Bermain tingkat IQ, EQ kanak-kanak matang - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bermain tingkat IQ, EQ kanak-kanak matang


PASTI ramai yang tidak lupa zaman kanak-kanak. Mana tidaknya, hari ini hidup dengan memori lepas yang tidak pernah pudar.

Saat bermain lumpur, mandi sungai dan panjat pokok dengan rakan-rakan menjadi nadi kehidupan. Namun, dalam konteks Malaysia, tidak semua kanak-kanak digalakkan bermain.

Malah, ada ibu bapa yang melihat bermain itu membuang masa dan lebih buruk lagi, menggunakan masa bukan ke arah 'pembelajaran' dan itu dilihat negatif. Satu laporan kajian jurnal American Journal of Play pada 2011 mendapati dalam 50 tahun lalu, masa bermain kanak-kanak di serata dunia merosot, menjadikan mereka dewasa yang tidak berkeyakinan tinggi.

Dalam konteks tempatan, kanak-kanak seawal empat tahun lagi sudah didedahkan dengan kelas tuisyen bagi subjek akademik dan kelas mingguan yang lebih berstruktur seperti kelas renang dan kelas seni pertahanan diri. Kesan persaingan dan perubahan dalam kurikulum pembelajaran persekolahan, ibu bapa terkesan dan terpaksa menghantar anak ke kelas tuisyen.

Akibatnya, masa untuk bermain dalam kalangan kanak-kanak semakin berkurangan.

American Academy of Pediatrics (AAP) menulis mengenai kepentingan masa rehat di sekolah kerana waktu itulah kanak-kanak ditawarkan perkembangan kognitif, sosial, emosional dan fizikal yang tidak diperoleh daripada sumber akademik. Selain di sekolah, masa bermain sebenarnya perlu dan penting bagi kanak-kanak seawal dua tahun lagi.

Bermain pada awal usia membantu kanak-kanak menjadi matang. Bayi berusia dua tahun sebenarnya sudah boleh bermain dengan yang lain sambil melakukan aktiviti sendiri tetapi pada masa sama mempunyai fokus dan matlamat sendiri. Pada masa inilah bayi mula mengenal keperluan bermain bersama orang lain yang membantu perkembangan sisi sosial dirinya.

🔥Rangsang pencapaian akademik🔥

Kepentingan bermain ini perlu difahami ibu bapa. Bermain menyediakan faedah yang unik dan merangsang pencapaian akademik. Ibu bapa kena tahu dan faham, jika tidak anak-anak terus ditekan dan dipaksa menyajikan keputusan akademik cemerlang tanpa menapis proses ke arah pencapaian itu. Kanak-kanak bijak akademik perlu kreatif dan bersosial, baharulah boleh cemerlang IQ dan EQ.

Namun, zaman ini berbeza dengan yang lepas. Rata-rata ramai lebih berminat menghabiskan masa dengan gajet dan permainan video dalam talian bagi melepaskan tekanan selepas penat belajar. Satu kajian di Amerika Syarikat menunjukkan penurunan 25 peratus masa kanak-kanak untuk bermain, meskipun banyak kajian dalam bidang psikologi menekankan peranan bermain dalam mempengaruhi perkembangan fizikal, mental, emosi dan sosial.

Dalam keghairahan perkembangan media baharu ini, ibu bapa juga tidak perlu cepat melatah. Dr Andrew K Przybylski yang menjalankan kajian terhadap 2,436 kanak-kanak lelaki dan 2,463 kanak-kanak perempuan antara umur 10 hingga 15 tahun mendapat keputusan mengejutkan. Ia turut dilaporkan majalah antarabangsa Forbes ini mendapati permainan video beri kesan positif, iaitu merapatkan jurang psikososial dan dapatan ini dilihat berkeupayaan menukar cara kita lihat impak permainan video.

Selain itu, kajian ini juga mendapati pandangan umum mengenai permainan video dan internet juga sudah berubah. Permainan ini tidak lagi dikaitkan dengan unsur negatif tetapi masih memerlukan pemantauan ibu bapa.

🔥Pantau permainan video🔥

Bermain video tidak salah, tetapi ibu bapa perlu terus memantau dan mengehadkan masa bermain. Menutup terus peluang ini kepada kanak-kanak bukan lagi jalan yang sesuai sekarang.

Maka isu ini berbalik semula kepada pengetahuan ibu bapa. Misalnya, siapa antara kita yang tahu jenis permainan yang diberikan kepada anak-anak mempunyai kesan berbeza-beza kepada mereka? Profesor bidang psikologi di Indiana University −Purdue University, Judith Elaine Blakemore mendapati setiap jenis permainan membawa impak berbeza kepada sikap kanak-kanak.

Ada yang mempengaruhi mereka dari segi pemikiran, interaksi dengan rakan dan ada yang membawa peningkatan kreativiti. Ada juga permainan tidak beri apa-apa kesan signifikan, walaupun kelihatan menarik dan sofistikated. Justeru, berbalik kepada ibu bapa untuk mencorakkan anak, amanah yang perlu kita jaga dari segi - fizikal, mental dan spiritual.

Oleh Dr Siti Suriani Othman dan Dr Nurhafizah Mohd Sukor

https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2017/08/312432/bermain-tingkat-iq-eq-kanak-kanak-matang
0 Komentar untuk " Bermain tingkat IQ, EQ kanak-kanak matang "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ