Kelainan dasar Qatar punca dimusuhi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kelainan dasar Qatar punca dimusuhi



MASYARAKAT antarabangsa amnya dan umat Islam khususnya terkejut dengan tindakan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir termasuk Yaman dan Maldives untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar. Malah, mereka juga meminta wakil kedutaan masing-masing pulang dan semua rakyat Qatar di negara mereka juga pulang ke negara asal dalam tempoh dua minggu. Ruang udara, darat dan laut negara tadi juga ditutup kepada Qatar.

Ini seolah-olah tindakan boikot kepada Qatar keseluruhannya. Semua negara tadi, termasuk Qatar tetapi tidak Mesir, Yaman dan Maldives adalah anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC). Dua anggota lain, iaitu Kuwait dan Oman dilihat berkecuali daripada tindakan ke atas Qatar. Pemerhati politik telah menduga tindakan ke atas Qatar yang dilihat sebagai pesaing politik dan ekonomi kepada kuasa serantau Teluk Parsi, iaitu Arab Saudi. Malah, dasar luar Qatar dilihat bercanggah banyak dengan dasar negara Teluk lain khususnya Arab Saudi. Alasan mereka adalah Qatar menaja keganasan, bersekutu dengan Hamas, Iran, Hizbullah dan Israel serta cuba mencampuri hal ehwal domestik Bahrain dan Mesir. Qatar aktif sebagai anggota Pertubuhan Negara Pengeluar Minyak (OPEC) dan menaja syarikat media terkenal, Al Jazeera.

Ayahanda Emir Qatar sekarang iaitu Sheikh Hamad Khalifa Al Thani (1995-2013) dilihat aktif meningkatkan reputasi Qatar sebagai negara penting di Asia Barat. Pangkalan Udara Al Udeid menjadi markas tentera udara Amerika Syarikat (AS) dan UK. Malah Qatar juga ada hubungan baik dengan Russia dan China. Secara umum, Qatar berperanan penting membawa agenda perubahan dan keamanan di Asia Barat dan Afrika.

Qatar pesaing Arab Saudi 

Sarjana politik antarabangsa, iaitu Immanuel Wallerstein pernah menyatakan, Qatar dilihat sebagai pesaing terdekat kepada Arab Saudi sebagai kuasa serantau di Tanah Arab khususnya sebagai pengeluar gas dan minyak. Pada 2011, ketika Revolusi Arab (Arab Spring), Qatar dilihat menaja dan menyokong pihak penentang bagi menjatuhkan diktator Libya, iaitu Muammar Gaddafi. Ketika semua pemerintah Arab menentang Revolusi Arab, Qatar dilihat menyokong kumpulan Ikhwanul Muslimin dan Presiden Mohamed Morsi yang digulingkan di Mesir. Ia dilihat sebagai campur tangan politik Qatar di Mesir. Malah, Al Jazeera yang melaporkan secara eksklusif mengenai Revolusi Iraq menyebabkan beberapa wartawannya ditahan lantas mengeruhkan hubungan antara Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi dengan pemerintah Qatar.

Sebelum ini juga yakni pada 2014, Arab Saudi, UAE dan Bahrain pernah memanggil pulang duta mereka di Qatar sebagai bantahan kepada tindakan pemerintah Qatar yang dilihat tidak mematuhi Perjanjian November 2013 kerana dilihat mencampuri urusan domestik negara tetangga khususnya Bahrain. Pernah berlaku perebutan wilayah antara Qatar dan Bahrain yang babitkan Kepulauan Hawar yang berjaya diselesaikan Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2001. Pada 3 Jun 2017 lalu, akaun Twitter Menteri Luar Bahrain, Khalid Ahmed Al Khalifa dicerobohi melalui serangan siber dari Qatar. Insiden itu mempengaruhi hubungan bilateral kedua-dua negara.

Qatar juga ada hubungan baik dengan Iran, musuh ketat negara Teluk. Qatar mempunyai hubungan ekonomi meliputi gas dan minyak yang mana Iran dan Qatar sama-sama menguasai kawasan cari gali minyak terbesar di dunia. Qatar tidak mengkritik Iran dalam isu tertentu, malah sering mengadakan perbincangan berkaitan ekonomi dan keselamatan. Qatar juga mempunyai hubungan baik dengan Hamas di Palestin dan memberi bantuan kepada penduduk Gaza, selain hubungan baik dengan Hizbullah. Qatar juga cuba berbaik dengan Israel dan pernah memberi cadangan pertukaran wilayah antara Palestin dan Israel yang disambut baik oleh pemimpin Israel. Matlamat utama Qatar adalah menyelesaikan konflik Palestin-Israel yang tiada kesudahan.

Tindakan Qatar menyokong dan berbaik-baik dengan Ikhwanul Muslimin, Hamas dan Iran dilihat tidak selari dengan pembawaan politik diketuai Arab Saudi. Lantas Qatar dilihat di luar kawalan sebagai sekutu Arab Saudi yang menyebabkan tindakan putus hubungan terpaksa dilakukan dan mungkin ambil masa lama untuk dipulihkan. Penulis ialah Profesor Madya di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia

Oleh Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/290777
0 Komentar untuk " Kelainan dasar Qatar punca dimusuhi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ