LPT2 dan samseng lebuh raya - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

LPT2 dan samseng lebuh raya

RAYA tahun ini berbeza. Tiada rungutan, juga tiada rasa hendak terkencing dalam kesesakan. Pemanduan saya sekeluarga dari KL ke Kuala Terengganu – giliran beraidulfitri di rumah isteri! – lancar dan selesa.

Perjalanan balik ke KL, raya keempat setelah puas berkeropok lekor dan nasi dagang, juga tidak terganggu, kecuali merangkak sedikit ketika menuju Tol Gombak. Bertolak dari ibu Negeri Penyu selepas zuhur, selamat tiba di Bandar Sunway sebelum maghrib.

Teringat pengalaman getir pulang beraya tahun-tahun sebelumnya, bertolak selepas subuh dua hari sebelum raya, tiba ke destinasi menjelang waktu sahur puasa terakhir. Hampir 20 jam perjalanan!

Renyah dan rimas dalam kesesakan. Hendak kencing terpaksa berbaris panjang di R&R. Ada yang tidak tahan sehingga hilang malu dan memancut di tepi jalan. Berbuka puasa pun dalam kenderaan, hanya minum air mineral dan kurma.

Tahun ini bukan sahaja dapat berbuka puasa dua hari terakhir Ramadan, malah sempat pula merasai suasana ‘petang megang’ @ petang terakhir al-Mubarak. Orang sebelah kata, dalam bahasa baku penyu: “Lama doh amba dok leh petang megang...”

Terima kasih kepada Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), yang memendekkan masa perjalanan KL-KT hanya sekitar empat jam. Lebih sedap lagi kerana lebuh raya sepanjang 184 km dari Jabor @ sempadan Pahang-Terengganu terus ke KT, kini masih belum dikenakan tol.

Memang baik untuk pulang beraya, sebab masa perjalanan lebih pendek. Kalau kena tol pun masih dikira berbaloi-baloi. Tetapi, bagi saya sendiri ada sedikit kebimbangan, sebab LPT2 boleh dijadikan alasan untuk isteri acap mengajak balik kampung.

Takut setiap bulan dia mengajak pulang ke kampungnya dengan alasan: “Lhaaa, kang ler ning ada LPT2. Jalang jadi mudoh, dok payoh benoh-benoh. Giar pung dok payoh tuka, cokeng sokmo-sokmo. Masuk jer tol, mandu brunggg sampa depang rumoh. Duit tol biar amba bayor...”

Maaf, bagi siapa yang tidak faham bahasa ‘ikang singgang’, sila rujuk dengan mana-mana teman orang Terengganu untuk mengetahui maksudnya. Perhatian: Kamus Dewan pun tidak dapat membantu!

Di sebalik keselesaan memandu di lebuh raya baharu pantai timur, rata-rata perjalanan masih tersekat-sekat di laluan utama sepanjang lebuh raya seluruh negara. Banyak yang merangkak seperti kura-kura dalam kesesakan yang kini sudah semacam budaya setiap perayaan.

Lebih malang lagi, jalan raya dan lebuh raya kita masih menyaksikan darah dan kematian. Setakat semalam Ops Selamat Siri 7/2015 telah merekodkan lebih 100 kematian.

Seperti yang dilaporkan oleh PDRM, pada empat hari pertama ops tersebut dilancarkan, purata yang maut di jalan raya ialah 24 orang setiap hari. Penunggang motosikal paling ramai menjadi korban jalan raya.

Sebenarnya tidak sahaja musim perayaan – Aidilfitri, Gong Xi Fa Cai, Deepavali, Krismas, dan lain-lain – jalan raya dan lebuh raya kita memang meragut nyawa setiap hari.

Kalau pun tidak kerana ramai-ramai balik kampung, semua orang tahu kemalangan jalan raya dan maut di jalan raya di negara kita adalah antara yang tertinggi dan terburuk dalam dunia.

Seperti yang direkodkan, sepanjang tahun lalu 6,915 orang menjadi korban jalan raya dalam 233,761 kemalangan. Sebagai perbandingan kasar, tahun lalu di Filipina 7,350 kematian direkodkan akibat bencana alam seperti banjir dan gempa bumi.

Tempat kita tidak ada gempa bumi, tidak ada letupan gunung berapi, tetapi jumlah yang maut di jalan raya setiap tahun hampir sama dengan kematian akibat bencana alam di negara jiran.

Kita ada lebuh raya berkelas dunia, kenderaan hebat, motosikal berkuasa tinggi. Kita ada kempen keselamatan jalan raya dari semasa ke semasa. Tetapi pemandu kita masih tidak berhemah ketika di jalan raya dan lebuh raya.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berdasarkan analisis, peningkatan kemalangan maut  berpunca kecuaian pemandu. Mungkin ada kebenarannya.

Pengalaman memandu di lebuh raya seluruh negara membuktikan ramai pemandu kita menjadi samseng jalan raya dengan terang melanggar peraturan keselamatan jalan raya.

Kurang ajar, angkuh, seolah-olah lebuh raya opah dia yang punya. Selagi samseng terus mengganas ketika memandu, selama itulah jalan raya dan lebuh raya kita akan terus menjadi medan maut.

0 Komentar untuk " LPT2 dan samseng lebuh raya "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ