Pemimpin yang berilmu melahirkan kepemimpinan cemerlang. Dengan ilmu menjadikan seorang pemimpin mendapat keberkatan. Di samping itu, dalam menuntut ilmu perlunya menjaga adab. Insan yang tinggi ilmu dan menjaga adab terlihat akhlak dan sifat tawaduk yang tinggi. Ikuti perbincangan selanjutnya bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam rancangan Islam Itu Indah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin itu akan ditanya kepemimpinannya."
Pemimpin adalah seorang yang memegang amanah bertanggungjawab ke atas tanggungjawab dipikulnya.
Maka apa yang terletak di bawah perlindungannya adalah dituntut untuk berlaku dengan adil dan saksama.
Menerusi rancangan Islam Itu Indah yang bersiaran di IKIMfm pada Rabu jam 10.15 pagi, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi berkata, untuk menjadi seorang pemimpin perlu kepada ilmu kerana dengan ilmu, mereka akan dapat menjadi seorang pemimpin yang baik.
Justeru, untuk mendapatkan ilmu, seseorang pemimpin perlulah belajar kerana pemimpin yang baik akan sentiasa belajar daripada apa sahaja kerana dengan ilmu akan menjadikan seseorang berhikmah.
Jika menyelak sejarah manusia, sejak zaman Nabi Adam AS ketika menjadi khalifah telah dibekalkan ilmu oleh Allah SWT, begitu juga Rasulullah SAW yang menjadi Rasul, kepemimpinan dan ilmu Baginda telah dididik Allah SWT.
Imam as-Shafei berpesan "belajarlah kamu sebelum menjadi pemimpin." Ruang lingkup seorang pemimpin itu amat luas. Ilmu adalah persiapan bagi seseorang manusia sebelum bertindak menjadi pemimpin. Dengan ilmu akan meningkatkan kefahaman seseorang pemimpin terhadap tugas dan tanggungjawabnya. Orang yang berilmu tidak akan berhenti untuk terus belajar kerana orang yang berhenti belajar, maka terhentilah ilmunya.
Pemimpin perlu berilmu
Dalam kehidupan kita, tidak ada seorang pun yang terlepas menjadi pemimpin. Dengan kata lain, setiap orang terbabit sebagai pemimpin, sama ada pemimpin kepada isteri dan anak, pemimpin kepada adik-beradik, pemimpin kepada rakyat jelata atau pemimpin di mana-mana organisasi, malah menjadi pemimpin kepada diri sendiri.
Menjadi pemimpin perlulah ada ilmu mengenainya kerana seseorang pemimpin yang berkesan akan faham tugas dan peranannya sebagai khalifah di muka bumi ini.
Dengan ilmu, menjadikan seseorang pemimpin mendapat keberkatan dalam kepemimpinannya. Begitu juga orang yang sentiasa menjaga adab dalam menuntut ilmu. Adab yang terpelihara dengan gurunya dan agamanya akan memberi keberkatan kepada seseorang.
Sesungguhnya orang yang menjaga setiap adabnya dalam menuntut atau memperoleh ilmu akan diberkati Allah SWT.
Adab yang baik dalam mendapat ilmu yang pastinya akan menambah barakah dalam hidupnya.
Ilmu yang berkat akan mendapat kebaikan yang bertambah-tambah seperti dengan ilmu akan mengenalkan seseorang mengenai aib diri.
Tambah kecintaan kepada Ilahi
Orang yang kenal aib diri akan selalu bermuhasabah sehingga tidak mampu lagi melihat aib orang lain. Justeru, orang yang selalu memandang kekurangan diri tidak akan mampu melihat kesilapan orang lain dan ini menyebabkan kurang berlaku pergeseran dalam setiap perhubungan.
Begitu juga ilmu yang berkat akan menambah kecintaan terhadap Allah SWT. Orang yang mencintai dan mendapat kecintaan Allah SWT akan sentiasa mengisi ruang hidupnya dengan perbuatan berfaedah. Sentiasa mencari jalan untuk melakukan amal ibadah yang akan mendekatkan dirinya dengan Allah SWT.
Namun, orang yang ilmunya tidak berkat atau tidak berusaha mengisi dirinya dengan ilmu umpama padang pasir yang hanya dipenuhi pohon-pohon kering yang tidak bermanfaat.
Bagaimanapun, adab dalam menuntut ilmu adalah tuntutan atau perkara yang penting kerana adab itu umpama air yang mengalir yang akan menyuburkan pohon-pohon yang dahagakan air di tanah gersang.
Ikut resmi padi
Bahkan, orang yang penuh dengan ciri adab, tinggi yang ilmu akan terlihat daripada akhlak dan sifat tawaduk yang tinggi. Seperti akhlak Imam as-Shafei yang menyebut bahawa, "setiap kali aku menuntut ilmu aku berasa semakin tidak tahu." Ini adalah nilai bagi seseorang insan yang dapat diumpamakan seperti resmi padi, iaitu semakin tinggi semakin tunduk.
Ilmu yang berkat dengan adab tinggi pastinya menjadikan seseorang itu dipenuhi akhlak dan pengetahuannya yang penuh dengan hikmah. Setiap perbuatan dan tindak-tanduknya akan terpandu oleh nilai-nilai hikmah yang penuh kebaikan. Justeru, dalam menuntut ilmu perlulah seiring dengan adab yang akan memberi keberkatan dalam setiap ilmu yang dituntut.
Penulis adalah Ketua Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa IKIMfm
https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2017/07/303871/jaga-adab-tuntut-ilmu-raih-keberkatan
0 Komentar untuk " Jaga adab tuntut ilmu raih keberkatan "