Luaskan pengaruh sosial positif - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Luaskan pengaruh sosial positif



PENGARUH sosial boleh ditakrifkan sebagai suatu usaha oleh seseorang atau kumpulan untuk mengubah tingkah laku, tanggapan, sikap dan juga kepercayaan seseorang dan sesebuah kumpulan.

Kajian mengapa manusia mudah dipengaruhi dan apakah mekanisme yang mendorong ke arah perlakuan tersebut sering dilakukan pakar psikologi sosial.

Salah satu mekanisme yang sebabkan mereka mudah terpengaruh dengan kelompok lain ialah faktor sosial conformity atau pengaruh majoriti.

 Salah satu kajian awal berkaitan mekanisme ini telah dilakukan oleh Muzafer Sherif seorang pa-kar psikologi sosial yang telah melakukan kajian dikenali sebagai Autokinetic Effect. Menerusi ka-jian ini, tiga individu berlainan telah diletakkan dalam tiga bilik gelap berbeza, mereka diminta menganggarkan sejauh mana jarak cahaya lampu beralih apabila suis ditutup dan dibuka beberapa kali di dalam bilik tersebut. Setiap jawapan individu dicatat dengan teliti. Namun apabila dikumpulkan bersama, ketiga-tiga menjadi tidak yakin dengan jawapan sebelum ini. Akhirnya mereka bersetuju untuk menentukan jawapan berdasarkan keputusan majoriti. Malangnya jawapan tersebut salah, malah ada individu jawab tepat sewaktu mereka berada secara berasingan sebelum ini. Apa yang jelas, apabila mereka berada dalam kelompok ramai, mereka mudah hilang fokus dan membiarkan minda mudah dipengaruhi walaupun jawapan tersebut adalah salah.

Sebetulnya, fenomena ini semakin ketara berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Tambahan pula dengan adanya medium interaktif yang lebih canggih dan laju telah menyebabkan pengaruh majoriti menjadi semakin kuat memanipulasi minda masyarakat. Sudah terbukti beberapa kali bahawa apa yang ditularkan sebelum ini adalah salah dan tidak benar sama sekali, namun masih tetap diulangi untuk mempercayai kelompok majoriti tersebut walaupun salah.

Sebelum ini saya pernah menegur beberapa sahabat dalam pelbagai kumpulan WhatsApp yang menularkan gambar seorang pemimpin negara yang diletakkan di bahagian depan Majalah Time sebagai individu yang berada dalam kedudukan paling tinggi penerima rasuah dalam sejarah dunia hari ini. Teguran saya walaupun disokong dengan bukti gambar dan isu sebenar dalam Majalah Time pada keluaran minggu tersebut, namun mereka tetap tidak terima dengan alasan bahawa sumber yang diperoleh adalah tepat daripada sumber majoriti yang ‘boleh dipercayai’. Bila saya minta tunjukkan bukti, sampai sekarang tiada bukti diberikan.

Sebetulnya, kita boleh meluas-kan pengaruh sosial yang positif daripada terus menjadi hamba membuta-tuli mengikut kelompok majoriti yang jarang sekali benar. Pada tahun 1957 terdapat sebuah filem yang bertajuk Twelve Angry Men di mana pelakon utama Hen-ry Fonda telah menjadi suatu fenomena ketika itu kerana berjaya menerapkan nilai bahawa kelompok minoriti juga boleh menguasai kelompok majoriti. Filem tersebut mengisahkan bagaimana Fonda seorang juri di sebuah mahkamah berbeza pendapat dengan 11 juri lain dalam membincangkan kes tertuduh. Akhirnya setelah melalui proses agak lama, 11 juri tadi berse-tuju mengubah pandangan untuk bersetuju dengan penjelasan Fon-da. Ini bermakna, kita juga boleh mengubah orang lain, jika kita sentiasa konsisten dengan fakta, berkeyakinan tinggi, bersistematik dan tersusun serta bersabar.

Alhamdulillah, setakat ini sudah ada gerakan yang tersusun dan konsisten untuk meluaskan pengaruh sosial yang positif. Gerakan untuk memperkasakan al-Quran sangat jelas telah memberikan impak tinggi kepada masyarakat menerusi konsep #Quranhour. Kalau dulu kita hanya bersendirian dan berada dalam kelompok kecil membudayakan al-Quran, hari ini ia telah diangkat ke tahap lebih tinggi, iaitu menjadikan hidup berkasih sayang berteraskan al-Quran.

Terkini, suatu gerakan massa juga telah dilakukan untuk membantu bangsa Rohingya  di Myanmar yang telah menjadi mangsa penghapusan etnik. Justeru, kita tidak boleh hanya ‘menari’ apabila gendang sudah dipalu. Kita perlu luaskan pengaruh sosial positif tersebut walaupun pada masa sama masih ada yang memandang sinis gerakan dan usaha ini. Kita buat bukan untuk kita, kita buat kerana ALLAH.

Walaupun begitu, ketika kita sedang sibuk mencanangkan perkara yang positif masih ada kelompok yang cenderung untuk meningkatkan pengaruh sosial mereka yang bertentangan dengan syariat Islam. Hayati hadis ini; daripada Rib’I bin Hirasy daripada Mas’ud ia berkata “Rasulullah SAW bersabda: “Perkataan pertama yang diperoleh manusia dari perkataan kenabian adalah ‘jika kamu tidak malu maka berbuatlah sesukamu’.”. HR Abu Daud (4164).

Nilailah mana yang baik dan buruk dengan iman.

*Prof Madya Dr Huzili Hussin, Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/luaskan-pengaruh-sosial-positif-1.731391
0 Komentar untuk " Luaskan pengaruh sosial positif "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ