Peguam Muslim Menulis: Membunuh saudara Islam menyalahi seruan jihad - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Peguam Muslim Menulis: Membunuh saudara Islam menyalahi seruan jihad

Usaha mengaitkan Islam dengan keganasan kelihatan seperti tidak pernah terhenti. Yang terbaharu, kejadian pembunuhan di ibu pejabat majalah Charlie Hebdo, mengorbankan 11 orang dan mencederakan 11 yang lain.

Penyerang yang memperkenalkan diri mereka sebagai sebahagian daripada kumpulan teroris al-Qaeda itu telah memberi kesan buruk kepada nama Islam. Media antarabangsa memberikan maklum balas pelbagai terhadap agama Islam dan kejadian ini adalah yang terburuk selepas serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 11 September 2001.

Kejadian itu bukan dilihat sebagai kes terpencil dilakukan sebahagian umat Islam. Walaupun kejadian itu menghasilkan pelbagai teori perancangan jahat bertaraf antarabangsa, namun pembabitan individu Islam menjadikan hal ini semakin rumit untuk ditepis oleh umat Islam lain.

Fahami hukum

Justeru, punca kuasa perundangan Islam dalam soal hukuman jenayah atau dikenali sebagai hudud, qisas mahupun jihad dalam peperangan perlu difahami kerana kejadian berlaku seperti di Charlie Hebdo dilakukan atas nama jihad kerajaan Islam.

Fikih dalam bahasa Arabnya al-Fiqhu, adalah satu bentuk pemahaman yang tepat terhadap nas atau sumber perundangan Islam sama ada dari teks al-Quran, sunah, ijmak, qiyas dan sebagainya. Daripada pemahaman itu maka lahirlah apa yang dikatakan sebagai hukum dan sebahagian besarnya dijadikan undang-undang (taqnin).

Oleh itu, setiap perlakuan yang dilaksanakan atas nama Islam haruslah mengikut lunas iaitu sandaran pada sumber perundangan perlu jelas. Tanpa ilmu fiqh, seseorang itu akan sewenang-wenangnya menjustifikasi perbuatan mereka termasuklah membunuh, mencederakan wanita dan kanak-kanak atau melancarkan serangan bersenjata.

Kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai Negara Islam (IS) juga menyebabkan perundangan Islam dipandang jahat dan kejam sedangkan matlamat pelaksanaan undang-undang syariah seharusnya menjadikan Islam itu dipandang mulia.

Dengan Islam masyarakat beroleh ketenangan, keselamatan, hak minoriti, wanita dan kanak-kanak terpelihara. Sejak kumpulan misteri ini muncul, ia memberi nama buruk dan hukuman semata-mata.

Bagaimana mungkin kumpulan yang mendakwa diri mereka sebagai Negara Islam Iraq itu boleh mewujudkan satu institusi mahkamah yang adil apabila hukuman mati yang dikenakan sangat tinggi jumlahnya dalam masa sebulan. Seolah-olah matlamat utama mereka hanyalah menghukum.

Bagaimana tanpa justifikasi fiqh yang tepat, mereka menamakan diri sebagai mujahidin dan apabila terkorban sebagai asy-Syahid. Sehingga September 2014, polis telah menahan 19 warganegara Malaysia yang disyaki terbabit dengan IS.

Gagal fahami jihad bersenjata

Apabila persoalan fiqh mengenai jihad bersenjata gagal difahami, mereka terpengaruh dengan anasir jalur keras yang menafsir Islam dalam ruang lingkup sangat sempit dan tidak realistik. Perlu diingatkan, dari sudut hukum tanpa khalifah yang sah, tidak ada seruan jihad boleh diisytiharkan apatah lagi membunuh saudara Islam sendiri.

Profesor di Jabatan Pengajian Islam Kontemporari Universiti Oxford, Dr Tariq Ramadan, dalam satu majlis di Kuala Lumpur turut menekankan persoalan ini. Soal menyertai peperangan saudara lebih-lebih lagi di negara asing adalah tidak relevan sama sekali dan jauh tersasar daripada hukum fiqh yang sebenar.

Oleh itu, pemahaman terhadap fiqh seharusnya menjadi cara hidup Muslim yang beriman. Sebagai orang awam, hendaklah merujuk kepada yang pakar dalam bidang hukum fiqh dan perundangan bagi mengelak salah faham terhadap agama.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan tidaklah Kami mengutus rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan daripada kalangan orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui." (Surah an-Nahl, ayat 43)

Bagi golongan profesional, peguam, hakim syarie, ahli akademik dan ulama, kita harus sentiasa meningkatkan pengetahuan ilmu fiqh yang sentiasa berkembang. Hukum syarak sentiasa berdepan isu dan permasalahan baharu yang memerlukan satu sikap keterbukaan dalam memahami nas al-Quran serta sunah supaya relevan dengan keadaan semasa tanpa meninggalkan maksud asal teks itu.

Saranan pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid mengenai perlunya melahirkan hukum Islam berdasarkan pendekatan semasa yang dinamakan Fiqh Malaysia perlu diberi perhatian serius.

Pemahaman yang salah terhadap teks Islam akibat kecetekan ilmu jika dibiarkan tidak terkawal akan membawa kesan buruk kepada keluarga dan masyarakat.

0 Komentar untuk " Peguam Muslim Menulis: Membunuh saudara Islam menyalahi seruan jihad "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ