Airis Wall Deco: Foto kanvas ubah kehidupan Ayu - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Airis Wall Deco: Foto kanvas ubah kehidupan Ayu

CUBA menyembunyikan kesedihan dengan kehilangan anak pertama lapan tahun lalu, pemilik Airis Wall Deco, Nor Hidayu Baharudin atau dikenali sebagai Ayu mula berjinak-jinak dengan seni kreatif dan pertukangan.

Tanpa sebarang pendidikan formal, Ayu memberanikan diri dalam bidang foto kanvas dan kufi dianggap asing pada dirinya.

“Saya minat melukis dan fotografi, mahu membingkaikannya tetapi saya tidak pandai bertukang. Selepas menjalani tempoh berpantang, saya mula mengedit gambar dan mencetaknya serta dibingkaikan.

“Harga foto kanvas mahal dan saya tidak mampu untuk memilikinya. Saya mengambil keputusan cetak atas fabrik dan menggunakan bingkai kayu untuk mencantikkannya,” katanya.

Ibu kepada dua anak ini tidak menyangka inisiatifnya mencetak gambar keluarga di atas fabrik disukai teman sepejabat.

Berbekalkan modal kecil

Tanpa menggunakan sebarang modal, Ayu mengusahakan perniagaannya dengan deposit pelanggan untuk membeli keperluan foto kanvasnya.

Bermula promosi mulut ke mulut, Ayu nekad mengembangkan perniagaan foto kanvas di media sosial dengan harga berpatutan.

“Alhamdulillah, tempahan diterima memberangsangkan kerana tawaran harga rendah.

"Dari situ, rutin harian saya bermain kayu dan tukul besi bermula jam 6 petang hingga tengah malam," katanya.

Saban hari tempahan diterimanya semakin meningkat, Ayu membuat keputusan membeli mesin terpakai berharga RM1,300 untuk memotong kayu dan membuat bingkai.

Tidak lagi menggunakan kaedah tradisional seperti tukul besi, Ayu kemudiannya mengajar suami, Hafiz Aluwi untuk bingkai foto.

"Dengan pertolongan suami, saya dapat menyiapkan bingkai lebih kemas dan cantik supaya tempahan siap tepat pada waktunya di rumah kami, Putrajaya.

"Airis Wall Deco kini menerima tempahan 500 foto kanvas setiap bulan dan meningkat lima kali ganda jika menawarkan harga promosi serendah RM10 bagi saiz ‘Bajet Frame," kata wanita gigih berasal dari Serting, Negeri Sembilan itu.

Berhasrat meluaskan perniagaannya, Ayu turut menjual khat kufi iaitu salah satu seni kaligrafi Islam.

“Selain sebagai hiasan dinding, ia merupakan cara terbaik menambah seri rumah dengan menggantung ayat-ayat al-Quran,” katanya.

Kedainya menerima sebarang tempahan hiasan kanvas mengikut permintaan dan citarasa pelanggan seperti corak, reka bentuk dan warna hiasan.

"Kami menerima tempahan melalui atas talian (online) dengan pelbagai saiz bingkai berbentuk empat segi.

"Ukuran paling besar adalah berukuran saiz pintu rumah menggunakan kanvas sebagai material," katanya.

Kalis kritikan

Walaupun baharu dalam bidang foto kanvas dan kufi, dia sentiasa berusaha memajukan perniagaannya.

Menganggap hasil usaha sebagai bayi kecil harus diberi perhatian setiap masa tanpa mengabaikan tanggungjawab sebagai kakitangan awam.

“Saya sering menerima kritikan mengenai perniagaan daripada orang sekeliling.

"Ada yang meniru setiap hasil seni ini tetapi menjadi pembakar semangat untuk saya lebih kreatif dan menambah pendapatan,” katanya.

Selain itu, cabaran terbesar terpaksa dilaluinya untuk pencetak menepati kehendak kerana terpaksa mencari di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

“Alhamdulillah, akhirnya syarikat pencetakan di Kajang dapat membantu atasi masalah itu. Pelanggan boleh mengunjungi kedai kami terletak di Sungai Merab, Selangor,” katanya.

Impi galeri sendiri

Setakat ini Airis Wall Deco menerima tempahan foto kanvas melibatkan pelbagai foto, antaranya keluarga, percutian, lawatan, konvokesyen, perkahwinan dan pertunangan.

Ayu berkata, berasa bertuah kerana perniagaannya menjadi pilihan orang ramai yang mahukan kelainan.

Bukan sahaja pasaran tempatan, Airis Wall Deco turut menerima tempahan dari seluruh negara dan luar negara seperti Singapura, India dan Brunei.

“Kami juga menerima tempahan pelancong luar negara sebagai cenderamata. Pelbagai saiz foto kanvas ditawarkan dengan harga serendah RM20 hingga RM150," katanya.

0 Komentar untuk " Airis Wall Deco: Foto kanvas ubah kehidupan Ayu "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ