ANTARA kisah yang tersimpan dalam lipatan sejarah, adalah tentang seorang putera raja bernama Siddhartha Gautama yang lahir pada 623 sebelum Masihi di Lumbini, Kapilavasthu, Nepal. Siddhartha bermaksud 'tercapailah segala cita-citanya'. Putera kepada Raja Suddhodana dan Permaisuri Maya ini dibesarkan dalam kemewahan. Baginda tidak pernah melihat orang tua, orang sakit, orang mati, mahupun seorang pertapa (sami).
Ketika Siddhartha berusia 16 tahun, Raja Suddhodana telah memerintahkan agar dibina tiga istana yang besar dan cantik untuk puteranya itu; satu untuk musim dingin (Ramma), satu untuk musim panas (Suramma) dan satu untuk musim hujan (Subha). Siddhartha berkahwin dengan Puteri Yasodhara dan mereka hidup dalam serba mewah.
Pun begitu, Putera Siddhartha terasa bagaikan ada sesuatu yang tidak cukup dalam hidupnya; baginda masih belum mengecap kebahagiaan. Baginda ingin berjalan ke luar istana untuk melihat kehidupan rakyat jelata.
Kali pertama berjalan-jalan di kota, Putera Siddhartha terserempak dengan seorang tua berambut putih. Kulit mukanya berkerepot dan matanya hampir buta.
Pakaian pula kotor dan compang-camping. Giginya rongak, badannya kurus kering dan bongkok. Dia berjalan dengan bantuan tongkat. Ketika itu, putera raja itu sedar bahawa setiap yang muda, pasti akan tua. Tiada yang boleh mencegahnya, meskipun ia kaya atau berkuasa.
Kali kedua berjalan ke kota, baginda ternampak seorang lelaki terbaring di tepi jalan dalam keadaan kotor dan kesakitan. Baginda mendekati lelaki itu. Dia tidak bermaya tetapi masih bernafas. Apabila ditanya kepada pengiring baginda, didapati bahawa lelaki itu sedang demam panas. Ketika itu baginda sedar bahawa setiap orang pasti akan merasa sakit.
Kali ketiga, Putera Siddhartha keluar pula melalui pintu barat istana. Kali ini, baginda terlihat empat orang sedang mengusung seseorang yang terbaring kaku. Beberapa orang mengikut di belakang sambil menangis. Ketika itu baginda sedar bahawa setiap orang akan mati, tidak kira rakyat jelata mahupun raja.
Kali keempat keluar pula, baginda terlihat seorang sami berpakaian jubah jingga dengan kepala yang dicukur bersih. Sami itu kelihatan tenang dan gembira. Sami itu meninggalkan keluarga dan kehidupan dunia untuk menumpukan perhatian kepada tanggungjawab agama. Baginda ingin bahagia seperti sami tersebut.
Pada usia 29 tahun, Putera Siddhartha meninggalkan istana, isteri dan anaknya untuk mencari kebenaran dan cara mengatasi penderitaan yang disebabkan oleh usia tua, sakit dan kematian. Setelah 6 tahun bertapa dan menjalani kehidupan yang perit, baginda tetap tidak menemui kebenaran dan kebahagiaan yang dicari.
Kehidupan yang sangat mewah tidak memberikan kebahagiaan. Kehidupan yang terlalu susah juga tidak memberikan kebahagiaan. Akhirnya, baginda memutuskan untuk mengikut 'Jalan Tengah' di antara dua ekstrem itu.
Baginda duduk di bawah sepohon pokok Bodhi, menenangkan diri dan akhirnya mendapat jawapan untuk semua persoalan. Baginda mendapat pencerahan (enlightenment) ketika itu dan digelar Buddha (dalam bahasa Sanskrit bermaksud mereka yang mendapat pencerahan/mereka yang sudah sedar).
Prinsip asas ajaran Buddha ialah kesederhanaan dengan empat kebenaran mulia iaitu; (1) setiap makhluk tidak terlepas daripada Dukkha (suffering); (2) Dukkha timbul daripada hasrat dan keinginan atau nafsu; (3) Dukkha dapat diatasi dengan mengatasi nafsu; (4) untuk mengakhiri Dukkha, perlu mengikut Jalan Tengah ke arah kebahagiaan abadi (nirwana).
Jalan Tengah merupakan kesederhanaan, antara hidup terlalu mengikut kepuasan nafsu dengan penyeksaan diri. Konsep kesederhanaan atau wasatiah ini juga merupakan asas ajaran Islam yang diterapkan dalam gagasan 1Malaysia.
Ayat 29 Surah Al Isra’ bermaksud, "Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkan dengan sehabis-habisnya, akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela dan menyesal”.
Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, "Sebaik-baik perkara adalah yang paling sederhana”.
Kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan akhirat merupakan impian setiap Muslim yang beriman dan sifat kesederhanaan merupakan salah satu kuncinya.
Lantaran itu, marilah sama-sama kita terapkan sifat kesederhanaan dalam diri kita dan keluarga.
Semoga dengan itu, kita menjadi umat yang seimbang serta bahagia di dunia juga akhirat.
http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/johari-yap/sederhana-dalam-kehidupan-1.763244
0 Komentar untuk " Sederhana dalam kehidupan "