Industri minyak dan gas terus suram - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Industri minyak dan gas terus suram

INDUSTRI minyak dan gas suram pada 2015, dan kedudukan harga minyak yang rendah akan terus membelenggu industri ini dalam tempoh sederhana.  

Daripada harga puncak setinggi AS$112 setong pada Jun tahun lepas, Bent, penanda aras global, kini tinggal separuh, jatuh kepada AS$61.31 pada Jun tahun ini.  

Harga terus-menerus susut ke paras bawah AS$50 setong sejak Ogos, sebelum turun ke paras AS$36.33 pada 14 Disember, tinggi sedikit daripada paras terendah AS$36.20 yang direkod dan semasa krisis kewangan 2008.

Prestasi harga minyak yang rendah ini berpunca daripada bekalan minyak berlebihan, selain peningkatan industri syal di US, manakala Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pula enggan mengurangkan pengeluaran, yang kini dianggarkan kira-kira 31 juta tong sehari (bpd).

Lebihan bekalan dunia kini antara 500,000 dan 2.0 juta bpd, dan unjuran oleh Agensi Tenaga Antarbangsa (IEA), menunjukkan pengeluaran global akan terus meningkat kepada kira-kira 900,000 bpd setahun.

Walaupun harga minyak yang rendah memberi impak negatif ke atas sektor huluan industri ini, sektor hiliran memperoleh manfaat daripada situasi ini dengan kedudukan margin yang lebih baik.

Ketua Perniagaan Komersial Petron Fuel International Sdn Bhd Choong Kum Choy berkata berasaskan kedudukan ini, pemacu pelaburan dijangkakan beralih kepada sektor huluan kepada sektor hiliran, terutama dalam perniagaan pemasaran.  

"Margin yang kami nikmati bagi produk yang kita jual akan terus sihat. Menerusi pendapatan yang stabil dan sihat, syarikat-syarikat pemasaran akan terus melabur dalam perniagaan ini," katanya kepada Bernama.

Pandangan yang sama turut disuarakan oleh Moody's Investor Services yang mengekalkan unjuran stabil ke atas subsektor penapisan dan pemasaran serta aktiviti pertengahan.  

Beliau berkata sektor penapisan dan pemasaran akan bertahan, perlahan dalam sektor pertengahan namun kekal positif.

Bagaimanapun, penurunan harga minyak menjejaskan hasil kerajaan dengan Petronas mengumumkan dividen yang lebih rendah sebanyak RM16 bilion kepada kerajaan bagi tahun 2016 berbanding RM26 bilion tahun ini dan RM29 bilion tahun lepas.  

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata syarikat itu yang diamanahkan ke atas hidrokarbon negara, komited ke atas perbelanjaan modal (capex) projek Pembangunan Bersepadu penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) Pengerang, projek gas asli cecair (LNG) bersepadu Pacific North West di Kanada, LNG train 9 di Bintulu selain dua projek LNG terapong yang dilaksanakan di Korea Selatan.  

"Projek capex ini merupakan pelaburan jangka panjang... kami mahu melihat projek itu berjaya bagi memastikan kelestarian Petronas pada masa depan," katanya.  

Mengulas harga minyak yang lemah, Wan Zulkiflee berkata situasi itu mungkin disebabkan oleh perubahan struktur dalam industri yang dipacu teknologi.  

Beliau berkata teknologi meningkatkan pengeluaran syal US, namun pada masa yang sama mengurangkan permintaan berikutan peningkatan kecekapan ke atas penggunaan tenaga.  

"Teknologi telah membuat anjakan besar, seperti pengeluar syal US, sesuatu pembangunan yang tidak dijangkakan berkembang dengan pesat," katanya.

Selain itu, beliau berkata teknologi telah meningkatkan kecekapan yang memperlihatkan penggunaan bahan api di negara maju, sekali gus mengurangkan permintaan.  

Oleh itu, katanya industri perlu menyusun semula dan mensinergikan keupayaan mereka bagi menangani ketidakcekapan.  

"Angka terbaharu menunjukkan terdapat kira-kira 3,700 penyedia perkhidmatan minyak dan gas di negara ini, yang bermakna banyak syarikat kecil dan industri tempatan yang berpecah-pecah. Kami menggalakkan penggabungan," katanya.

Wan Zulkiflee berkata Malaysia bagaimanapun masih memiliki rizab hidrokarbonnya sendiri yang mencukupi, melebihi 20 bilion tong minyak bersamaan 27 tahun bagi minyak dan 44 tahun untuk rizab gas berdasarkan pengeluaran 2014.

Beliau berkata rizab negara mampu bertahan lebih lama jika lebih banyak sumber ditemui pada masa depan.

Mengenai situasi global, IEA berkata keputusan OPEC mengekalkan keluaran memaksa pengeluar bukan OPEC mengimbangi pasaran.

Ia berkata syarikat minyak sudah mengurangkan lebih 20 peratus pelaburan huluan akibat kemerosotan harga minyak.

"Ini memberi kesan negatif ke atas unjuran jangka sederhana daripada negara bukan OPEC termasuk Brazil, Rusia dan Kanada," katanya.

Penarikan balik sekatan ke atas Iran oleh kuasa barat dan sekutunya akan meningkatkan lagi tekanan ke atas harga minyak yang sudah pun dibelenggu  isu lebihan bekalan.  

Keputusan itu yang dijangkakan berkuat kuasa akhir tahun ini, bakal menyaksikan Iran kembali dalam radar minyak dan gas dunia, walaupun pada peringkat awal pengeluaran tidak melebihi 3.0 juta bpd yang dihasilkan sebelum sekatan.  

Bagaimanapun, negara itu akan meningkatkan pengeluarannya untuk mencapai semula paras berkenaan, dan menurut IEA, negara itu berpotensi menghasilkan sehingga 5.4 juta bpd dalam jangka panjang.  

Ahli ekonomi MIDF Research berkata tekanan berterusan akan menjejaskan harga minyak ke paras serendah AS$20 setong, meskipun paras itu dijangkakan tidak berlaku, dan akan mencetuskan lantunan.  

Namun, beliau berkata dalam 'senario terburuk' harga minyak jatuh ke paras  AS$20 setong, kedudukan fiskal Malaysia akan teruk terjejas memandangkan tahap itu tidak dapat mengekalkan kemampanan pengeluaran petroleum negara.

"Jika harga purata minyak kekal pada AS$20 setong bagi tahun 2016 dan 2017, kami menjangkakan hasil kerajaan berkaitan petroleum akan susut daripada nilai anggaran semasa RM31.7 bilion kepada RM22 bilion pada 2016 dan susut seterusnya kepada RM9 bilion pada 2017," katanya.

Dengan bekalan dijangkakan tinggi manakala permintaan terus lemah, harga minyak akan meneruskan trend harga menurunnya sehingga pasaran memperoleh kesimbangan yang akan meningkatkan harga.

Namun, dengan pasaran US terus dibanjiri minyak syal dan inventori negara itu kekal tinggi, selain jumlah tambahan dari Iran dan pengeluaran yang semakin tinggi oleh Iraq, keseimbangan itu dijangkakan tidak akan dicapai dalam tempoh terdekat. - Bernama

0 Komentar untuk " Industri minyak dan gas terus suram "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ