Pembentukan negara yang sejahtera sangat memerlukan keharmonian dan rasa saling hormat-menghormati sesama warganya, apatah lagi untuk sebuah negara pelbagai bangsa dan agama seperti Malaysia.
Rasa hormat ini harus sentiasa dijaga supaya tiada pihak memperlekehkan anutan, agama dan fahaman pihak lain. Usaha memperlekehkan agama sesuatu bangsa boleh mencetuskan ancaman kepada ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Akhbar The Star Jumaat lalu yang memberikan liputan “istimewa” kepada Ops Gempur Aurat yang dilancarkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu dengan meletakkan tajuk utama di muka depan.
Berita di muka tiga antara lain ialah kenyataan Naib Presiden MCA, Chew Mei Fun yang mempersoalkan peraturan kod etika pakaian wanita Islam yang menutup aurat di Kelantan. Kenyataan Mei Fun adalah amat tidak wajar.
Ini menunjukkan dia sangat dangkal dan sempit minda dalam memahami isu berkaitan. Tuduhan melulu itu mewujudkan persepsi seolah-olah kerajaan negeri itu terlalu zalim dan tidak berperikemanusiaan, sedangkan tujuannya untuk menjaga wanita Islam.
Lagipun ini tidak melibatkan wanita bukan Islam. Apatah lagi peraturan tersebut telah lama dikuatkuasakan sebelum ini.
Kepada Mei Fun, biarlah kod etika wanita Islam ditentukan oleh orang Islam. Yang bukan Islam tidak perlu masuk campur atau menyibuk kerana kepentingan politik yang sempit sekali gus menghina orang Islam.
Orang Islam tidak pernah menyibuk cara berpakaian wanita bukan Islam kecuali pada acara-acara tertentu yang menuntut mereka menghormati dengan menutup aurat. Selebihnya pakailah apa sahaja.
Saya mungkin menanggung risiko dikaitkan dengan mana-mana parti politik apabila menegur kenyataan ini. Hakikatnya saya tidak pernah membiarkan pemikiran diserkup oleh tempurung politik yang sempit dan remeh.
Tulisan ini hanya menyokong usaha untuk memurnikan Islam. Saya percaya tempurung politik terlalu tebal dan sukar ditembusi tanpa iltizam yang besar untuk meletakkan agama di atas daripada segala-galanya.
Saya melihat peraturan, undang-undang atau apa sahaja istilahnya, yang dilakukan itu adalah suatu yang baik kepada wanita Islam.
Bukan sahaja di Kelantan malah di seluruh negara. Bagi wanita Islam, sejak kecil lagi mereka dibekalkan kod etika pemakaian menutup aurat untuk menjaga maruah dan martabat mereka sebagai wanita.
Oleh itu Islam yang liberal dan penganut agama lain tidak wajar mempersoalkan perkara ini, kerana ada peraturan agama yang tidak boleh dibahaskan dengan akal dan logik.
Persoalan yang ditimbulkan oleh Mei Fun ini hanya kelihatan bermotifkan politik di atas nama memperjuangkan kebebasan wanita.
Orang Islam melihat ini sebagai satu lagi campur tangan yang sekali gus memperlekehkan peraturan dalam agama Islam.
Tidak wajarlah disebabkan cuba meraih kepentingan politik dia melabelkan perkara yang dituntut oleh Islam sebagai satu diskriminasi.
Adakah Mei Fun mahu menjadi jurubicara kepada wanita Islam yang menentang kod etika berpakaian menurut Islam dengan alasan mereka bebas memilih pakaian mengikut kesukaan masing-masing. Usah mengelirukan, kerana ini sangat berbahaya, apatah lagi melibatkan agama yang bukan dianutinya.
Sebaliknya dia harus memahami rasional peraturan itu terlebih dahulu sebelum melontarkan sentimen dengan mengutuk pihak terbabit. Apa sahaja peraturan yang menjurus kepada kod etika yang menepati tuntutan Islam adalah suatu yang murni.
Orang Islam tidak pernah menganggap itu sebagai kongkongan, bukan sahaja berpakaian malah semua aspek dalam kehidupan, Islam ada kod etika sendiri yang kadangkala bukan Islam kurang memahami.
Misalnya ada sesetengah dalam kalangan bukan Islam boleh menerima seks luar nikah sebagai satu cara hidup, pemimpin yang dilibatkan dengan isu ini tidak terjejas kerjaya politiknya. Tetapi dalam Islam tidak boleh. Pemimpin yang terlibat dengan seks luar nikah akan tersungkur di tepi pentas politik.
Mei Fun sepatutnya menyediakan fakta bukan dengan tuduhan yang mengelirukan bahawa menguatkuasakan peraturan itu akan menjejaskan usaha untuk melahirkan lebih banyak usahawan wanita.
Saya membaca dan memahami ini sebagai satu kesengajaan. Dalam kata lain dia mahu memberitahu, “siapa yang menutup aurat tidak boleh menjadi usahawan.”
Bolehkah dia membuktikan kegagalan atau kejayaan seseorang usahawan wanita itu ada kena mengena dengan menutup aurat?
Saya fikir kalau Mei Fun mahu menjadi juara kebebasan wanita, perjuangkan dulu nasib wanita Islam yang menutup aurat yang disempitkan peluang pekerjaan secara terhormat oleh banyak syarikat korporat bukan Melayu. Bukanlah ini satu diskriminasi?
Saya tidak berminat untuk terperangkap dalam perang politik sama ada UMNO, Pas, MCA dan berbagai-bagai lagi setiap kali tercetusnya sesuatu isu. Sebabnya saya bukanlah hamba politik kepartian.
Saya hanya mahu membetulkan persepsi manusia seperti Mei Fun dan sesetengah NGO Islam yang memusuhi agamanya sendiri dengan menggambarkan hukum menutup aurat itu satu bebanan kepada wanita Islam.
Nasihat saya kepada Mei Fun, cubalah hormat peraturan di rumah orang, kalau rumah sendiri tiada peraturan. Biarlah hal ehwal Islam diuruskan oleh orang Islam. Bagaimanapun kalau ada orang Islam yang berkepentingan dalam politik dan berdiam diri, saya boleh faham sebabnya.
0 Komentar untuk " Kenapa MCA sibuk kod etika pakaian wanita Islam? "