MENURUT pengarang kitab al-Hikam yang terkenal, Syekh Ibnu Atha'illah as-Sakandari, ilmu yang sebenar menjadikan kita berasa takut kepada Allah SWT.
Ilmu bermanfaat menjadikan seorang isteri taat kepada suaminya, anak patuh kepada kedua-dua orang tuanya dan pemimpin akan adil kepada rakyatnya. Ilmu menjadikan hati manusia ibarat air sungai yang sentiasa mengalirkan air bersih dan jernih untuk manfaat makhluk lain.
Hakikatnya, pembinaan akhlak adalah melalui jalan dakwah, begitu juga pembaikan Islam dan pembinaan sistem hidup manusia. Sebab itu dakwah disebut sebagai enjin yang menggerakkan agama dan manusia kerana kaitan dakwah dengan ilmu serta kefahamannya.
Dakwah adalah tunjang menggerakkan hati manusia untuk membina kebaikan untuk agama, sistem cara hidup, seterusnya kepada alam ini. Dakwah itu menyeru dan mendidik manusia menjadi insan yang taat kepada perintah Allah SWT.
Begitu juga saat dunia ini berdepan pelbagai kerenah dan fitnah, cara menyucikannya adalah melalui dakwah sebagai bentuk tarbiah bagi mengikis segala kejahatan yang melingkari kehidupan manusia.
🔥Pengukuhan iman🔥
Dakwah akan memfokuskan manusia yang melakukan kemungkaran dan kejahatan dengan mencari punca manusia melakukannya. Oleh itu, dakwah harus memfokuskan kepada asbab manusia melakukan kejahatan iaitu tidak yakin kepada Allah SWT, hari akhirat dan terlalu cintakan dirinya.
Begitu juga lebur nilai kasih sayang atau ukhuwah menyebabkan manusia tidak lagi saling menyayangi antara satu sama lain. Apabila hilang kasih sayang, ukhuwah semakin lemah dan perasaan saling membenci menguasai diri.
Apabila manusia dihasut dengan kebencian, maka timbullah pelbagai prasangka yang boleh merosakkan hubungan, melahirkan kucar kacir dan pelbagai perkara yang memporak perandakan hubungan sesama manusia.
Dakwah hadir ketika manusia berpaling daripada perintah Allah SWT dengan menyeru mereka kembali kepada ajaran al-Quran dan hadis, melaksanakan perintah serta meninggalkan larangan-Nya. Pengukuhan iman sebahagian daripada dakwah mengajak manusia dekat dengan Allah SWT yang Maha Pencipta.
🔥Iman cegah kemungkaran🔥
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan kamu pula beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang yang fasik." (Surah Ali-Imran, ayat 110)
Sesungguhnya melaksanakan kerja dakwah adalah tugas murni dan mulia di sisi Allah SWT kerana ia menyeru manusia supaya beriman serta beribadat hanya kepada-Nya. Paling utama dalam dakwah adalah mengukuhkan keimanan kerana iman akan mencegah daripada perbuatan mungkar.
Dunia adalah jalan untuk mereka yang sentiasa mencari kebaikan. Hati yang selalu menagih keampunan daripada Allah SWT akan selalu dilorongkan dengan perbuatan mendekatkan diri dengan Allah SWT.
Orang yang selalu mencari kebaikan akan mendapat kebaikan dan yang selalu lupa kebaikan, kejahatan akan datang kepadanya. Justeru, berdakwahlah di mana sahaja kerana dakwah sentiasa membuka jalan kebaikan bagi sesiapa yang melakukannya.
Oleh Nik Hasnah Ismail
0 Komentar untuk " Dakwah tugas murni bina akhlak insan "