Hikmah al-Quran: Berbeza agama tidak halang bertoleransi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Hikmah al-Quran: Berbeza agama tidak halang bertoleransi



Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim." (Surah al-Maaidah, ayat 51)

Ahli sejarah meriwayatkan ketika Nabi SAW berada di Madinah, sikap kaum kafir terhadap Baginda terbahagi kepada tiga golongan. Golongan pertama mereka yang melakukan perjanjian damai untuk tidak memerangi Baginda selain memberi bantuan menghapuskan musuh.

Mereka juga mendapat jaminan keamanan sama ada nyawa atau harta. Golongan kedua ialah yang memerangi Baginda dan menunjukkan sikap permusuhan. Manakala golongan ketiga, yang tidak mempedulikan, tidak mengadakan perdamaian, tetapi tidak memerangi Baginda.

Bahkan mereka menantikan terjadinya pertentangan antara Baginda dengan musuhnya. Sebahagian golongan itu ada yang secara diam-diam menginginkan Baginda mendapat kemenangan terhadap musuhnya.

🔥Sebab turun ayat🔥

Tetapi sebahagian lagi bersikap berpura-pura menyenangi Nabi SAW tetapi hati kecilnya lebih tertumpu untuk memihak kepada musuh, kerana ingin memperoleh keselamatan daripada kedua-dua belah pihak yang bermusuhan.

Golongan terakhir inilah yang disebutkan golongan munafik. Nabi SAW melayani tiap-tiap golongan itu sesuai dengan perintah Tuhan kepadanya. Contohnya, dengan bangsa Yahudi Madinah Baginda mengadakan perjanjian damai dan mengadakan akta keamanan.

Ada beberapa riwayat berkaitan sebab turun ayat ini. Riwayat pertama mengisahkan ayat ini diturunkan pada saat Ubadah bin Samit dan Abdullah bin Ubay bin Salul sedang bertengkar. Mereka berdebat siapa yang lebih layak dijadikan tempat berlindung.

Ubadah berkata, "Saya memiliki banyak 'awliya' iaitu teman rapat dalam kalangan orang Yahudi, jumlah mereka ramai dan pengaruhnya besar. Tetapi saya melepaskan diri daripada mereka dan mengikuti Allah SWT dan rasul-Nya. Tiada pelindung bagi saya, kecuali Allah dan Rasul-Nya."

Manakala Abdullah bin Ubay berkata, "Saya memilih untuk berlindung dengan Yahudi kerana saya takut ditimpa musibah. Untuk menghindarinya saya perlu bergabung dengan mereka."

🔥Islam agama toleransi🔥

Dalam riwayat berbeza, ayat ini diturunkan ketika terjadi serangan hebat terhadap satu kumpulan dalam perang Uhud. Mereka takut apabila orang kafir menyeksa mereka.

Berkata salah seorang mereka, "Saya bergabung dengan orang Yahudi dan menjadikan mereka sebagai tempat berlindung, kerana saya khuatir orang Yahudi menyeksa saya. Sementara seorang lagi berkata, "Saya bergabung dengan orang Nasrani dari Syam dan menjadikannya pelindung."

Daripada dua riwayat itu dapat diperhatikan ayat ini turun pada saat konflik umat Islam dengan orang kafir sedang meruncing. Dalam situasi konflik seperti itu, berpihak pada kelompok musuh dianggap sebagai pengkhianatan dan merosakkan penyatuan umat Islam. Bahkan orang yang bersekutu dengan musuh sudah dianggap menjadi sebahagian daripada mereka.

Sebenarnya perbezaan agama tidak menghalang kita untuk berbuat baik, berkasih sayang dan bertoleransi dalam perkara yang diizinkan syariat. Islam adalah agama perdamaian dan agama toleransi.

Perkara awal dilakukan Rasulullah SAW setiba di Madinah ialah mengadakan perjanjian dengan orang Yahudi. Antara inti pati perjanjian ialah negara Islam Madinah perlu menghormati kepercayaan dan agama, mempertahankan mereka dari segala bentuk ancaman dan menjadikan mereka sebahagian daripada masyarakat Madinah.

Oleh Ahmad Shukri Yusoff
Penulis ialah perunding motivasi Islam Fitrah Power Resources

https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2017/12/360526/hikmah-al-quran-berbeza-agama-tidak-halang-bertoleransi

0 Komentar untuk " Hikmah al-Quran: Berbeza agama tidak halang bertoleransi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ