Syukur, kegembiraan & panjang umur - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Syukur, kegembiraan & panjang umur



PERNAHKAH bertanya apa tujuan kita hidup di dunia ini? Atau adakah sekadar menjalani kehidupan, sekadar wujud, tanpa memikirkan tujuan sebenar hidup kita?

Mengapa kita dilahirkan di dunia ini kemudian mati? Apa pula yang berlaku selepas kematian? Tanpa memahami tujuan kehidupan di dunia ini, rasanya hidup ini menjadi rapuh dan hambar kerana tiada motivasi untuk menjalani hidup dengan lebih baik.

Menurut Ken Mogi, seorang penulis Jepun yang juga merupakan saintis otak, dalam bukunya yang bertajuk The Little Book of Ikigai: The Essential Japanese Way to Finding Your Purpose in Life, Ikigai bermaksud “tujuan hidup”.

Menurutnya lagi, setiap insan mempunyai Ikigai dan mencari tujuan hidup merupakan salah satu objektif kehidupan manusia.

Adakah kesibukan kita mencari sesuap nasi untuk keluarga, bekerja siang malam untuk membayar pinjaman rumah dan kereta, menyebabkan kita tidak gembira yang akhirnya boleh memendekkan umur kita?

Menurut Hector Garcia dan Fransesc Miralles dalam buku mereka yang bertajuk, IKIGAI: The Japanese Secret to a Long and Happy Life, Ikigai adalah “kegembiraan dengan menjadi sentiasa sibuk”. Apakah yang mereka maksudkan?

Mereka telah melawat dan menemu ramah penduduk di pulau Okinawa, Jepun di mana 25 peratus daripada setiap 100,000 penduduknya berusia lebih 100 tahun. Buku tersebut mengongsi enam rahsia panjang umur yang telah dikongsi dengan penulis dalam temu ramah tersebut.

Pertama, kekal aktif dan jangan bersara. Terus lakukan apa yang disukai walaupun sudah berhenti daripada apa sahaja pekerjaan yang dilakukan untuk memperoleh pendapatan. Ini akan memberi kita tujuan untuk meneruskan hidup.

Kedua, lakukan segalanya dengan perlahan tetapi berterusan. Ada pepatah yang mengatakan jika perlahan sekalipun, anda akan tetap pergi jauh jika terus berjalan.

Ketiga, makan makanan yang berkhasiat dan berhenti sebelum kenyang. Petua ini selari dengan firman ALLAH yang bermaksud, “Makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya ALLAH tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (surah al-A’raf, ayat 31)

Keempat, sentiasa berdamping dengan sahabat yang baik. Ini juga seiring dengan ajaran Islam. Firman ALLAH dalam Surah al-Kahfi ayat 28 yang bermaksud, “Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan ALLAH semata-mata.”

Kelima, sentiasa senyum dan ceria. Dr Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Lahw wa al-Tarfih mengatakan bahawa, “Ketawa merupakan antara keistimewaan manusia. Binatang tidak boleh ketawa kerana ketawa datang hasil satu bentuk kefahaman dan pengertian terhadap satu ucapan yang didengarinya atau satu kejadian yang disaksikan. Rentetan itu dia ketawa.”

Keenam, sentiasa mengucapkan terima kasih (bersyukur). Firman ALLAH, “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Sebagai seorang Muslim, salah satu cara menzahirkan kesyukuran kita secara lisan adalah dengan mengucapkan “Alhamdulillah”. Biasanya orang bersyukur ketika mendapat nikmat dan apabila terlepas daripada kesusahan. Tetapi sebenarnya, apa keadaan sekalipun, kita seharusnya sentiasa bersyukur kerana ALLAH masih memberi peluang meneruskan kehidupan.

Apabila kita bangun daripada tidur, kita bersyukur kerana masih mempunyai keupayaan untuk bergerak. Tanpa izin ALLAH, tidak mungkin anggota kita dapat berfungsi. Begitu juga keupayaan melakukan rutin harian seperti belajar atau bekerja, semuanya kurniaan ALLAH SWT yang perlu disyukuri.

Kita wajib melahirkan syukur atas segala nikmat yang diterima. Dugaan hidup juga sebenarnya baik sekiranya ia menjadikan kita lebih dekat dengan ALLAH. Segala ketentuan ALLAH itu terbaik untuk kita walaupun kita tidak mampu memahami hikmah di sebaliknya.

Memahami tujuan sebenar kehidupan dan kemampuan untuk bersyukur berkait rapat dengan keupayaan menyemai kegembiraan dan ketenangan dalam hidup yang merupakan ramuan penting untuk kesihatan rohani juga jasmani. Semoga kita diberi kegembiraan dan umur yang panjang lagi berkat agar dapat menggunakan waktu yang ditentukan untuk kita berada di dunia ini dengan sebaiknya.

* Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan
0 Komentar untuk " Syukur, kegembiraan & panjang umur "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ