Wang rakyat: Nampak dan terselit - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Wang rakyat: Nampak dan terselit



DI mana-mana saja dalam dunia kini, punca masalah ialah wang. Trump hendakkan AS terus menjadi nombor satu kerana wang.

China mendapat perhatian dunia kerana penimbunan wang yang banyak dalam masa singkat. Rusia diperlekehkan kerana kekurangan wang. Pada umumnya, Britain memilih untuk keluar dari EU kerana wang. Begitu juga di Malaysia, segalanya bermula dan berakhir kerana wang.

Baru-baru ini terdapat berita mengatakan peguam Perdana Menteri mendapat bayaran hampir RM10 juta. Bagi seseorang rakyat, jumlah itu adalah amat besar. Betapa tidak, pastinya 99.9 peratus rakyat tidak dapat mengumpul wang sebanyak itu sepanjang hayat sehingga usia 90 tahun, RM8,000 sebulan, bermula dari usia 20 tahun. Justeru ia sangat mengejutkan.

 Dalam keadaan rakyat rata-rata sukar mendapat pendapatan lebih RM1,000 sebulan, bagaimana pula sesetengah eksekutif korporat yang duduk di atas wang rakyat mendapat gaji lebih RM1 juta setahun selain bonus RM2 juta setahun?

Kebanyakan rakyat tidak tahu dan media pula bagaikan tidak mahu menerawang fakta itu.

Jika MP, Senator atau Adun bercakap fasal itu, media pula berat atau enggan untuk menajuk-besarkannya. Tokoh-tokoh korporat tertentu pula menggunakan pelbagai cara dan taktik agar maklumat begitu terkawal.

Jika disiarkan pun, ia lebih berbentuk pinggiran.

Ukuran banyak dan sedikit pula berbeza antara rakyat dengan korporat. Suatu ketika, sebuah badan korporat, dalam membuat penyanggahan, berkata: wang yang dipertikaikan itu HANYALAH RM250 juta!

Wang sebanyak itu dikatakan HANYA! Ini kerana wang dalam dananya berbilion ringgit.

Satu korporat besar rakyat juga pernah bersikap begitu. Wang RM20b yang hilang dalam masa enam bulan diberikan layanan seperti kehilangan angka saja, bukan kehilangan maha besar wang rakyat. Ia hanya pengecilan nilai, kata CEO atau ketua eksekutifnya.

Jika kerugian sebanyak itu boleh ditepis menggunakan istilah ‘accounting’ pura-pura seperti itu, maka tidak ada yang rugi di Malaysia.

 Jika syarikat atau perniagaan rugi, sebut saja ‘pengecilan jumlah wang masuk’. CEO berkenaan tidak dikenakan apa-apa tindakan.

Dengan menggunakan penyampaian yang baik dan istilah-istilah berbunyi bernas, beliau diberikan peluang terus bekerja. Dengan peluang begitu, beliau dapat membaiki prestasi buruk yang merugikan walaupun tidak semestinya kerugian RM20b dapat ditimbus semula. Itu contoh layanan kepada tokoh korporat.

 Bagaimana pula layanan kepada mereka yang berhempas pulas mendapat undi rakyat untuk menubuhkan kerajaan atau barisan pembangkang, yang dipanggil Adun dan MP? Macam langit dengan bumi.

Apabila berlaku kesilapan sedikit, mungkin hanya seribu-dua ringgit, ia akan jadi skandal, terpampang di muka hadapan akhbar, berkumandang di Dun dan Parlimen.

Akibatnya dia tidak diberi bertanding lagi atau hilang sebarang jawatan dan hidup terhina. Lihat pula kejadian terakhir.

Seorang bekas Exco Johor dihadapkan ke mahkamah kerana tuduhan menyeleweng hampir RM40 juta. Memang, salah tetap salah, benar tetap benar. Seseorang tetap tidak bersalah melainkan didapati bersalah oleh mahkamah.

Namun apa yang beliau alami amat jauh berbanding kesilapan CEO itu yang tidak terjejas langsung, malah diberikan ganjaran berganda-ganda setelah diberi peluang membetulkan kesilapan.

Baik siapa pun, sejumlah RM560 juta adalah satu jumlah maha besar. CEO yang sama telah melakukan tindakan songsang dan menyeleweng, tandus etika, dengan mengikut telunjuk seorang peniaga besar yang berkepentingan, sehingga memaksa sebuah syarikat di bawahnya, iaitu sebuah syarikat awam (kepunyaan rakyat) ‘B’ yang tersenarai, dari menjual berpuluh juta saham syarikat ‘X’ yang akan membawa keuntungan lebih RM300 juta.

Apabila beliau berjaya melaksanakan kehendak peniaga besar itu, syarikat rakyat ‘B’ sekali gus ternafi harga jualan sebanyak RM560 juta itu, termasuk modal membeli saham-saham itu sebanyak RM250 juta.

 Tidak berapa lama kemudian saham-saham itu lumpuh akibat syarikat ‘X’ itu yang berkecai.

Sahlah, peniaga besar itu sudah tahu syarikat ‘X’ miliknya dalam bahaya teruk apabila menyuruh CEO itu mengikut telunjuknya.

Sehingga kini saham-saham itu hanya bernilai seperti kertas buruk di syarikat ‘B’ itu, tidak akan pulih lagi. Kalau tidak dikenakan hukuman, sekurang-kurangnya beliau direntap pedih dan dibuang kerja sebagai satu teladan untuk orang lain.

Tindakan begitu akan dianggap saksama oleh ahli-ahli politik yang akan turun padang berkerikil dan berbahaya dalam PRU nanti.

0 Komentar untuk " Wang rakyat: Nampak dan terselit "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ