Ikan patin asam pedas hanya RM4 - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ikan patin asam pedas hanya RM4

KUAH asam pedasnya pekat dan menyengat, malah rasa ikan tidak hanyir boleh mengecurkan selera peminat asam pedas ikan patin dengan harga serendah RM4 di PC Roti Canai, Melor, Kota Bharu, Kelantan.

Memasak dengan tempoh lama dan bahan seperti bawang besar, bawang merah, bawang putih,  lengkuas, halia, daun kesum serta bunga kantan dimasak hingga sebati menjadikan asam pedas itu pilihan pelanggan di kedai makan berkenaan.

Pemilik kedai makan tersebut, Ab Aziz Musa, 47, berkata, sejak 14 tahun kedai makannya dibuka, sudah 10 tahun asam pedas ikan patin menjadi kegemaran peminat ikan sungai berkenaan.

“Resipi masakan asam pedas ikan patin ini adalah warisan ibu dan paling penting, dimasak dengan ikhlas menggunakan ikan patin yang diternak di sungai daripada pembekal tetap," katanya.

Sementara itu, isteri Ab Aziz, Rohila Mamat, 45, yang juga tukang masak di kedai berkenaan berkata, dari bahagian ekor, tengah hingga kepala ikan, biasanya asam pedas ikan patin itu bermula dari harga RM4, namun harganya bergantung kepada saiz ikan tersebut kerana kadangkala ada juga ikan yang dibekalkan bersaiz besar.

Menerima kunjungan pembeli nasi seawal jam 6 pagi, kedai makan bersebelahan pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Melor dan Balai Polis Melor itu turut menjual nasi kerabu daging bakar, nasi dagang, nasi lemak dan nasi berlauk serati setiap hari.

“Biasanya asam pedas ikan patin ini boleh dimasak dan dihidangkan pada jam 10 pagi. Sambutan sangat menggalakkan terutama pada musim cuti sekolah dan perayaan.

“Kebanyakan pelanggan beritahu mereka teringatkan kuah asam pedas, selain rasa ikan patin segar dan tidak hanyir,” kata Rohila.

Selain masakan istimewa itu, kedai makan tersebut turut menyediakan sup tulang dengan harga RM6 termasuk nasi putih.

“Kadangkala sukar mendapatkan bunga kantan kerana ia bermusim dan dijual dengan harga mahal, tetapi kami tidak menaikkan harga kerana pelanggan yang datang boleh dikatakan pelanggan tetap, sudah dikenali dan penduduk sekitar Melor, Bachok serta Pasir Puteh.

“Mereka sudah mengetahui rasa masakan saya, malah banyak lagi lauk-pauk lain disediakan yang mempelbagaikan pilihan mereka termasuk gulai ikan tongkol, gulai ayam, ikan goreng kicap, ayam goreng, daging kerutup, gulai ikan kering dan banyak lagi,” katanya.

Mengalu-alukan pelanggan jauh dan dekat datang ke kedai makannya, Ab Aziz juga menerima tempahan ikan patin asam pedas untuk majlis rasmi serta kenduri.

Selain meniaga nasi, pasangan suami isteri itu turut membuat sate baung mengikut tempahan terutama semasa perayaan dan majlis rasmi di sekolah atau pejabat.

“Saya belajar buat sate ini sejak kecil sebab saya berasal dari Kampung Baung, Pengkalan Chepa yang terkenal dengan perkampungan sate baung,” katanya.

0 Komentar untuk " Ikan patin asam pedas hanya RM4 "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ