Rumah Ngaji: Penggerak Tahfiz Nur Kasih - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Rumah Ngaji: Penggerak Tahfiz Nur Kasih

PADA saat manusia berlumba-lumba menikmati kejayaan, kekayaan dan kemewahan dalam kehidupan, tidak dapat dinafikan masih ramai dalam kalangan masyarakat yang buta al-Quran. Ada yang tidak mampu menghantar anak ke kelas pengajian al-Quran kerana miskin tegar. Sementelahan pula ibu bapa pun memang dikategorikan sebagai buta al-Quran. Maka turun menurun zuriat mereka tidak tahu membaca al-Quran.

Rumah Ngaji @Nur Kasih Kampung Sungai Pinang, Klang, Selangor peka dengan permasalahan ini tampil memberi perkhidmatan mengajar al-Quran secara percuma. Memandangkan ia adalah fardu kifayah dan perkara yang dituntut dalam masyarakat, maka Rumah Ngaji @Nur Kasih berusaha melaksanakannya.

Bagaikan sebuah keluarga besar

Bermula dengan menubuhkan Pertubuhan Kebajikan & Pendidikan Nur Kasih iaitu asrama untuk anak yatim dan asnaf sejak tujuh tahun yang lalu, Zubir Omar dan Maryam Shafie terpanggil untuk menyediakan penempatan dan perlindungan anak-anak kurang berkemampuan.

Daripada 12 penghuni pada awalnya kini bertambah kepada 50 anak. Mereka disediakan tempat tinggal selesa dengan pengasingan asrama perempuan dan lelaki. Berusia seawal 4 sehingga 12 tahun, mereka dijaga bagaikan sebuah keluarga besar.

Rutin harian mereka bermula seawal jam 5.30 pagi lagi. Mereka dikejutkan untuk solat tahajud dan solat Subuh berjemaah. Asrama perlu dikemas sendiri sebelum sarapan dan bersiap-siap untuk ke sekolah. Solat Zohor ditunaikan secara berjemaah usai pulang dari sekolah dan diteruskan dengan makan tengah hari serta bersiap sedia pula untuk ke sekolah agama.

Pada sebelah petangnya aktiviti riadah dibenarkan selepas pulang dari sekolah agama. Menjelang masuknya waktu Maghrib sekali lagi di wajibkan berjemaah dan masing-masing akan menunggu giliran untuk membaca al-Quran. Waktu makan malam pula disediakan sebelum solat Isyak.

Selesai solat Isyak berjemaah semua anak-anak mengikuti kelas malam sehingga jam 10.30 malam. Begitulah rutin harian mereka. Sementara program di hujung minggu berbagai aktiviti disediakan antaranya riadah di taman, rehlah, berenang dan menerima jemputan majlis kenduri atau tahlil.

Makin dikenali ramai

Hari demi hari berlalu, Pertubuhan Kebajikan & Pendidikan Nur Kasih makin diketahui kewujudannya oleh masyarakat sekeliling. Ramai yang datang bertanya untuk menghantar anak mengikuti kelas pengajian al-Quran.

Harapan dan hasrat masyarakat itu dipenuhi dan akhirnya tertubuhlah Rumah Ngaji @Nur Kasih dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI).

Kini, Rumah Ngaji @Nur Kasih bukan sahaja menerima golongan anak kecil malah telah membuka peluang kepada golongan remaja dan dewasa sama ada lelaki atau wanita untuk datang mengikuti kelas pengajian al-Quran.

Kelas al-Quran khusus untuk dewasa hanya dijalankan pada hujung minggu sahaja memandangkan kesibukan menguruskan anak-anak asrama Nur Kasih seramai 50 orang itu.

Jadi penghafaz al-Quran

Hasrat Rumah Ngaji @ Nur Kasih bukan sahaja mengajar anak-anak pandai membaca al-Quran tetapi juga berhasrat sehinggaanak ini akhirnya akan menyambung ke Tahfiz Nur Kasih yang kini dalam proses mengumpul dana untuk menyiapkan bangunan tahfiz tiga tingkat yang dijangka menelan belanja sebanyak RM2.7 juta.

Sebagai pengasas Rumah Ngaji @ Nur Kasih ini, Zubir dan Maryam pastinya berasa bahagia jika ada pelajar yang buta al-Quran yang akhirnya akan keluar dari rumah ini berjaya membaca al-Quran dengan fasih bahkan dapat pula memahami dan mengamalkan ajaran al-Quran yang mulia itu.

Walaupun Rumah Ngaji @Nur Kasih ini tidak mengenakan bayaran kepada sesiapa sahaja yang datang mengikuti kelas pengajian al-Quran, namun mereka mengharapkan ada tenaga pengajar yang sudi sama-sama menggembleng tenaga agar lebih ramai lagi masyarakat yang buta al-Quran dapat dibantu.

Beruntunglah jika ramai manusia yang sanggup mengorbankan kepentingan dirinya dan bersusah payah untuk  menyelamatkan masyarakat daripada buta al-Quran. Sedangkan dalam al-Quranlah terkandung segala panduan hidup manusia di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.

Inilah yang memang sepatutnya dirasai kita semua, tanpa mengira umur, tua, muda kecil atau besar. Tanggungjawab ini sudah menjadi kewajipan bagi kita bersama. Jangan menjadikan kemiskinan sebagai alasan untuk kita tidak mendalami ilmu al-Quran. Begitu juga dengan golongan yang berada dek kerana mengejar kekayaan sehingga terlupa untuk mendalami ilmu al-Quran juga.

Sebenarnya kita saling memerlukan. Jika tiada seorang pun fakir miskin di dunia ini, maka tiadalah peluang untuk golongan kaya mendapat pahala dengan menyumbang, bersedekah, memberi zakat dan bantu-menbantu.

Adanya golongan fakir miskin dan susah ini menjadi penyebab dan laluan untuk yang kaya mendapat pahala kerana menggunakan harta yang dimilikinya untuk berbuat kebaikan dan kebajikan sementara hayat dikandung badan.

Justeru itulah pasangan suami isteri itu mengambil inisiatif mengajak anda berganding bahu dalam menjayakan Rumah Ngaji @Nur Kasih.

Platform penghubung

Rumah Ngaji @Nur Kasih membawa mesej sebagai sebuah keluarga besar yang bernaung di bawah satu nama dengan satu ikatan kasih sayang dan kekeluargaan yang tinggi bagaikan satu keluarga.

Menjadi platform atau penghubung untuk mempertemukan antara dermawan dengan golongan yang susah  dan memerlukan. Tempat menjana insaniah dan minda yang cemerlang agar mampu merubah nasib diri, keluarga dan masyarakat.

Justeru Rumah Ngaji @Nur Kasih menyeru anda semua untuk sama-sama menyemai saham akhirat memberi bantuan berupa sumbangan tenaga pengajar, barangan seperti kerusi berserta meja lipat, kipas angin, papan putih dan rehal.

Sumbangan boleh dimasukkan ke akaun berikut. Akaun Maybank : Pertubuhan kebajikan & pendidikan (5121 1003 6832)

Rumah Ngaji @Nur Kasih juga membuka peluang kepada anda semua untuk belajar al-Quran secara percuma. Hubungi Zubir (0123886304) atau Maryam (0132749573) untuk mendaftar sama ada sebagai tenaga pengajar atau untuk belajar.

Beralamat di Rumah Ngaji @Nur Kasih, Lot 53958 Jalan Tanjung Shawal, Kampung Sungai Pinang, 41400 Klang Selangor. Website: www.nurkasih.org atau FB: facebook.com/pertubuhan.nurkasih.

Cadangan membangunkan tanah seluas 3/4 ekar untuk membangunkan kompleks Maahad Tahfiz Nur Kasih setinggi tiga tingkat yang akan menempatkan 30- 50 pelajar yang akan diberikan pendidikan tahfiz dan dinniah secara percuma.

0 Komentar untuk " Rumah Ngaji: Penggerak Tahfiz Nur Kasih "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ