Vape: Contohi Johor dan Kelantan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Vape: Contohi Johor dan Kelantan

SULTAN Johor, pada 29 November 2015, telah bertitah mengharamkan vape di seluruh negeri Johor. Pengusaha-pengusaha vape diberi tempoh sebulan untuk menamatkan operasi. Kerajaan Kelantan pula, pada 16 Disember 2015, turut membuat keputusan mengharamkan penjualan rokok elektronik berkuat kuasa 1 Januari 2016.

Keputusan mengharamkan vape diambil berdasarkan laporan pelbagai pihak; termasuk Kementerian Kesihatan, Jabatan Mufti, dan Polis Diraja Malaysia; tentang kesan-kesan vape yang berbahaya. Bagi kerajaan negeri Johor dan Kelantan, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), pada mesyuarat agung mereka baru-baru ini, turut mengusulkan kepada kerajaan supaya mengharamkan vape. Ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan NGO yang juga seorang doktor perubatan, Dr Ramli Mamat, berkata kandungan vape dikesan boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna termasuk boleh mengakibatkan barah.

Syabas juga kepada Umno Kelantan yang turut menyokong usaha kerajaan negeri mengharamkan penjualan vape. Malah, menurut Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad, pengharaman ini tidak sepatutnya terhad kepada vape tetapi juga mana-mana bahan yang boleh memudaratkan kesihatan. Sekalung tahniah kepada beliau dan keluarga yang sememangnya tidak merokok.

Namun begitu, amat mengecewakan apabila terdapat pihak-pihak yang mencabar keputusan ini. Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), contohnya, dalam rangka memohon tindakan injunksi terhadap kerajaan negeri Johor dan Kelantan bagi menghalang tindakan dikenakan terhadap peniaga-peniaga vape di negeri-negeri tersebut. Mereka ingin memastikan para peniaga vape dapat berniaga seperti biasa.

Ada juga pihak yang mempertikaikan keputusan mengharamkan vape sedangkan penjualan rokok masih diteruskan. Menurut mereka, rokok yang sudah diketahui membawa kemudaratan sepatutnya diharamkan terlebih dahulu.

Pengusaha-pengusaha vape juga mempersoalkan jika rokok dan arak boleh dijual di negara ini, kenapa tidak vape. Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, turut mempersoalkan sikap sesetengah pihak yang begitu tegas terhadap penggunaan vape tetapi tidak terhadap rokok walaupun fatwa pengharaman rokok adalah jelas dan telah lama dibuat.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, turut menyarankan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan penguatkuasaan agresif terhadap vape bagi mengekang penularannya kerana Jabatan Mufti hanya mengeluarkan fatwa manakala penjualannya adalah di bawah bidang kuasa PBT. Beliau berkata, rokok dan shisha yang lebih dahulu difatwakan haram di Kelantan, contohnya, masih dijual dengan berleluasa di negeri itu. Menurut beliau lagi, pengharaman vape seelok-eloknya diselaraskan di seluruh negara.

Penulis amat bersetuju dengan mereka yang menyarankan agar kedua-dua rokok dan vape diharamkan di seluruh negara. Bagi penghisap rokok, mereka akan menerima kesan akibat merokok setelah lebih kurang 20 tahun merokok, bukannya dalam masa setahun dua. Ketika itu, menyesal sudah tidak berguna lagi. Begitu juga vape.

Adakah apabila asyik batuk-batuk, ataupun sering sesak nafas serta semput, baru hendak sedar? Apakah benar penggunaan vape adalah untuk berhenti merokok atau hanya satu alasan untuk terus menyedut asap?

Kementerian Kesihatan Singapura juga mengharamkan produk-produk tembakau termasuk vape di negara itu berkuat kuasa 15 Disember 2015. Penguatkuasaan peraturan di negara tersebut akan dilaksanakan dalam dua peringkat. Produk tembakau yang terlibat dalam fasa pertama termasuk rokok dan rokok tidak berasap, sebarang produk nikotin atau tembakau yang boleh ditanam atau disuntik ke mana-mana bahagian badan, selain sebarang bahan melibatkan tembakau atau nikotin yang bertujuan digunakan bersama nikotin elektronik.

Fasa kedua pengharaman pula melibatkan produk tembakau yang sudah berada di pasaran tempatan dan akan dikuatkuasakan pada 1 Ogos 2016. Ini termasuk produk tembakau yang disedut melalui hidung dan mulut, produk gutkha, khaini dan zarda. Menurut Kementerian Kesihatan Singapura, denda sehingga S$20,000 (RM61,328) atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-dua sekali boleh dikenakan ke atas mereka yang melanggar pengharaman ini.

Jika Singapura boleh melakukannya, Malaysia pun boleh. Menghisap rokok atau vape adalah amalan yang sia-sia. Pilihan di tangan kita. Pilihlah dengan bijak.

0 Komentar untuk " Vape: Contohi Johor dan Kelantan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ