DALAM kita menyambut kedatangan Syawal ini, antara pilihan utama para penjual pastinya adalah busana wanita kerana kepelbagaian fesyen yang menarik dan terkini dapat ditampilkan. Ia mungkin disebabkan oleh faktor kepenggunaan baju kurung atau busana wanita itu lebih banyak dan lebih kerap berbanding kebanyakan lelaki yang hanya mengenakan pakaian baju Melayu pada hari raya pertama dan kedua.
Demikian jugalah sewaktu saya merasmikan program Warna-Warni Aidilfitri 2017 anjuran Kraftangan Malaysia di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur pada 1 Jun yang lalu. Saya mendapati begitu ramai penjual menjual pelbagai jenis busana wanita. Hari ini kita dapat melihat penggunaan batik tidak hanya diguna pakai secara meluas oleh golongan wanita, tetapi lelaki juga gemar memakai baju batik berkonsep moden, di mana elemen batik ditonjolkan di bahagian tertentu. Kita juga melihat selain daripada busana wanita bercorak batik, hari ini sudah mudah untuk kita mendapatkan beg tangan yang juga diperbuat daripada batik.
Hasil kreatif pereka-pereka terkenal juga telah menjadikan ia satu sentuhan yang amat bernilai sekali. Secara tidak langsung telah menaikkan nama batik yang cukup versatil dan digemari oleh pelbagai golongan masyarakat. Kehadiran usahawan kraf yang kreatif dan sentiasa mengikuti perkembangan fesyen menggunakan tekstil batik turut dapat menambah baik rekaan, apatah lagi jika diserikan dengan aksesori tertentu seperti manik dan renda.
Tekstil kraf batik tempatan tidak dinafikan permintaannya kerana ia masih mendapat perhatian dan popular dalam kalangan penggemar fesyen. Mereka sentiasa mahu memilih yang terbaik untuk dipakai pada hari lebaran biarpun terdapat lambakan fabrik luar negara yang dijual pada harga yang dikatakan murah berbanding pasaran tempatan.
Buktinya, kita dapat melihat masyarakat Malaysia hari ini cenderung untuk menjadikan batik canting, terap dan skrin sebagai pakaian pada hari lebaran oleh kerana nilai estetikanya kerana kebanyakan rekaan batik berbeza antara satu dengan yang lain.
Menyentuh pula aspek variasi, Batik Madu Tiga atau batik bercorak tiga lapis adalah teknik inovasi terkini Kraftangan Malaysia dalam mempelbagaikan jenis rekaan batik. Saya amat mengagumi trend batik terkini 2017 terutamanya Batik Madu Tiga ini.
Batik Madu Tiga terhasil dengan menggunakan tiga jenis sarang blok berlainan corak yang ditindih secara berlapis. Batik ini turut melibatkan proses memblok sebanyak tiga kali dan proses mewarna sebanyak empat kali termasuk warna asas. Uniknya ialah cara penindihan reka corak antara blok pertama, kedua dan ketiga menjadikannya sangat eksklusif untuk digayakan.
Tekstil batik Madu Tiga ini juga amat sesuai dijadikan busana raya, sama ada rekaan fesyen baju kurung tradisional, kebaya mahupun kebarung.
Sudah menjadi tradisi di Malaysia untuk menggayakan pakaian baharu ketika merayakan lebaran termasuklah saya dan keluarga. Untuk hari lebaran yang akan datang ini, sangat sesuai sekiranya wanita memilih untuk memperagakan busana menggunakan tekstil kraf batik yang mempunyai ciri kesopanan, ketimuran dan mengikut ciri sosiobudaya masyarakat dengan menampilkan variasi daripada campuran tradisional dan moden.
Hal ini kerana elemen pemilihan fesyen dan fabrik melalui penggunaan tekstil kraf batik terkini dapat diterapkan mengikut cita rasa yang bersesuaian dengan penampilan seseorang. Saya begitu berharap supaya batik tempatan akan terus digemari oleh masyarakat, dan kemajuannya hendaklah sentiasa mengikuti perkembangan fesyen semasa untuk digayakan pada hari lebaran.
0 Komentar untuk " Batik tempatan untuk hari lebaran "