Karya tempatan mampu tembusi gelanggang antarabangsa - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Karya tempatan mampu tembusi gelanggang antarabangsa

SEPANJANG tempoh 12 bulan pada tahun ini, sastera tanah air diwarnai dengan pelbagai pengiktirafan yang diterima oleh sasterawan dan pengarang Malaysia. Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2014 yang asalnya dikenali sebagai Hadiah Karya Sastera menjadi antara pengiktirafan berprestij diberi kepada pengarang sastera pelbagai genre tanah air sejak tahun 1971. Memasuki tahun ke-23 penganjurannya tahun ini, HSPM 2014 mengiktiraf novel Nenek karya novelis kelahiran Melaka, Razali Endun, sekali gus menewaskan lima judul yang disenarai pendek termasuklah Luka Nering oleh Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write), Malim Ghozali PK.

Bagaimanapun, Malim Ghozali Pk atau nama sebenarnya Mohamed Ghazali Abdul Rashid turut menempa kejayaan dalam HSPM 2014 apabila karyanya Langit Tidak Berbintang di Ulu Slim, mencatat kejayaan melalui genre kumpulan cerpen bagi kategori sama. Sekiranya HSPM mengiktiraf karya yang sudah diterbit atau disiarkan, Sayembara Penulisan II anjuran Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan BH pula menilai manuskrip baharu.

Hadiah miliki daya tarikan pasaran 

Majlis penyampaiannya yang diadakan pada suku pertama tahun ini ditunggu-tunggu oleh pengarang dan penyair meskipun baharu 'setahun jaguh' kerana genre yang dinilai meliputi novel serta kumpulan cerpen dan puisi, manakala hadiah yang ditawarkan bukan sahaja lumayan, bahkan memiliki daya tarikan dalam pasaran. Tidak hairanlah sayembara yang membuka pintu kepada pengarang pelbagai peringkat umur, Sayembara Penulisan II ITBM-PENA-BH menjadi antara 'medan pertempuran' paling digemari kalangan pengarang mutakhir ini. Selain novelis veteran, Jong Chian Lai yang memenangi kategori novel melalui Ah Fook, penulis muda menguasai dua genre berikutnya, iaitu kumpulan puisi oleh Muhammad Lutfi Ishak (Dondang Pembukaan) dan kumpulan cerpen oleh Fahd Razy (Pascasejarah). Selain berjaya di gelanggang tempatan, naskhah terbaik dihasilkan pengarang di negara ini turut mendapat perhatian ranah kesusasteraan antarabangsa.

Novel Tree of Sorrow yang diterjemah daripada Luka Nering dan The Michelangelo Code (Kod Michelangelo) yang masing-masing ditulis oleh Malim Ghozali Pk serta Nazehran Jose Ahmad disenarai panjang untuk Anugerah Sastera Antarabangsa Dublin 2016 yang menawarkan hadiah utama bernilai kira-kira 100,000 euro (RM470,000). Berita itu diharap menambah semangat penerbit tanah air menterjemahkan karya sastera seperti yang dilakukan oleh ITBM apabila melancarkan dua karya terjemahan dalam bahasa Jerman, iaitu Willkommen zu Hause Juita daripada kumpulan puisi, Selamat Pulang karya Muhammad Haji Salleh serta novel, Der Damm (Empangan oleh Zakaria Ali) pada Pesta Buku Frankfurt, Oktober lalu. Ranah perbukuan antarabangsa dalam bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman turut mengiktiraf karya terjemahan ke bahasa mereka, selain menawarkan hadiah untuk karya dalam bahasa itu meskipun oleh pengarang luar sekiranya diterbitkan di negara berkenaan. Jendela sastera 2015 juga merakam sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya, pengarang wanita, Datuk Dr Zurinah Hassan diumumkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara (ASN) Ke-13 yang membawa gelaran Sasterawan Negara (SN).

Penganugerahan itu menutup teka-teki yang selama dua tahun mengenai pengarang yang akan memegang gelaran itu selepas ia dianugerahkan kepada SN Ke-13, Datuk Baharuddin Zainal atau Baha Zain pada tahun 2013. Tahun ini juga membawa kenangan tersendiri kepada pengarang kelahiran Beaufort, Sabah, Jasni Matlani yang menjadi penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2015. Novelis, cerpenis, penyair dan aktivis sastera itu menjadi pengarang kedua dari Sabah yang menerima pengiktirafan diberikan kerajaan Thailand dan Yayasan Jim Thompson kepada pengarang dari seluruh negara Asia Tenggara itu.

Anugerah sastera negeri kembali rancak 

Pada tahun ini juga, anugerah sastera negeri kembali rancak dengan novelis, cerpenis dan bekas pensyarah sastera, Dr Fatimah Busu meraih gelaran Sasterawan Negeri Kelantan pada Majlis Anugerah Sastera Negeri Kelantan (ASNK) 2015 di Kota Bharu. Pengarang Terengganu, Syed Mohammad Nor Tuan Long atau lebih dikenali sebagai SM Nor pula dinobatkan sebagai Tokoh Sastera Terengganu pada Hadiah Sastera Darul Iman II di Kuala Terengganu, manakala penulis veteran, Datuk Dr Mohd Mansor Abdullah diangkat sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri Pahang sempena Hadiah Sastera Darul Makmur (HSDM) 2015. Di Negeri Sembilan, pengarang, Mahaya Mod Yassin memenangi Anugerah Sastera Negeri Sembilan pada Anugerah Sastera dan Media Negeri Sembilan 2015.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/109457
0 Komentar untuk " Karya tempatan mampu tembusi gelanggang antarabangsa "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ