Konsep wakaf jamin kesejahteraan alam sekitar - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Konsep wakaf jamin kesejahteraan alam sekitar



ISLAM adalah agama 'rahmatan lil 'alamin' yang bermaksud kesejahteraan bagi seluruh alam. Terjemahan ungkapan itu boleh direalisasikan dalam pelbagai cara dari aspek kecil seperti membuang sampah di jalanan sehingga kepada aspek yang besar.

Ia termasuk memastikan kehidupan manusia dinaungi sistem pemerintahan yang adil, ekonomi mapan dan kekayaan dihasilkan melalui empayar perniagaan yang mengambil kira cukai serta zakat.

Sementara tanggungjawab menjaga alam sekitar yang bersifat kekal, berterusan, syumul, merangkumi bernyawa atau tidak bernyawa, melangkaui batas agama dan budaya adalah sesuatu yang disusun atur secara terperinci oleh Allah SWT yang Maha Bijaksana.

Institusi wakaf berkongsi beberapa prinsip yang selari dengan prinsip memelihara kehidupan manusia dan penjagaan alam sekitar. Kemaslahatan wakaf adalah untuk menjaga setiap makhluk Allah SWT daripada dimusnahkan atau dilenyapkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Hakikatnya, kemaslahatan itu dipikul oleh semua, secara sukarela atas kesedaran tinggi pentingnya menjaga dan memelihara ciptaan Allah SWT. Malah, Islam menyatakan secara jelas tanggungjawab itu adalah amanah harus dipikul setiap manusia secara rela atau terpaksa.

Masalah kurang tanggungjawab menjaga alam sekitar mungkin lahir daripada salah faham, ia bukanlah satu kewajipan agama kerana ibadah hanyalah pada amalan yang bersifat spiritual semata-mata.

Salah faham itu pastinya amat merugikan individu ataupun masyarakat, kerana ibadah kita menjadi rutin dan cara hidup akan menjadikan kita hilang arah serta tujuan.

Kerakusan segelintir manusia mungkin akan melenyapkan pokok hijau, sumber air bersih, padang rumput, lereng bukit bukau yang mampu berdiri sebagai pasak bumi.

Justeru, kewajipan berwakaf bagi memastikan ciptaan ini kekal dan tidak terusik adalah satu penghormatan yang dipandang tinggi dari sudut agama Islam. Mungkin ada yang tidak menghargai nilai sepohon pokok yang dijadikan Allah SWT, tetapi individu lain memilih untuk menanam pokok.

Tanggungjawab bersama

Sumbangan untuk kesejahteraan sejagat ini boleh digerakkan secara individu, berkelompok atau oleh pihak berkuasa. Instrumen wakaf yang luas seperti wakaf harta tidak alih seperti tanah, harta alih seperti jentolak, wang tunai, saham dan ilmu dapat membantu ke arah usaha itu.

Wakaf wajar digerakkan untuk menjaga alam sekitar. Kesedaran agama semata-mata tidak memungkinkan alam sekitar dijaga secara mampan dan penuh tanggungjawab. Kekurangan sumber, tenaga dan modal mungkin menyebabkan banyak urusan dibebankan kepada pemerintah.

Kesedaran berwakaf boleh menggerakkan kerja yang besar dilakukan secara berkelompok dan berterusan. Institusi wakaf mendidik masyarakat berkorban untuk kemaslahatan sejagat yang tidak tertakluk hanya kepada manusia seagama, malah berlainan agama boleh menyumbang.

Rasulullah SAW banyak menekankan kewajipan hamba menjaga alam semesta, termasuk flora dan fauna. Hatta, di saat genting dalam peperangan, Rasulullah SAW mengingatkan untuk tidak merosakkan alam sekitar.

Pada saat kesukaran mengerjakan haji dan umrah, Rasulullah SAW juga mengingatkan supaya tidak merosakkan flora dan fauna. Begitu pentingnya alam sekitar dari sudut ajaran Islam dan wakaf boleh membantu melaksanakan amanah itu.

Selain pengorbanan pewakaf melepaskan hak miliknya secara kekal kembali kepada Allah SWT buat selamanya demi manfaat orang lain, instrumen wakaf turut memberi ruang kepada pemerintah menggunakan kuasa yang ada membangunkan wakaf yang di bawah pemilikan negara.

Pemerintah boleh mewakafkan mana-mana tanah sebagai kawasan ragut untuk binatang ternakan, kawasan tadahan air, taman bunga, taman permainan kanak-kanak, tempat rekreasi dan apa-apa bentuk manfaat kepada rakyat secara kekal.

Ini akan memastikan pihak yang memerintah sama ada dari kerajaan atau pembangkang, berkewajipan menjaga hak milik wakaf dan tidak boleh mengubah sama ada secara istibdal (menggantikan) dengan sewenangnya.

Banyak juga kita dapati taman bunga atau tapak rekreasi dibangunkan menjadi kawasan perumahan dan sebagainya, atas alasan tanah itu tidak diwartakan. Malah terdapat kes tanah perkuburan dibatalkan kerana terdapat bantahan penduduk setempat dan kerajaan membatalkan atas alasan belum digazetkan.

Penetapan harta wakaf

Islam menetapkan, tanah wakaf tidak boleh dijual, digadai, diwarisi, dihadiahkan atau diganti dengan sewenangnya. Malah kewujudan harta wakaf kekal sehingga hari kiamat. Jika atas alasan yang benar-benar kritikal, tanah wakaf perlu diganti dengan tanah lain yang tidak akan kurang dari segi nilai dan fizikalnya.

Oleh itu, salah satu cara untuk menjaga alam sekitar, instrumen wakaf boleh diguna pakai oleh pelbagai pihak, termasuk kerajaan, swasta atau individu untuk mewakaf mana-mana tanah bagi tujuan yang jelas serta tepat pada masa keperluannya.

Wakaf yang dibuat tanpa perancangan boleh menjadi beban kepada Majlis Agama Islam Negeri atau mutawalli untuk menguruskannya dengan pelbagai kekangan dari segi kewangan, tenaga kerja dan sebagainya. Marilah kita memanfaatkan talian hayat yang dianugerahkan Allah SWT untuk menjaga alam sejagat ini.

Penulis ialah pensyarah Jabatan Undang-Undang Sivil, Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2017/08/308336/konsep-wakaf-jamin-kesejahteraan-alam-sekitar
0 Komentar untuk " Konsep wakaf jamin kesejahteraan alam sekitar "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ