Doa kita senjata pertahan al-Aqsa - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Doa kita senjata pertahan al-Aqsa

Masyarakat Islam di Malaysia membantah kekejaman Zionis ke atas rakyat Palestin. - Gambar hiasan/Foto Zairee Mohd Yasak

Baitulmaqdis menjadi rebutan dan menjadi daerah disebut 'Darul Syuhada'. Masjid al-Aqsa menjadi kiblat pertama umat Islam dan satu tempat yang sangat istimewa. Penderitaan rakyat di bumi Palestin wajar dikongsi bersama sama ada menerusi doa mahupun sumbangan yang dapat ringankan beban ditanggung rakyatnya. Ikuti kupasan mengenai perkembangan berlaku di Masjid al-Aqsa bersama Ustaz Zulramli Mohamad Razali bersama ahli usrah Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin dan Felo Pusat Kajian SYARAK IKIM, Wan Roslili Abdul Majid, dalam segmen Usrah Nurani di IKIMfm.

Allah SWT menyebut nama al-Aqsa dalam al-Quran, justeru, menjadi tanggungjawab kita untuk turut merasai setiap perkara yang berlaku di Al-Aqsa. Bukan sekadar mendengar dengan telinga dan melihat dengan mata, namun harus kita merasai dengan hati.

Menerusi segmen Usrah Nurani di IKIMfm, naqib Ustaz Zulramli Mohamad Razali bersama ahli usrah Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin dan Felo Pusat Kajian SYARAK IKIM, Wan Roslili Abdul Majid, mengupas perkembangan berlaku di Masjid al-Aqsa dalam tajuk 'Air Mata al-Aqsa'.

Menurut Muhammad, ada beberapa tanah yang disebut dalam al-Quran, mahupun hadis Baginda SAW iaitu Makkah yang disebut sebagai 'negara yang aman'. Disebutkan dalam hadis Nabi SAW, Iraq dipanggil 'negeri fitnah'.

Ada juga negeri yang disebut 'negeri barakah' iaitu Yaman dan Syam, sementara satu daerah disebut 'Darul Syuhada' iaitu kawasan Baitulmaqdis kerana sejak dari zaman sebelum Baginda SAW telah berlaku peperangan kerana agama di Baitulmaqdis.

Antaranya, peperangan antara Jalut dan Tholut, Perang Syam'un Al-Ghazi dan kisah Nebuchednizzar yang menghancurkan kota Baitulmaqdis. Kemudian bagaimana kota Baitulmaqdis dihancurkan oleh Titus, tentera Rom pada 70 Masihi.

Baitulmaqdis pernah berada di bawah penguasaan tentera salib selama hampir 100 tahun. Sehingga kini berlaku peperangan kecil semuanya kerana agama. Juga, pada akhir zaman akan berlaku peperangan luar biasa hebatnya antara orang Islam yang dipimpin oleh Nabi Isa, Imam Mahdi yang menentang Dajjal. Pengakhiran perang itu juga berlaku di Baitulmaqdis.

Muhammad berkata, umat Islam hendaklah berdoa supaya mereka yang sedang berdepan ujian di Baitulmaqdis diberi kekuatan dan ketabahan oleh
Allah SWT kerana kita yang tidak berada di sana, sekurang-kurangnya dapat membantu melalui doa bagi meringankan penderitaan mereka.

Tidak dinafikan ada juga yang membantu dengan wang ringgit melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berurusan dengan pihak di sana. Semuanya terpulang kepada kita untuk bersama berbakti kepada saudara Islam yang sedang diuji itu.

Bagi Wan Roslili, sekalipun tidak pernah menjejakkan kaki ke bumi suci al-Aqsa, yang menjadi penghubung adalah persaudaraan seagama dan seakidah dengan umat Islam di sana.

Bantu saudara dalam kesusahan

Katanya, kita diingatkan oleh Baginda SAW supaya jangan tidur dalam kekenyangan sedangkan ada saudara lain yang kelaparan. Itu juga satu keaiban buat kita kerana tidak sempurna iman seseorang yang tidak membantu saudara sedang dalam kesusahan.

Apatah lagi, jika keadaan yang sedang berlaku itu membabitkan masjid dan Tanah Suci yang disebut dalam al-Quran. Jika kita tidak berasakan sesuatu dalam hati akan nasib menimpa mereka, maka periksa kembali tahap iman kita.

Zulramli turut berkongsi saat berkunjung ke bumi Palestin, sapaan mesra saudara di sana dengan ucapan 'selamat datang ke tanah kamu' dan saat keluar dari bumi Palestin, mereka menyebut 'jumpa lagi di al-Aqsa al-Syarif'.

Jika Allah SWT memperjalankan Rasulullah SAW ke Masjid al-Aqsa, pasti ada sesuatu yang istimewa di sana.

Baitulmaqdis yang menjadi rebutan sejak dahulu lagi adalah sebuah kota tiga benua, menghubungkan Afrika, Asia dan Eropah. Salahuddin Al-Ayyubi menyebut, "Sesiapa yang dapat menguasai Palestin, dia boleh menawan dunia."

Muhammad menambah, di Baitulmaqdis ada satu tempat yang sangat istimewa, iaitu kiblat pertama umat Islam. Keluasan Masjid al-Aqsa ialah 36 ekar dan ada lima masjid di dalamnya.

Dua di atas tanah dan tiga lagi di bawah tanah. Dua di atas tanah adalah Masjid Utama atau Masjid Kibli dan Masjid Kubbatus Sakhra. Tiga di bawah tanah, pertamanya Masjid Marwani, Masjid Utama (bawah tanah) dan Masjid Buraq.

Dekat dengan sejarah al-Aqsa

Ada lebih seratus benda yang boleh dilihat di Masjid al-Aqsa antaranya Makam Arba'in, tempat 40 wali berkumpul. Manakala di Masjid Utama (bawah tanah) ada perpustakaan lama yang ada setengah juta manuskrip lama.

Kita bangsa Melayu di Malaysia begitu dekat dengan apa juga yang terjadi di al-Aqsa dan Palestin kerana menurut sejarah dalam kitab Tarsilah Melayu, bangsa Melayu datang daripada keturunan Nabi Ibrahim. Disebabkan itu, kita benar-benar dekat dengan sejarah al-Aqsa.

Bukti kedua, ketika Salehuddin al-Ayyubi dapat menawan kembali al-Aqsa daripada tentera salib, beliau bernazar untuk meletakkan dua mimbar, satunya di Masjid al-Aqsa dan Masjid Ibrahimiyah di Hebron.

Mimbar itu terdiri daripada 16 ribu kepingan kayu yang dipasak dan ditanggam. Teknologi kerja kayu adalah teknologi orang Nusantara. Jika diamati, ia menggunakan teknik yang sama dengan pembinaan Istana Seri Menanti di Negeri Sembilan.

Motif bunga-bungaan pula yang ada pada mimbar itu adalah bunga dari Nusantara. Sejak kurun ke-16, orang Melayu Nusantara telah dibawa menziarahi Masjid al-Aqsa melalui Sunan Quddus. Maka, tidak hairan jika kita begitu sensitif dan tersentuh dengan isu al-Aqsa.

Apa yang berlaku di al-Aqsa bukan untuk kita tatap dan dengar semata-mata, tetapi diambil semangatnya demi mempertahankan maruah bumi suci daripada menjadi tawanan Zionis. Semoga doa kita tidak akan pernah terhenti dalam usaha mempertahankan al-Aqsa.

Penulis adalah Penyampai dan Penerbit IKIMfm
Oleh Mohd Faiz Othman

https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2017/08/310232/doa-kita-senjata-pertahan-al-aqsa
0 Komentar untuk " Doa kita senjata pertahan al-Aqsa "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ