapa sakitnya apabila seterika panas yang biasanya untuk menggosok pakaian, ditekan pada tubuh. Siapakah yang hilang akal dan kering perasaan sehingga tergamak melakukan kezaliman seperti itu?

Ada maklumat yang tular bahawa mangsa juga diseksa dengan kejam selama dua hari – 20 dan 21 Mei – di asrama universiti, termasuk dipukul dengan getah paip, penyangkut baju dan tali pinggang.

Amat menyentuh perasaan, terutama semasa Ramadan, mangsa diperlakukan begitu hanya kerana disyaki mencuri komputer riba milik rakan seuniversiti. Seorang bomoh dikatakan telah memberitahu bahawa mangsa adalah orang yang mencuri komputer berkenaan.

Hanya disyaki, itu pun berdasarkan telekan bomoh, dan mangsa dikasari hingga mati. Sekiranya benar pun dia mencuri, dia tidak sepatutnya dihukum begitu sadis.

Siapa sahaja yang waras pasti marah dengan perlakuan buas seperti itu. Mendera sesama Islam dengan kejam, di bulan al-Mubarak. Apakah pendera dan pembuli buas itu perlu dibiarkan begitu saja?

Setakat ini polis telah mereman 36 suspek – 32 pelajar UPNM, dan empat pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten) – untuk siasatan.

Menurut polis: “Kita akan siasat semua kemungkinan termasuk ada suspek lain yang terlibat. Buat masa ini, kita tidak boleh mendedahkan maklumat kerana siasatan masih berjalan.”

Adalah amat mendukacitakan amalan mendera sesama siswa di kampus masih berlaku, pada hal ragging telah lama diharamkan di menara gading. Lebih menyakitkan hati – sebenarnya memalukan! – apabila amalan samseng ini terjadi di sebuah universiti pertahanan.

Universiti yang melatih bakal pegawai tentera sepatutnya mempamerkan tahap disiplin yang tinggi. Apa sebenarnya disiplin yang diterapkan ke atas pelajar sehingga mereka tergamak melakukan kezaliman yang melampau itu?

Mungkin sesetengah orang menganggap insiden dera hingga mati ini adalah satu kes terpinggir. Secara kebetulan ia terjadi di sebuah institusi yang pada anggapan umum tinggi dan tegas dengan peraturan dan disiplin.

Tetapi apakah tidak mungkin amalan dera seperti ini telah sering berlaku, bukan sahaja di UPNM, tetapi juga di IPTA dan IPTS lain?

Tambahan pula sebelum ini kita sering mendengar dan membaca mengenai kejadian dera dalam kalangan pelajar di sekolah-sekolah berasrama, termasuk sekolah agama.

Sekiranya buli boleh berlaku di asrama sekolah, apakah tidak mungkin pelajar yang sama masuk ke menara gading dan meneruskan jenayah tersebut? Inilah yang patut dikaji oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dan institusi-institusi pengajian tinggi.

Mana-mana pelajar yang dibuli oleh senior hendaklah memberitahu kepada pihak universiti. Sekiranya pengurusan universiti tidak mengambil tindakan, laporkan terus kepada polis.

Jenayah di kampus perlu dibanteras, sebelum menjadi lebih parah. Menara gading ialah tempat mematangkan insan menerusi pelbagai disiplin pengajian. Bukan tempat untuk membiakkan budaya samseng!

Siasatan ke atas 36 suspek itu pasti akhirnya dapat mengenal pasti mereka yang terlibat dengan penderaan kejam yang dilalui oleh mangsa. Tidak kira siapa, mereka yang melakukan jenayah tersebut mesti dihukum.

Malah, sekiranya benar ada bomoh yang dikatakan menuduh mangsa mencuri, bomoh tersebut juga tidak boleh dilepaskan begitu saja. Dia patut direman bagi membantu penyiasatan.

Mungkin tukang telek berkenaan dapat memberi petunjuk bagi memudahkan polis mengesan siapa sebenarnya yang telah menekan seterika panas di tubuh mangsa.

Setakat rencana ini ditulis, bomoh berkenaan dikatakan tidak dapat dikesan. Tetapi kita ada kecanggihan teknologi yang boleh mengesan mereka yang terlibat dalam kes berprofil tinggi, termasuk pembunuhan Jong Nam.

Maka saya yakin, polis dengan segala kecanggihan yang ada, pasti lebih hebat daripada keampuhan ilmu perbomohan.

0 Komentar untuk " Budaya samseng di menara gading "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ