Tadabbur hidupkan al-Quran dalam hati - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tadabbur hidupkan al-Quran dalam hati

PENGHAYATAN al-Quran penting dalam kehidupan terutama untuk benar-benar memahami apa yang ingin disampaikan Allah SWT kepada setiap insan. Tip penghayatan al-Quran menerusi kaedah 'tadabbur' dikongsikan Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman menerusi program Ibrah, Isnin lalu, jam 5.15 petang di IKIMfm. Beliau berkongsi tip tadabbur menerusi kisah malaikat Harut dan Marut yang diperincikan oleh Allah SWT dalam al-Quran. Lapan senarai semak tadabbur perlu dalam proses pembacaan supaya kita dapat memahami serta menghayati isi kandungan al-Quran yang dibaca.

Akhirnya, dengan tadabbur kita dapat menghidupkan al-Quran dalam hati dan kehidupan kerana taddabur itu merujuk kepada membaca al-Quran secara tartil dengan jelas sebutan hurufnya serta menjaga tajwid setiap kali membacanya. Selain itu, mengambil tahu terjemahan ayat yang dibaca, mendapatkan maksud sebenar melalui asbab nuzul atau kisah ayat itu diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Cara itu juga membolehkan kita memahami yang benar dan sahih, menghafal serta mengingat semula ayat yang dibaca. Selepas selesai menghayati dan memahami al-Quran menerusi kaedah tadabbur, Muhammad Syaari menjelaskan bagaimana kita boleh memahami serta menghayati kisah malaikat Harut dan Marut yang Allah SWT sampaikan menerusi firman-Nya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran sihir yang dibacakan oleh puak syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka menasihatinya dengan berkata: Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya).

Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (iaitu membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah SWT. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 102)

Hasutan Yahudi 

Ayat itu mengisahkan bagaimana orang Yahudi dalam kalangan ahli kitab yang menafikan rasul dan mengikut apa yang diajarkan oleh syaitan ketika pemerintahan Nabi Sulaiman dengan mengamalkan sihir. Mereka menyeru manusia mengikuti ajaran mereka menggunakan sihir dan menyatakan ia ajaran Nabi Sulaiman.

Ayat itu juga menceritakan suatu lokasi, Babil atau dikenali sebagai Babylon yang hebat dengan empayar kekuasaannya dan terbukti yang menjadikan mereka hebat adalah bantuan syaitan apabila menggunakan sihir dalam kehidupan mereka. Kita diingatkan supaya jangan sesekali memfitnah dan mendakwa malaikat dengan dakwaan yang tidak benar kerana malaikat adalah perantaraan daripada Allah SWT untuk memberikan pengajaran tertentu kepada sesuatu kaum. Kaum Babil memfitnah malaikat Harut dan Marut dengan menyatakan mereka hadir ke bumi melakukan kerosakan mengikut hawa nafsu serta melakukan perkara tidak baik terhadap wanita yang akhirnya dihukum sehingga ke hari kiamat.

Sedangkan, kedatangan malaikat ketika itu untuk menyatakan kepada kaum Babil perbezaan antara mukjizat nabi dan sihir yang mereka lakukan. Malaikat telah membuktikan kepada kaum Babil amalan yang didakwa daripada Nabi Sulaiman adalah sihir daripada syaitan, bukan ajaran Nabi Sulaiman. Malaikat Harut dan Marut juga hadir menjelaskan kepada masyarakat Babil bahawa ajaran agama Islam tidak memerlukan sihir untuk mengajak orang ramai memeluk Islam seperti diamalkan mereka dalam menyeru masyarakat kepada agama.

Sihir pecah belah suami isteri 

Malaikat menunjukkan sihir kepada mereka secara terperinci dan menjelaskan amalan itu ternyata dusta sama sekali. Malangnya, penduduk Babil tidak dapat melihat sihir yang ditunjukkan malaikat Harut dan Marut sebagai batil, bahkan menggunakan sihir itu untuk memisahkan antara suami dan isteri dan meruntuhkan rumah tangga. Allah SWT menerangkan mudarat sihir tidak akan boleh terjadi hanya dengan kuasa Allah SWT yang mentakdirkan seseorang terkena mudarat asbab kerana sihir, hakikatnya Allah SWT yang menimpakan mudarat itu kepada mereka.

Ayat diturunkan di Madinah itu juga menceritakan kepada Rasulullah SAW asas membentuk rumah tangga yang membentuk sebuah negara Madinah yang hebat. Asas rumah tangga yang hebat terbentuk tanpa ada hasad dengki dan saling buruk sangka dalam hubungan suami isteri. Ia tidak seperti yang ditunjukkan oleh masyarakat Babil yang meruntuhkan rumah tangga. Di dalam kehidupan, sesiapa yang belajar untuk tujuan jahat, dia tidak akan selamat di akhirat.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/111469
0 Komentar untuk " Tadabbur hidupkan al-Quran dalam hati "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ