Ambil manfaat tanpa jejas kelestarian bumi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ambil manfaat tanpa jejas kelestarian bumi

BUMI memberikan manusia kemudahan hidup yang tidak terkira banyaknya. Bahkan, selepas meninggal dunia, bumi menjadi tempat istirahat jasad kita dan asal usul kita juga daripada tanah. Firman Allah yang bermaksud: "Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi." (Surah Taha, ayat 55)

Malaikat pernah bertanyakan kepada Allah SWT tatkala Allah SWT hendak menciptakan Nabi Adam. Kisah itu dirakamkan dalam al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), pada hal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya." (Surah al-Baqarah, ayat 30)

Tanggungjawab memakmurkan bumi

Allah SWT memberikan mandat kepada Nabi Adam dan keturunannya iaitu umat manusia untuk menguruskan serta memakmurkan bumi. Dengan demikian, bumi menjadi tempat bergantung bagi umat manusia serta memakmurkannya secara baik. Sekurang-kurangnya terdapat dua perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh manusia sewaktu memakmurkan bumi ini.

Perkara pertama adalah mengambil manfaat dari bumi yang menyediakan pelbagai kemudahan dan hasil bagi maslahah manusia seperti bercucuk tanam, menggunakan sumber air yang bersih, mengambil minyak serta batu bata daripada perut bumi.

Semua itu untuk kemaslahatan hidup umat manusia, tetapi pengambilan manfaat daripada bumi tidak boleh dilakukan berlandaskan nafsu serakah yang tamak dan secara zalim. Oleh itu, kita perlu mengambil perhatian kepada perkara kedua iaitu menjaga atau memelihara bumi supaya tetap lestari dan terus subur dalam memenuhi keperluan umat manusia. Selain mengambil manfaat, harus juga diperhatikan dari sudut penjagaan dan pemuliharaannya.

Pelihara alam sekitar 

Itulah yang diajarkan oleh Islam, iaitu mengambil manfaat, tetapi harus juga memeliharanya supaya manfaatnya terus menerus dalam keadaan terjaga. Itulah yang dinamakan tidak melampaui batas, sedangkan perbuatan melampaui batas dilarang oleh Islam. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas." (Surah al-A'raf, ayat 31)

Malangnya, ada antara kita mengambil manfaat daripada bumi secara membuta tuli, menebang pohon hutan secara liar, membakar hutan, pembalakan haram, pencemaran terhadap alam sekitar serta menggondol bukit bukau.

Akibatnya, adalah tidak menghairankan jika banyak bencana alam yang berlaku, banjir besar, tanah runtuh, asap jerebu dan sebagainya. Justeru, penting umat Islam memakmurkan bumi dengan iman. Jika kita mengaku beriman kepada Allah SWT, kita akan mengimarahkan bumi. Bukan sekadar mengambil manfaat daripadanya, bahkan menjaga dan memeliharanya supaya tidak berlaku kerosakan. Justeru, marilah bersama memelihara bumi dengan iman supaya tercipta keseimbangan ekosistem dalam kehidupan dunia ini.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/105190
0 Komentar untuk " Ambil manfaat tanpa jejas kelestarian bumi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ