1,000 diminta lupa hasrat jadi doktor - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

1,000 diminta lupa hasrat jadi doktor

PERKATAAN pertama saya belajar sebut dalam bahasa Inggeris di bangku sekolah adalah mosque. Guru kami, Miss Yeoh, menulis perkataan itu di papan hitam dan meminta sesiapa di antara 35 orang murid yang ingin menyebutnya, bangun.

Konon-konon berani dan konon-konon tahu, maka saya pun bangun serta dengan penuh keyakinan, menyebut ‘moskiu’.

Miss Yeoh seorang guru yang berhemah dan pandai menjaga hati anak murid. Dia tidak tunjuk sebarang reaksi. Senyum pun tidak, marah jauh sekali.

Tetapi itulah saat-saat saya rasa seperti hilang kepala. Kalau boleh, rasanya mahu sahaja saya sembunyikan muka dalam sarung. Malunya tidak terkira. Rakan-rakan darjah gelak bagaikan nak pecah perut.

Sebenarnya yang silap sebut bunyi perkataan Inggeris secara salah bukan saya seorang. Hampir seluruh darjah lakukannya setiap masa, tapi hari itu saya jadi mangsa. Salah sendiri, cuba berlagak bijak.

Pada hari seorang kawan buat silap yang saya anggap jauh lebih besar melucukan, saya rasa bagaikan maruah saya tertebus. Dia buat ayat: “I was drinking coffee at the shop when I saw my father passing away”.

Bukan kami sahaja hampir berguling-guling. Miss Yeoh yang berhemah itu pun turut tidak dapat menahan ketawa. Memang seronok belajar di Special Malay Class, darjah peralihan dari sekolah umum yang berbahasa perantaraan Melayu kepada sekolah Inggeris sepenuhnya.

Seperti kata orang utara, ‘bertuh sana bertuh sini’, lama-lama bolehlah juga kami bertutur bahasa Inggeris. Beberapa rakan yang kemudian belajar atau bekerja di England memberitahu saya, mat salih pun puji kefasihan dan kemahiran mereka berbahasa Inggeris. Wallahualam!

Hari ini, kita dengar macam-macam masalah berhubung dengan penggunaan dan pembelajaran bahasa Inggeris.

Kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan graduan yang baru mendapat ijazah ini dikatakan adalah disebabkan mereka lemah menguasai bahasa Inggeris dan kerana menuntut gaji tidak realistik.

Berdasarkan kajian JobStreet.com baru -baru ini, 68 peratus majikan yang ditemu ramah memberitahu, graduan baharu menuntut gaji dan faedah yang tinggi, manakala 64 peratus majikan memberitahu graduan yang memohon kerja lemah menguasai bahasa Inggeris.

Di mana salahnya? Yang ini kata begini, yang itu kata begitu. Dalam masa sama,  ramai anak kita terus tidak dapat kerja kerana lemah kuasai bahasa Inggeris.

Setakat mana masalah ini ada kaitan dengan pembelajaran bahasa itu sendiri?

Menurut satu laporan pihak berkaitan baru-baru ini, penghantaran guru-guru bahasa Inggeris dikenal pasti sebagai satu kelemahan yang dihadapi kerajaan dalam usaha meningkatkan kemahiran dalam bahasa Inggeris.

Timbalan Menteri Pendidikan Chong Sin Woon dilaporkan sebagai berkata, baru-baru ini bahawa bilangan guru Inggeris memang cukup, tetapi tidak diagih-agihkan secara betul ke negeri-negeri.

Sebagai contoh, di Kelantan, katanya, adalah sukar menggantikan guru bahasa Inggeris dan meminta setahun dua bagi menyelaraskan agihan itu secara sepatutnya. Tidak jelas mengapa beliau turut mengingatkan guru bahasa Inggeris supaya jangan guna bahasa lain dalam kelas ketika mengajar bahasa Inggeris.

Apakah kerana ramai guru bercakap bahasa Melayu dalam kelas bahasa Inggeris atau ada guru tidak cekap? Wallahualam! Kalau itu belum cukup, baca di bawah ini. Baru-baru ini, 1,000 graduan perubatan disuruh melupakan hasrat menjadi doktor.

Ia sangat menyedihkan kerana perkara itu berlaku walaupun graduan-graduan itu sudah tamat housemanship selama dua tahun di hospital awam. Masalahnya hanyalah satu, iaitu mereka dikatakan lemah kuasai bahasa Inggeris dan keadaan ini dianggap tidak baik dalam bidang perubatan. Kelemahan itu jadikan doktor pelatih susah bersaing dengan rakan sejawat.

Perubatan hanya satu bidang. Bagaimana pula dengan keadaan dalam beribu-ribu bidang lain akibat kelemahan penguasaan bahasa Inggeris. Sebelum dituduh memberatkan bahasa asing dan mengetepikan bahasa Melayu, biar saya buat pengakuan. Saya sendiri lebih selesa menulis dan bercakap bahasa Melayu.

Bahasa Melayu adalah bahasa saya setiap hari sejak kecil, cuma mula belajar cakap orang putih setelah ke sekolah Inggeris, sesama rakan-rakan Melayu, Cina, India dan lain-lain.

Bahkan, seingat saya,  saya tidak pernah bermimpi dalam bahasa Inggeris. Akhir kalam, saya perlu sebut, dari kecil hingga kini, saya tidak lupa nasihat cikgu.

0 Komentar untuk " 1,000 diminta lupa hasrat jadi doktor "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ