Ah Fatt ingin bayar zakat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ah Fatt ingin bayar zakat

AH Fatt atau Ridhuan Foo Ah Fatt baru dua tahun memeluk Islam. Beliau bekerja sebagai jurutera di sebuah kilang di Pengkalan Chepa.

Beliau bukan sahaja tidak pernah memohon zakat sejak memeluk Islam, malahan ingin membayar zakat demi menunaikan rukun Islam yang ketiga itu.

Ah Fatt sedar, beliau sebagai orang Islam yang cukup syarat untuk berzakat, wajib menunaikan zakat. Gaji yang beliau peroleh dari syarikat sudah melebihi nisab (nilai minimum), serta cukup haul, iaitu cukup tempoh hasil pendapatan beliau dalam masa setahun.

Kadar nisab bagi tahun 1436H-1437H yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) adalah RM11,400, berasaskan nilai 85 gram emas pada harga semasa.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, keluarkan zakat sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa-apa yang Kami keluarkan daripada bumi untuk kamu.” (Surah Al-Baqarah: 267)

Selain zakat pendapatan, Ah Fatt juga ingin membayar zakat perniagaan setelah cukup setahun operasi perniagaan yang dijalankan secara sambilan bersama rakannya.

Pegawai di pusat zakat mengajar beliau mengira zakat perniagaan, di mana aset semasa ditolak dengan tanggungan semasa, dan selepas pelarasan, didarab dengan peratusan pemilikan saham orang Islam dan akhirnya didarab dengan kadar zakat 2.5 peratus.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Ibadat itu dikerjakan oleh orang yang kuat imannya, yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati ALLAH, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat), yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.” (Surah An Nur: 37)

Seperkara yang Ah Fatt kurang faham, mengapa terdapat segelintir masyarakat Islam yang mencemuh pusat zakat, seolah-olah pusat zakat tidak menjalankan tanggungjawab dalam membela nasib asnaf.

Beliau yang mendapat maklumat di pejabat zakat Maik, sehingga Disember 2015, jumlah kutipan zakat semasa adalah RM145.78 juta, manakala jumlah agihan zakat semasa adalah RM160.82 juta. Maka, siapa kata pejabat zakat tidak buat kerja?

Supaya tidak terlibat dengan menyebar fitnah dan memviralkan kenyataan mereka yang tidak arif, masyarakat perlu tahu bahawa staf pusat zakat yang kita nampak di bahagian kaunter untuk melayan asnaf yang datang, serta staf di bahagian kewangan, teknologi maklumat dan sebagainya; berada di ‘pejabat yang berhawa dingin’ untuk melaksanakan tugas masing-masing. Manakala staf di bahagian agihan pula setiap hari keluar bertemu dan mencari asnaf.

Mengisi borang merupakan satu prosedur biasa dalam sesuatu permohonan kerana maklumat pemohon perlu untuk penilaian kelayakan. Inilah antara tugas-tugas staf di bahagian agihan. Bukan untuk menyusahkan.

Mendapatkan pengesahan serta melampirkan dokumen tertentu juga merupakan satu daripada prosedur untuk mengelakkan atau mengurangkan penipuan. Kadang-kadang pemohon tidak tahu cara mengisi borang, dan staf pusat zakat yang dapat membantu.

Masyarakat juga sebenarnya boleh menjadi mata dan telinga pusat zakat dengan membantu mereka yang memerlukan zakat atau bantuan. Sebagai contoh, terdapat seorang insan mulia bernama Roxhana Omar dari bandar Pasir Mas yang setiap hari mengabdikan diri membantu golongan asnaf memohon zakat dari Maik.

Beliau yang merupakan pengasas Pertubuhan Kebajikan Pergerakan Adil membantu golongan asnaf bukan sahaja di Pasir Mas, malah dari semua daerah di Kelantan tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran.

Selain Roxhana, seorang lagi insan mulia, Fadzil Jamaluddin, melakukan perkara yang sama di Pulau Pinang. Alangkah baiknya kalau ada lebih ramai ‘Roxhana’ dan ‘Fadzil’ di luar sana; anggota masyarakat yang lebih proaktif dalam membantu mereka yang memerlukan.

Begitu juga NGO seperti Macma, Perkim, Ikram, Islamic Outreach Abim, Haluan dan Hidayah Centre yang menjadi jambatan antara golongan asnaf dan pusat zakat.

Daripada mengambil sikap suka menyalahkan, seharusnya masyarakat Islam bersama membantu mereka yang memerlukan; ibarat kata pepatah, “yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing”.

Dengan kesedaran ini, kita dapat membantu meringankan beban golongan insan yang amat memerlukan. Semoga segala kebaikan yang dilakukan diterima di sisi ALLAH SWT jua.



Penulis ialah Pengerusi MACMA Kelantan & AJK Perkim Kelantan

0 Komentar untuk " Ah Fatt ingin bayar zakat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ