5 fasa kehidupan persediaan ke akhirat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

5 fasa kehidupan persediaan ke akhirat



ULAMA membahagikan fasa umur manusia kepada beberapa masa tertentu dalam hidup supaya mereka menyedari saat yang dilalui dan tidak terleka menjalani kehidupan di dunia ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang yang rugi." (Surah al-Munafiqun, ayat 9)

Menerusi perkongsian dalam slot Mau'izati di IKIMfm, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menjelaskan ketika manusia berada dalam rahim ibunya, Allah SWT menghantar malaikat untuk ditiupkan roh dan dituliskan empat perkara iaitu rezeki, ajal, amalan dan balasan syurga atau neraka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada pati (yang berasal) dari tanah; kemudian Kami jadikan pati itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh; kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta." (Surah al- Mukminun, ayat 12-14)

Lima fasa kehidupan

Imam Ibnu al-Jauzirah menyebut, ketika manusia dilahirkan di dunia dibahagikan umurnya kepada lima fasa. Sejak mula dilahirkan, manusia menghadapi 99 perangkap kematian, ada yang dapat menghadapinya sehingga akhir, ada yang tidak sempat lalu menemui kematian.

Fasa pertama kehidupan manusia ketika melalui zaman kanak-kanak iaitu ketika bayi sehingga mereka mencapai usia 15 tahun. Fasa kedua ketika muda, iaitu berumur di antara 15 hingga 35 tahun.

Fasa ketiga, manusia dewasa bermula ketika 35 hingga 55 tahun, manakala fasa keempat, manusia menjadi tua berumur antara 55 hingga 70 tahun. Fasa kelima pula, berumur antara 70 hingga akhir hayat yang dikurniakan Allah SWT kepada mereka.

Apabila manusia mencapai usia 20 hingga 40 tahun, mereka melalui tempoh diberi kurniaan duniawi daripada Allah SWT. Namun, selepas mencapai usia 40 tahun, digalakkan membaca doa, "Yang telah Kamu berikan kepadaku dan ke atas kedua ibu-bapaku, ya Allah tolong kurniakan kepadaku satu amalan yang kamu reda dalam hidup ini."

Jangan kejar dunia

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur 40 tahun, berdoalah ia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku daripada orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)." (Surah al-Ahqaaf, ayat 15)

Sewajarnya pada usia 40 tahun, manusia tidak lagi sibuk mengejar urusan dunia atau berasa gembira dengan hal ehwal keduniaan semata-mata dan tenggelam dalam kelalaian diri. Sebaliknya bersedialah untuk menghadapi kematian dan mengubah ketentuan.

Qada yang ditetap ketika disuratkan ketika berada dalam kandungan ibu iaitu qada yang tidak baik kepada qada lebih baik. Qada yang lebih baik akan menjamin diri menghuni syurga pada hari akhirat kelak. Maka istiqamah dengan agama dan sentiasa berdoa kepada Allah SWT.

Muhasabah diri

Sheikh Wahab bin Munabbih pernah membaca dalam beberapa buah kitab dan berkata, "Bahawasanya satu suara akan menyeru dari langit keempat pada setiap pagi yang memanggil: Wahai manusia yang berusia 40-an, kamu adalah tanaman yang sudah dekat masanya untuk dituai. Wahai manusia yang berumur 50-an, sudahkah kamu mengira apa yang sudah kamu lakukan dan apa yang belum kamu lakukan. Wahai manusia yang umurnya 60-an tidakkah kamu tahu bahawa tidak ada lagi alasan buatmu? Alangkah baiknya jika semua makhluk tidak diciptakan ataupun jika mereka dicipta, sebaiknya mereka mengetahui mengapa mereka diciptakan. Berhati-hatilah, saat kamu sudah tiba. Jaga-jagalah diri kamu semua."

Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada tuhan melainkan Allah, ada dalam kalangan manusia yang beramal dengan amalan ahli syurga sehinggakan dirinya dengan syurga itu hanya sejengkal jaraknya. Tiba-tiba apabila hampir dengan kematian, terbalik suratan kitabnya dan beramal dengan amalan ahli neraka. Lalu dia mati dan dimasukkan ke dalam neraka. Dan ada dalam kalangan kamu yang hidupnya, beramal dengan amalan ahli neraka sehingga dirinya dengan neraka sangat dekat, hanya sejengkal jaraknya. Tiba-tiba berubah suratan kitabnya, di akhir kehidupannya beramal dengan amalan ahli syurga dan mati, lalu dia dimasukkan ke dalam syurga Allah." (Riwayat Imam Bukhari)

Penulis adalah Pengurus Hubungan Strategik Radio IKIMfm

Oleh Fairuz Noordin


0 Komentar untuk " 5 fasa kehidupan persediaan ke akhirat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ