Lebih 100 menu tarikan di Sambal Hijau - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Lebih 100 menu tarikan di Sambal Hijau

SAMBAL Hijau. Sebuah restoran terkenal menghidangkan lebih 100 menu sedap sehingga mampu menarik selera bagi penggemar pelbagai masakan Melayu untuk kembali berkunjung ke restoran itu.

Pengusaha Restoran Sambal Hijau, Noor Aini Abdul Majid merupakan wanita luar biasa kerana tidak betah duduk diam dalam memajukan restoran yang bermula dari sebuah gerai biasa menjadi sebuah restoran di Kampung Sungai Penchala.

Pada 2004, bermodalkan RM35,000, Noor Aini membeli tapak gerai kerana menganggap ia adalah peluang keemasan untuk mengembangkan minat dalam bidang masakan.

“Sebelum ini saya berniaga di bazar Ramadan. Saya nekad membeli gerai tersebut yang terletak di tepi Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah, Kampung Sungai Penchala,” katanya.

"Pelbagai dugaan dilalui namun berkat sabar, restoran saya semakin maju bukan sahaja penduduk tempatan termasuk luar negara. Alhamdulillah, saya anggap ia amanah yang perlu dilaksanakan dan dikongsi bersama,” katanya anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini.

Tiada untung, 20 pelanggan

Siapa sanggup bersabar jika berniaga sering menanggung rugi. Itu yang dialaminya sejak awal pembukaan restorannya.

“Saya masih ingat hari pertama berniaga, tiada untung kerana hanya 20 pelanggan sahaja. Hasil jualan hanya RM99 dan perlu menggaji empat pekerja kerana mereka menerima gaji harian. Ia tidak mematahkan semangat untuk meneruskan perniagaan pada hari kedua kerana saya optimis perniagaan makanan mempunyai potensi besar.

“Saya perlu bangun seawal jam 5 pagi untuk menyediakan makanan pagi dan tengah hari sepanjang sebulan berniaga. Hanya lima atau enam jenis lauk sahaja dijual dan dipelbagaikan dengan menggunakan dua ekor ayam,” katanya.

Menganggap itu adalah asam garam berniaga kerana di peringkat permulaan, sukar mendapat keuntungan kerana memerlukan usaha tanpa jemu untuk meningkatkan perniagaan terutamanya penambahbaikan menu, susun atur kedai dan dekorasi kedai.

Walaupun masih baharu, dia nekad menabung sehari RM300 untuk membayar hutang sebanyak RM35,000 kepada ibu mentuanya, Nor Hajati A Karim.

Tiga tabung

Bijak merencana perniagaannya kerana yakin dengan kerja keras ia akan memberi hasil luar biasa.

“Sejak berniaga, saya mempunyai tiga tabung iaitu simpanan, modal pusingan dan bayaran bil seperti elektrik dan air. Saya menyimpannya setiap hari dalam jumlah tertentu dan tidak berhutang setiap kali membeli bahan mentah dari kedai runcit ibu mentua.

“Alhamdulillah, selepas setahun, saya melihat perniagaan ini menunjukkan perkembangan positif. Meja yang pada asalnya hanya lima semakin bertambah. Saya mengambil keputusan mengubahsuai dapur dan lantai dilengkapi marmar supaya restoran nampak cantik dan selesa kepada pelanggan. Saya melabur RM3,000 untuk proses ubai suai tersebut,” katanya.

Sudah mampu menarik nafas lega kerana restorannya dikunjungi lebih 3,000 pelanggan dan meningkat setiap kali cuti umum.

“Sambutan diterima di luar jangkaan. Untuk memberikan perkhidmatan baik , saya mempunyai 47 pekerja yang bekerja secara syif,” katanya.

Terpaksa tutup cawangan

Kerana mendapat sambutan luar biasa, Noor Aini mengambil keputusan membuka dua cawangan Sambal Hijau iaitu di Flora Damansara dan Pelangi Damansara dengan jumlah pelaburan mencecah RM500,000.

“Alhamdulillah, walaupun mempunyai cawangan berdekatan dengan Restoran Sambal Hijau di Kampung Sungai Penchala, ramai yang berkunjung kedua-dua restoran tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, kedua-dua restoran itu terpaksa ditutup kerana lokasi tidak sesuai dan kesusahan parkir serta kos sewa di Pelangi Damansara dinaikkan kepada RM11,000.

“Saya tidak sanggup membayar sewa mahal. Akhirnya saya menutup kedua-duanya dan fokus kepada yang ini sahaja.

“Saya yakin rezeki ada di mana-mana. Alhamdulillah, kehadiran pelanggan di restoran tidak pernah putus walaupun pada waktu malam,” katanya.

Ditanya menu yang menjadi kegemaran pelanggan, katanya, ikan patin masak tempoyak, asam pedas tulang dan daging tetel, masak lemak, gulai dan ayam bakar serta sup yang menggunakan resipi sendiri menjadi pilihan ramai.

“Kebanyakan pelanggan menganggap Restoran Sambal Hijau adalah restoran Minang, itu salah kerana saya mengetengahkan masakan Melayu. Saya menyediakan sambal hijau resipi sendiri,” katanya yang belajar memasak dari ibu mertuanya.

Seorang yang positif kerana setiap kali dilemparkan dengan kata-kata negatif seperti menggunakan pelaris di kedainya, dia hanya mampu tersenyum.

“Saya tidak kisah dengan tuduhan  sedemikian kerana saya tahu ALLAH SWT lebih mengetahui. Saya tidak mengambil enteng dengan teguran dan komen pelanggan mengenai rasa makanan, dekorasi kedai dan sebagainya,” katanya.

Mahu memberikan terbaik kepada perniagaannya yang dianggap anak kecil dan perlu dikembangkan untuk kesenangan ketiga-tiga cahaya matanya.

Pernah gagal menyempurnakan impian untuk memiliki bangunan sendiri yang dianggap sebagai pusat sehenti kepada Restoran Sambal Hijau kerana kekangan status tanah. Namun ia tidak melemahkan semangatnya.

40 kilogram cili padi

Walaupun selesa dengan jawatan sebagai bos, Noor Aini tetap turun padang memantau sendiri menu yang dimasak supaya menepati citarasa pelanggan.

“Sehingga kini saya sentiasa mencuba resipi baharu yang disediakan di restoran. Saya tidak mahu hanya menyediakan menu sama sahaja.

“Sambal hijau adalah menu yang sering habis walaupun setiap hari kami menggunakan 10 kilogram (kg) cili padi untuk menyediakannya. Ia dijadikan ‘trademark’ di sini,” katanya.

Sebanyak 40 kg cili padi digunakan untuk menyediakan semua jenis masakan.

“Saya pernah cuba menyediakan makanan ala carte dan barat tetapi tidak mendapat sambutan,” kata isteri kepada Azrul Shah Mohd Isa.

Mahu berkongsi rezeki

Bukan mudah untuk terus kukuh selama 12 tahun menerajui Restoran Sambal Hijau, namun tekadnya mahu berkongsi rezeki bersama mereka yang memerlukan tidak pernah luput.

“Sebelum ini, saya mencuba pelbagai jenis perniagaan antaranya menjual kerepek, kacang, kain pasang dan beg tangan. Alhamdulillah, rezeki saya dalam perniagaan makanan yang tidak pernah difikirkan sebelum ini.

“Saya sentiasa berpegang kepada prinsip iaitu tidak berputus asa, yakin dengan rezeki, jujur, kerja keras dan sentiasa mencuba sesuatu yang baharu,” katanya.

Jika gagal menggapai impiannya, dia menganggap ia pengajaran berharga dan dijadikan panduan untuk terus memperjuangkan perniagaannya ke tahap lebih tinggi.

Mengimpikan memiliki bangunan sendiri dan menjadikan restorannya berkonsep restoran Jepun.

“Ia memerlukan perancangan teliti. Saya juga mahu mempunyai kelas masakan tetapi menggunakan perkhidmatan pakar masakan untuk mengajar orang lain memasak,” katanya.

Pernah ditawar untuk mengembangkan perniagaan di Australia dan Emiriah Arab Bersatu.

“Perkara menggembirakan apabila pelanggan menghargai menu di sini. Ada yang sanggup menempah untuk dibawa pulang ke luar negara.

“Ia sangat bermakna apabila masakan saya ke luar negara walaupun ia dianggap perkara kecil bagi sesetengah pihak,” katanya.

Minat yang mendalam bidang fesyen mendorong Noor Aini terlibat dalam bidang fesyen dengan mempunyai jenama Hijau Gallery by Ain.

0 Komentar untuk " Lebih 100 menu tarikan di Sambal Hijau "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ