Meneroka misteri alam Pulau Langkawi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Meneroka misteri alam Pulau Langkawi

SAYA dan beberapa rakan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mempunyai sejarah yang panjang dengan kepulauan Langkawi. Menjalankan penyelidikan geologi di pulau itu sejak 1973, memperkenalkan konsep geowarisan dan geopelancongan sejak 1996, dan memperkenalkan konsep geopark Langkawi sejak tahun 2000. Pada 2006, kami berjaya mengangkat Langkawi sebagai geopark kebangsaan dan 2007 menjadi geopark global. Langkawi adalah geopark pertama di Malaysia dan Asia Tenggara, dan ke-52 di peringkat global. Kini, dunia memiliki 120 geopark di 33 negara.

Anugerah khas 'Pelancongan Personaliti' yang disampaikan kepada saya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 18 Disember lalu sempena Majlis Anugerah Pelancongan Antarabangsa Langkawi 2015 adalah suatu di luar dugaan dan penghormatan manis yang akan sentiasa dikenang. Kali pertama mengenali geologi Langkawi, lebih 40 tahun lampau, kami telah jatuh cinta dengan pulau ini dan bertekad untuk membangunkannya sebagai makmal lapangan geologi utama di Malaysia.

Selain keindahan landskap kepulauan yang mempesonakan, Langkawi memiliki misteri alam yang luar biasa. Di sinilah bumi Malaysia dilahirkan 550 juta tahun lampau iaitu batuan yang membentuk Gunung Machinchang sekarang. Jejak saat itu, lapisan demi lapisan sedimen diendapkan secara berterusan di laut 'Langkawi kuno' sehingga 220 juta tahun lampau. Sejarah pembentukan batuan sedimen, keadaan lautan ketika itu dan jenis hidupan tersimpan sebagai rekod dalam batuan yang terdedah sepanjang pantai di kepulauan Langkawi.

Rekod sejarah bumi 

Langkawi menyimpan rekod sejarah Bumi ketika berusia Paleozoik (550-250 juta tahun) paling lengkap di Asia Tenggara. Setiap lapisan dan pelbagai hidupan kuno (fosil) terawet dengan baik, dan kini seperti 'buku sejarah' sepanjang pesisir pantai berbatu di Pulau Langkawi, Dayang Bunting, Tuba dan puluhan pulau-pulau kecil di sekitarnya. Kami ahli geologi, telah meneliti 'buku alam' ini dan menceritakan misterinya dalam pelbagai buku ilmiah dan kertas jurnal.

Mulai 250 juta tahun lampau, batuan igneus Granit mulai merejah, membeku dan mengangkat batuan sedimen, menjadi daratan Langkawi. Batuan yang terdedah ini mengalami luluhawa dan hakisan, lama kelamaan membentuk landskap kepulauan Langkawi seperti yang terjelma sekarang. Proses paling menarik ialah perlarutan batu kapur di pantai timur Pulau Langkawi, Tuba dan Dayang Bunting. Proses perlarutan telah menghasilkan landskap Kars, perbukitan dan pulau bertebing tegak dengan puncak berbentuk bergerutu dan pinakel. Landskap dan flora Kars ini menghasilkan pemandangan luar biasa yang menarik perhatian pelancong.

Kita beruntung dapat menikmati keindahan alam Langkawi di saat Gunung Machincang (batu pasir), Gunung Raya (granit) dan perbukitan Kars di Kilim dan Pulau Dayang Bunting (batu kapur) mempamerkan keindahan landskap yang mengagumkan. Inilah warisan tabii unik Langkawi yang menjadikan ia diterima sebagai UNESCO Global Geopark dan destinasi pelancongan alam teristimewa di peringkat antarabangsa.

Wilayah diurus secara lestari 

Geopark adalah satu wilayah yang dibangun dan diurus berasaskan konsep kelestarian. Ia memberikan perhatian kepada keseimbangan antara tiga komponen pembangunan utama - ekonomi, komuniti setempat dan pemuliharaan warisan. Dalam konteks ekonomi tumpuan diberikan kepada 'penggunaan sumber alam secara tanpa musnah' melalui aktiviti pelancongan berasaskan ilmu (geopelancongan, ekopelancongan, rekreasi dan budaya).

Komuniti setempat perlu diperkasa melalui penerapan nilai bersama, pengetahuan mengenai alam dan pembabitan dalam pelbagai aktiviti ekonomi, pengurusan dan kebajikan. Komuniti setempat melalui individu atau koperasi sebagai pihak berkepentingan perlu terlibat bersama dalam pelbagai aktiviti pembangunan.

Koperasi nelayan diperkasa 

Pembangunan pelancongan di Kilim Geoforest Park umpamanya, telah dijadikan contoh bagaimana koperasi nelayan diperkasa untuk melaksana aktiviti pelancongan. Aset paling utama Langkawi adalah warisan alam dan budaya komuniti setempat. Kami telah mengenal pasti, kepulauan ini mempunyai puluhan tapak warisan geologi bernilai tinggi (kebangsaan dan antarabangsa). Langkawi juga mempunyai kepelbagaian biologi, khususnya habitan bakau dan hutan batu kapur bernilai tinggi. Di samping memulihara warisan alam dan budaya secara terintegrasi, pembangunan pelancongan berasas ilmu atau pendidikan mampu meningkatkan sosioekonomi penduduk tempatan.

Saya bersyukur dengan pemberian anugerah Personaliti Pelancongan Langkawi. Ia adalah penghormatan kepada rakan penyelidik geopark di UKM, dan satu tanggungjawab bagi kami untuk terus meneroka ilmu bagi memperkasa gagasan pembangunan lestari wilayah.



Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/112464
0 Komentar untuk " Meneroka misteri alam Pulau Langkawi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ