Siapa sebenarnya hantu bauksit? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Siapa sebenarnya hantu bauksit?

SAMA seperti Cameron Highlands, Bukit Goh adalah satu tragedi yang berpunca dari kelemahan – dan kebodohan! – pihak berkuasa. Semuanya gara-gara kegiatan haram yang dibiarkan berleluasa di hadapan mata.

Tentu semua masih ingat, belum lama dulu – 23 Oktober 2014 – seluruh negara dikejutkan dengan banjir lumpur yang melanda kawasan peranginan tanah tinggi itu, menyebabkan lima terkorban.

Banjir lumpur di Lembah Bertam dan Ringlet disahkan berpunca dari kegiatan penerokaan haram hutan di keliling kawasan tersebut. Lebih 6,000 hektar hutan ditebang rakus secara haram sejak sekian lama.

Dan, pihak berkuasa – juga agensi-agensi berkaitan – berkata mereka tidak tahu, tidak perasan. Tidak perasan! Inilah lawak bodoh yang boleh dilakonkan untuk program realiti TV ‘Maharaja Lawak Mega’.

Sejak lebih setahun lalu, orang ramai khasnya NGO-NGO pencinta alam menjerit menyuarakan keprihatinan terhadap kemusnahan Bukit Goh. Kawasan Felda berkenaan – juga daerah sekitarnya – berubah warna.

Ladang kelapa sawit yang hijau menjadi merah. Jalan raya dan udara dicemari debu merah. Setiap saat penduduk menyedut debu berkenaan. Rumah sentiasa ditutup untuk mengelakkan debu.

Kenderaan di luar rumah diselimuti debu, tidak ada kudrat untuk mencucinya setiap jam. Hatta, air sungai yang selama ini jernih, telah bertukar merah berkeladak, membunuh segala hidupan di dalamnya.

Semuanya gara-gara bauksit. Galian berharga itu dilombong tidak mengikut peraturan. Lori-lori hantu mengaum setiap waktu, memunggah bauksit yang debunya menyesakkan nafas, dan mengancam kehidupan.

Sekiranya sejak awal pihak berkuasa peka terhadap rintihan penduduk dan bertindak atas desakan pencinta alam, Bukit Goh tentu boleh diselamatkan dari bencana debu merah. Tetapi, entah siapa hantunya, segala rintihan dan desakan langsung tidak dipedulikan.

Malah, beberapa orang pegawai kanan – juga menteri – dari Kuala Lumpur yang melawat kawasan perlombongan bauksit itu berkata keadaan masih terkawal dan tidak membahayakan kesihatan.

Sudah jelas di depan mata pokok, jalan, rumah, kenderaan dan air sungai semua merah, menteri boleh kata keadaan tidak membahayakan. Sepatutnya minta menteri dan keluarga tinggal di kawasan tersebut selama seminggu. Mungkin mereka akan sedar setelah melihat rambut hitam bertukar merah!

Mujurlah ada keprihatinan dari Putrajaya. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan moratorium, iaitu pemberhentian sementara semua kegiatan perlombongan dan pengeksportan bauksit di negeri itu selama tiga bulan mulai 15 Januari lalu.

Setelah PM bersuara barulah ada tindakan. Beberapa agensi kerajaan, termasuk bomba, berusaha keras membersihkan kawasan terlibat. Lori-lori hantu – dan hantu-hantu juga pelesit-pelesit lain – direhatkan.

Barulah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak tegas. Setakat ini yang direkodkan 13 orang telah ditahan, 10 daripadanya adalah pegawai Pejabat Tanah & Galian negeri (PTG).

SPRM terus menyiasat bagi mengesan mereka yang terbabit dalam jenayah rasuah sehingga menyebabkan berlakunya kegiatan perlombongan haram dan ketirisan yang dianggarkan berjumlah RM187 juta dari segi hasil kutipan royalti tahun lalu.

Tetapi, hantu sebenar @ tauke besar @ dalang utama perlombongan bauksit haram masih belum dikesan. Seperti yang dijelaskan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, setakat ini hanya pekerja-pekerja biasa yang berjaya ditahan.

“Mereka ini beroperasi macam aktiviti perjudian haram. Pihak berkuasa cuma berjaya menangkap pekerja mereka, jadi sukar untuk masalah ini diselesaikan,” kata menteri berkenaan. Ini pun boleh masuk Maharaja Lawak Mega!

Seperti yang diakui 90 peratus pelombong bauksit Bukit Goh dan kawasan-kawasan lain di Pahang beroperasi tanpa permit @ haram. Hantu dan pelesit-pelesit ini memusnahkan kawasan bauksit secara gelojoh, dan mengaut laba berbilion RM.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob sendiri mengakui: “99 peratus yang membawa masalah dalam isu ini berpunca daripada pengusaha lombong haram.”

Sudah diketahui wujudnya sekian banyak pelombong bauksit haram, tetapi sehingga semalam dalang utama masih tidak dapat dikesan. Siapa agaknya hantu di sebalik debu merah itu?

Berharap benar seluruh rakyat supaya hantu ganas itu dapat dikesan dan ditangkap sebelum tempoh moratorium tamat 15 April. Tunjukkan kuasa kita. Atau, apakah hantu Bukit Goh sama kebal seperti hantu Lembah Bertam?

Sampai kini, setelah dua tahun berlalu, tauke besar penerokaan tanah haram di Cameron Highlands masih belum dikesan. Memalukan, nampak sangat penguat kuasa kita sudah hilang bola!

0 Komentar untuk " Siapa sebenarnya hantu bauksit? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ